Tuesday, August 23, 2011

Boleh Tangguh Bayar Yuran

Assalammualaikum,Salam Ramadhan,serta Salam 1 ASPIRASI buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Semalam, 22 Ramadhan bersamaan 22 Ogos 2011, YBM Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengeluarkan kenyataan di laman web beliau, http://khalednordin.com yang pastinya dapat membuatkan bakal mahasiswa/i baru menarik nafas lega apabila mereka TIDAK perlu membayar yuran semasa sesi pendaftaran.


*klik gambar untuk lebih jelas

*klik gambar untuk lebih jelas

Boleh tangguh bayar yuran
Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 22 Ogos – Seramai 41,267 pelajar baru yang bakal mendaftar di institut pengajian tinggi awam (IPTA) sesi akademik 2011/ 2012 bermula 3 September ini boleh menarik nafas lega apabila mereka tidak perlu membayar yuran semasa sesi pendaftaran.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed khaled Nordin berkata, yuran pendaftaran itu hanya akan ditolak daripada pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang dipohon pelajar sebaik sahaja pinjaman mereka diluluskan.

Katanya, langkah itu sebagai meringankan beban mereka terutama golongan berpendapatan rendah sekiranya terpaksa mengumpul wang atau berhutang semata-mata untuk tujuan itu.

“Pelajar tidak perlu fikir untuk membawa wang semasa sesi pendaftaran nanti. Walaupun surat tawaran ada menyatakan kos yuran pendaftaran yang perlu dibayar, tetapi mereka tidak perlu ambil kira semua itu dan boleh pergi daftar tanpa perlu bayar apa-apa.

“Jadi tidak ada sebab mereka tidak mahu pergi universiti kerana tidak ada duit. Ini satu berita baik untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam satu sesi temu bual khas di pejabatnya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, PTPTN menyediakan pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada kira-kira 206,938 pemohon pinjaman pada tahun ini.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM53.4 juta diperuntukkan sebagai Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) kepada seramai 35,664 pelajar yang layak berjumlah RM1,500 setiap orang.

“Semua pelajar layak membuat pinjaman PTPTN. Bagaimanapun, WPP itu hanya ditawarkan kepada mereka daripada keluarga berpendapatan kurang RM4,000 dan belum pernah mendapat pembiayaan PTPTN.

“Namun, mereka yang lain turut mendapat manfaat apabila mereka boleh menangguhkan yuran semester pertama melalui pemotongan pinjaman PTPTN,” katanya.

Tambah Mohamed Khaled, PTPTN telah meluluskan pembiayaan kepada 1.8 juta pelajar sehingga tamat pengajian mereka berjumlah RM39.87 bilion setakat 31 Julai lalu.

“Pada 2010 sahaja, PTPTN membelanjakan RM3.86 bilion kepada 188,000 pelajar.

“Keperluan menampung kos pengajian tingi meningkat setiap tahun. Bagaimanapun, kerajaan sentiasa berusaha memastikan keperluan kewangan pelajar dapat ditampung melalui bentuk pinjaman,” katanya.
SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
Posted in Ministry of Higher Education


Justeru, pengumuman ini diharap dapat membantu bakal mahasiswa/i mendaftar dengan lebih lancar pada 7 September 2011 nanti tanpa perlu risau akan bayaran yuran yang perlu dibayar pada hari pendaftaran. Ini juga merupakan inisiatif pihak Kementerian Pengajian Tinggi untuk membantu mahasiswa/i dari keluarga kurang berkemampuan untuk menempatkan diri di universiti yang telah ditawarkan kepada mereka tanpa sebarang masalah kewangan. Kami dari Kelab Aspirasi UKM mengucapkan selamat menempuh kehidupan baru di Universiti Kebangsaan Malaysia dan meneruskan matlamat untuk belajar bersungguh-sungguh buat semua mahasiswa/i yang bakal mendaftar pada kemasukan September nanti kerana BELAJAR LEBIH BAIK. Sekian, Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti.


Teguh, Setia, Bersatu !

Read More

Wednesday, August 17, 2011

Isu Harga Yuran Kolej

        Assalammualaikum,Salam Ramadhan, serta salam 1 ASPIRASI buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian.Baru-baru ini, Universiti Kebangsaan Malaysia digemparkan dengar satu berita kurang enak didengar. Yuran kolej bagi pelajar di UKM telah naik dengan mendadak tanpa sebab-sebab yang munasabah. Ekoran kejadian tersebut pelbagai keluhan mahupun rungutan telah dilontarkan oleh mahasiswa/mahasiswi yang merasa terbeban diatas kenaikan yuran secara mendadak tersebut.

     Dalam kekecohan yang timbul ini, muncul pihak-pihak yang cuba meredakan keadaan dengan menuding jari menyalahkan pihak pengurusan berkenaan isu yuran ini. Tindakan ini adalah suatu perbuatan yang tidak wajar dilakukan sebaliknya harus mendapatkan penjelasan yang sebenar dari pihak yang terbabit.






     Setelah perbincangan yang melibatkan pihak pengurusan UKM, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim menjelaskan perkara sebenar mengenai isu ini seperti diatas.


     Dengan penjelasan tersebut diharapkan mahasiswa mahasiswi UKM dapat menarik nafas lega dan tidak lagi menyalahkan pihak pengurusan UKM. Diharapkan warga UKM mennyokong dan menghargai usaha pihak UKM dalam menjaga kebajikan pelajar serta memacu universiti kearah kecemerlangan berterusan. Sekian, Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti.


Teguh, Setia, Bersatu!

Read More

PENGHAYATAN NUZUL QURAN

Assalammualaikum, salam sejahtera, serta salam Ramadhan buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Pada tarikh hari ini 17 Ramadhan pada 1398 tahun yang lepas, terdapat satu peristiwa yang tertulis dalam sejarah umah Islam di seluruh dunia iaitu hari Nuzul Quran. 


Kira-kira 1398 tahun yang lepas, turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. pada tanggal 6 Ogos, 610. Ianya bersamaan dengan 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraaan Baginda Nabi Muhammad SAW. Al Quran diturunkan pada malam jumaat di Gua Hira. Inilah ayat pertama yang diturunkan kemudian berperingkat-peringkat sehinggalah terkumpulnya 6,666 ayat dalam Al Quran ; 


"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq:1-5)


Antara  peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud:


“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185) 



Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.



Kehebatan al-Quran: 


1.         Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88) 


2.         Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala. 


3.         Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat. 


4.         Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta  ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23). 


5.         Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw. 


6.         Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam  kekal terpelihara hingga kiamat. 


7.         Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)2  


8.         Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.” 


  
Tuntutan al-Quran:



Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya;

  1. Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
  2. Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
  3. Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.



Peringatan:

  • Al-Quran untuk dibaca bukan untuk dijadikan perhiasan.
  • Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
  • Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
  • Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.

Pesan Nabi saw: 
Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).


Kami dari pihak Media Kampus UKM ingin mengucapkan Salam Nuzul Quran buat semua pembaca blog MKUKM sekalian. Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua, serta dapat dimanfaatkan sebaiknya agar menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya. Amin. 

Teguh, Setia, Bersatu !

P/S: marilah sama-sama kita mencari MALAM SERIBU MALAM :)


Read More

Tuesday, August 16, 2011

Kemudahan Di UKM

Assalammualaikum, salam Ramadhan, serta salam 1 ASPIRASI buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Hari ini, dalam tidak sedar kita telah memasuki fasa kedua Ramadhan Al-Mubarak, bulan penuh kesyukuran dan keberkatan. Diharap amalan kita akan terus ditingkatkan dalam meniti hari-hari terakhir dibulan penuh mulia ini.


Tentunya, debaran kian terasa buat sahabat-sahabat yang bakal menjadi sebahagian dari keluarga kita di Universiti Kebangsaan Malaysia. Masing-masing tentunya berdebar-debar dan tidak sabar untuk menjelajah ke bumi bertuah UKM ini serta menyambung perjuangan mengejar impian dan cita-cita.

Mungkin ada lagi sahabat kita yang belum pernah menjejakkan kaki ke UKM sebelum ini tertanya-tanya bagaimanakah agaknya suasana kehidupan di sana nanti. Adakah disediakan kemudahan seperti yang dilihat di televisyen, dibaca di akhbar, mahupun diceritakan oleh senior-senior sebelum ini? Justeru kami barisan jentera Aspirasi ingin mengajak anda melihat sedikit 'preview' tentang kemudahan-kemudahan yang disediakan di UKM agar dapat memberi sedikit gambaran tentang suasana kehidupan yang bakal anda tempuhi.

1)Dewan Canselor Tun Abd Razak (DECTAR)

Dectar merupakan dewan terbesar dan tertua yang menjadi salah satu lambang kemegahan dan kebanggaan UKM. Berkeluasan 105'x104.6' (ruang lantai) dan 33'x78' (ruang pentas), dectar digunakan untuk majlis konvokesyen, sambutan ambang merdeka, peperiksaan akhir semester, persembahan kesenian, persidangan, serta majlis-majlis rasmi lain.


2) PUSAT KESIHATAN UKM



Pusat Kesihatan(PK) UKM merupakan sebuah pusat kemudahan yang berfungsi sebagai klinik dimana mahasiswa/i boleh mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma. Terletak berhadapan Kolej Burhanuddin Helmi(KBH), PK beroperasi pada waktu seperti berikut :


Isnin hingga Khamis  : 8.15 pagi - 12.45 tgh, 2.00 ptg - 4.45 ptg.
Jumaat                        : 8.15 pagi - 12.00 tgh, 2.45 ptg - 4.45 ptg.


Namun pelajar boleh menghubungi kakitangan bertugas sekiranya berlaku kecemasan di luar waktu PK beroperasi. Antara perkhidmatana yang ditawarkan di PK antaranya pemeriksaan kesihatan, pembedahan kecil, fisioterapi 'infrared', pengimejan diagnostik asas x-ray, dialisis, rawatan gigi, wad isolasi dan pemerhatian, serta banyak lagi. Bagi pelajar yang tinggal di luar kampus pula, UKM memiliki polikliniknya sendiri yang terletak di Seksyen 15 Bandar Baru Bangi.


3)PUSANIKA


Pusanika UKM merupakan bangunan empat tingkat berkeluasan fizikal 164,641 kaki persegi dan bertindak sebagai pusat kemudahan utama di UKM. Selain menempatkan ruang pejabat bagi Jabatan Perkhidmatan Pelajar dan persatuan-persatuan yang bernaung di bawahnya, pusanika turut menyediakan kemudahan seperti pejabat pos, bank, kedai buku, kafetaria, kedai runcit, mesin ATM dan sebagainya.





Antara mesin ATM yang disediakan di Pusanika adalah mesin ATM Bank Islam, CIMB, MAYBANK, dan BSN. Perkhidmatan ATM turut terdapat di Canselori (Bank Islam dan CIMB) serta di kolej-kolej tertentu seperti KKM (Bank Islam) dan KPZ (Bank Islam).





Malah, Pusanika sering dijadikan tempat untuk menganjurkan program-program atau jualan seperti Minggu Pengenalan Persatuan, PC Fair, promosi buku, dan pelbagai aktiviti anjuran pelajar.



4)MASJID UKM



Masjid UKM merupakan salah satu kebanggaan UKM yang tersergam gah di bulatan utama selepas pintu masuk, juga bertentangan dengan Dectar (apabila melalui canselori Dectar berada di sebelah kiri, masjib di sebelah kanan) menjadikan kedudukannya strategik seperti yang terkandung dalam falsafah UKM ; 

"Paduan antara iman kepada Allah (masjid) dan Ilmu yang bermanfaat (dectar), serta gabungan antara Teori dan Amal merupakan asas kepada pembangunan Universiti, pembudayaan ilmu, dan pembentukan masyarakat terpelajar"


Bangunan Masjid mengandungi tiga paras, dengan keluasan 25,713.41 meter persegi (74,500 kaki persegi) dan boleh menampung jemaah seramai 5,000 orang.
  • Paras Satu Masjid mempunyai sebuah dewan sembahyang, dua tempat wuduk (lelaki dan perempuan), dua tandas (lelaki dan perempuan), pejabat pentadbiran Pusat Islam, sebuah bilik seminar, sebuah bilik mesyuarat, sebuah bilik mandian jenazah dan kutub khanah.
  • Paras Dua Masjid mempunyai sebuah dewan sembahyang, sebuah bilik rehat Imam dan Bilal dan sebuah bilik tetamu.
  • Paras Tiga mempunyai dewan sembahyang Muslimat, bilik studio dan dua tempat wudu'. Persekitaran masjid mempunyai enam buah pondok wakaf, sebuah dapur (termasuk bilik mandi dan tandas) serta terdapat lebih kurang 300 lot tempat letak kereta.

sumber : Pusat Islam UKM

5)PERKHIDMATAN BAS

UKM turut menyediakan perkhidmatan bas agar memudahkan pergerakan mahasiswa/i di dalam kampus mahupun disekitarnya. Malah, UKM turut mempunyai stesen KTM komuter sendiri yang tidak jauh dari Kampus UKM Bangi.


Bas-bas di UKM dibahagikan mengikut zon laluan seperti :
  • Zon 2 : bermula dari KPZ
  • Zon 3 : bermula dari KKM
  • Zon 4 : bermula dari KIAM
  • Zon U : bermula dari KKM melalui seluruh kampus
  • Zon 6K/6Z : bermula dari stesen KTM komuter ke KKM/KPZ



6) PERKHIDMATAN INTERNET

 Bagi meningkatkan prestasi pembelajaran mahasiswa/i, UKM dilengkapi dengan perkhidmatan internet tanpa wayar (wi-fi) yang boleh dicapai di seluruh kawasan kampus. Warga ukm akan menggunakan akaun ukm-jaring manakala  warga bukan ukm akan menggunakan akaun tetamu ukm. Selain itu, terdapat beberapa kolej seperti KDO, KUO, KBH, KAB dan KIY yang menyediakan 'cable port' untuk capaian internet melalui kabel LAN. Justeru, dua perkhidmatan internet ini mampu menjimatkan kewangan mahasiswa/i kerana mereka tidak perlu membeli 'broadband' untuk mendapatkan capaian internet di UKM.

7) STADIUM UKM


Kemudahan bersukan tidak pernah diketepikan oleh pihak UKM. Selain gelanggang futsal, gelanggang bandminton, skuasy, gymasium, padang golf, kriket dan sebagainya, UKM turun menyediakan stadium yang besar beserta trek sintetik untuk acara-acara sukan yang besar serta untuk memudahkan mahasiswa/i berlatih untuk acara sukan tertentu. Terletak berhampiran Kolej Rahim Kajai dan Kolej Ibu Zain, stadium ini kini menjadi tempat mahasiswa/i bersukan dan beriadah setiap petang atau mengadakan acara-acara tertentu seperti bersenam bersama ahli kelab, pertandingan berbasikal dan sebagainya.




8)PERPUSTAKAAN TUN SRI LANANG (PTSL)



PTSL merupakan perpustakaan akademik yang menyediakan keperluan sumber maklumat kepada warga UKM. PTSL juga merupakan kebanggaan UKM apabila diiktiraf sebagai perpustaakan terbesar di Asia Tenggara dengan memiliki 4 cabang perpustakaan yang lain serta mempunyai sistem-sistem berteknologi yang canggih. Empat cabang PTSL adalah :

  • Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu (PATMA)
  • Perpustakaan Undang-Undang (PUU)
  • Perpustakaan Dr. Abdul Latif (PDAL)
  • Perpustakaan Pusat Perubatan UKM (PPPUKM)





Memiliki lebih dari 1,873,051 koleksi (sehingga 2009) dan 30,600 jurnal elektronik, PTSL turut mempunyai aplikasi dalam talian (online) yang baik di mana mahasiswa/i dapat meminjam buku langsung dari kawasan luar perpustakaan serta menyemak tarikh pulang buku, jumlah hutang dan sebagainya, semuanya secara online.




Selain kemudahan yang lengkap, suasana pembelajaran di PTSL sangat kondusif dan sesuai untuk pelbagai cara pembelajaran dan pengajaran. Terdapat juga bilik perbincangan serta bilik khas yang kedap bunyi khas untuk aktiviti-aktiviti perbincangan dalam kumpulan agar tidak mengganggu pengunjung lain. Malah, PTSL turut menyediakan perkhidmatan meminjam dan memulang buku secara elektronik.





Selain kemudahan di atas, ada banyak lagi kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan di UKM. Justeru, perkhidmatan dan kemudahan ini diharapkan agar dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa/i UKM agar dapat meningkatkan produktiviti serta membentuk masyarakat terpelajar. Sekian, mahasiwa tunjang ASPIRASI universiti.


TEGUH, SETIA, BERSATU !

Read More

Saturday, August 13, 2011

Gerak Kerja Awal


Assalammualaikum, selamat sejahtera dan salam Ramadhan buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Hari ini, genap 13 hari umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa. Kami, barisan jentera Aspirasi UKM ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan penuh keberkatan dan kesyukuran, khususnya kepada mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga Ramadhan kali ini lebih dimanfaatkan daripada yang sebelumnya, insyaAllah..

Kurang sebulan dari sekarang, Universiti Kebangsaan Malaysia bakal menerima kemasukan pelajar-pelajar baru yang datangnya dari seluruh pelosok negara. Malah terdapat juga pelajar-pelajar dari luar negara yang bakal mendaftar pada 7 September 2011 ini. Justeru, kami dari barisan kepimpinan Aspirasi UKM mengucapkan tahniah, syabas serta AHLAN WASAHLAN kepada bakal-bakal perintis Universiti Kebanggaan Malaysia. Sesungguhnya ini merupakan detik permulaan dalam pembentukan seorang khalifah berketrampilan dan disegani di luar sana, juga saat-saat pertama untuk anda merealisasikan impian dan cita-cita.

Bagi menyambut kedatangan sahabat-sahabat baru ini, kerja-kerja persediaan giat dijalankan di setiap kolej. Bahkan, menurut Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi (JAKSA) Kolej Rahim Kajai, Muhammad Amirul Kamil bin Abd Ghani , setakat 4 bulan ini sudah 3 kali perkampungan diadakan dan sekarang mereka masih di kampus, membuat persiapan terakhir sebelum pulang bercuti untuk menyambut hari Raya Aidilfitri, kemudian bergegegas semula ke kampus pada hari raya ke-5.

"Setakat ini kami JAKSA-JAKSA KRK telah menyiapkan sebahagian besar persediaan BMP termasuk banner, peralatan LDK, dan sebagainya. Kami juga turut mengadakan rondaan pada setiap hari untuk memeriksa serta menyelenggara peralatan dan kemudahan kolej supaya tiada cela apabila pelajar baru mendaftar kelak. walaupun sekarang bulan puasa, rondaan tetap diteruskan malah ditingkatkan lagi, kami meronda ke setiap bilik dan memeriksa setiap peralatan supaya tiada kerosakan demi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar sesi akan datang," kata beliau yang merupakan JAKSA Kebajikan Kolej Rahim Kajai 2011/2012.

Fenomena yang sama berlaku di Kolej Dato' Onn (KDO). Menurut sumber, JAKSA-JAKSA KDO telah berkampung di kampus sejak bermulanya cuti semester lepas untuk menghadiri kursus pemudah cara, mengadakan perbincangan, membuat tempahan peralatan serta makanan, menyediakan bahan-bahan untuk BMP dan mereka cuma pulang ke rumah untuk bercuti selama beberapa hari. Kini mereka masih berada di kampus di bawah pantauan Felo bertugas.

JAKSA-JAKSA KDO bersama banner


"Buat masa ini, kami lebih menumpukan perhatian terhadap pengisian modul untuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Modul haruslah menarik dan informatif serta bersesuaian dengan jiwa seorang mahasiswa. Selain itu banner sudah disiapkan, alatan-alatan yang akan digunakan sudah disediakan, borang-borang telah dicetak, informasi kolej sudah ditampal di sekitar kolej. Perancangan untuk persembahan penutup juga sedang dalam proses terakhir" kata saudara Mohammad Khairul Syazwan bin Arisarono, JAKSA Kebudayaan Kolej Dato' Onn.

Manakala menurut saudari Arniza binti Ahmad, JAKSA Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa (HELA) Kolej Dato' Onn pula, pelajar-pejajar baru tidak perlu gusar dan bimbang untuk menjejakkan kaki ke UKM dan KDO khususnya, kerana barisan FELO, JAKSA serta Pemudah Cara akan cuba memberikan kerjasama yang terbaik dalam menjayakan BMP.

"Kebajikan anda keutamaan kami. Justeru kami akan cuba membantu pelajar-pelajar baru untuk menyesuaikan diri, menguruskan hal-hal kemasukan serta pendaftaran kolej dan fakulti, biasiswa, penggunaan portal-portal universiti seperti SPIN dan SMPWEB, zon-zon bas, dan banyak lagi. Mungkin ada yang risau kerana urusan PTPTN belum selesai. Tidak mengapa, nanti kami ajarkan."

Apabila bertanya, adakah apa-apa kesusahan yang menimpanya sepanjang perkampungan ini, jawapannya ringkas ;

"kesusahan itu lumrah" katanya sambil tersenyum.

Selain itu di kolej lain juga persediaan giat dijalankan berikutan kurang sebulan lagi BMP akan berlangsung. Walaupun dalam bulan Ramadhan, barisan Felo, JAKSA serta Pemudah cara bertungkus-lumus membuat persediaan bagi menjayakan Bulan Mesra Pelajar (BMP) sesi 2011/2012. Justeru, diharapkan bakal-bakal mahasiswa tahun 1 dapat memanfaatkan sebaiknya BMP agar dapat melangkah lebih yakin dan menjalani kehidupan dan pembelajaran yang terbaik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dicintai ini. Sekian, Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti.


TEGUH, SETIA, BERSATU !

Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.