Monday, November 28, 2011

MPP Azlan Ismail : Manifesto Hampir Tercapai

                                  Alhamdulillah,usaha untuk menempatkan mesin air beralkali di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menuju kejayaan. Usaha ini sebenarnya bermula sejak memenangi pilihanraya kampus lagi.namun,terdapat beberapa halangan menyebabkan usaha murni ini terganggu.

Kemuncaknya, alternatif dan usaha tetap diteruskan untuk merealisasikan amanah dan mandat yang telah diberikan.inilah hasilnya...




Gambar1:
Surat memohon menempatkan mesin air beralkali di FKAB kepada unit penjanaan jabatan bendahari.




Gambar 2:
lawatan wakil daripada unit penjanaan jabatan bendahari, wakil syarikat air yang dilantik oleh UKM dan saya sendiri pada 23/11/2011.

Dengan adanya kemudahan ini, pelajar-pelajar FKAB akan dapat menikmati bekalan air beralkali dengan lebih mudah daripada sebelumnya. Gunakanlah kemudahan ini sebaiknya untuk kebaikan bersama. Sekian,



Mohd Azlan Bin Ismail
MPP ASPIRASI, FKAB Tahun 1/2
Biro kerohanian dan pembangunan insan


 Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Sunday, November 27, 2011

#AUKU tidak sekat kebebasan berfikir mahasiswa

                            Petikan dari : http://sarfams.wordpress.com/


Rencana BERITA HARIAN 18 NOVEMBER 2011 muka surat 35

1. AUKU diwujudkan apabila mahasiswa universiti pada akhir 1960an tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran dan lebih banyak menjadi kumpulan pendesak yang terbabit dengan aktiviti luar yakni politik nasional dan antarabangsa melalui tunjuk perasaan dan sebagainya.

2. Ramai pendidik beranggapan AUKU tidak menyekat mahasiswa berfikir dan mereka juga mempunyai hak memilih sumber ilmu dan idea politik sesuai dengan jiwa dan pemikiran mereka.

3. Mahasiswa masih dalam proses pembentukan karektor dan personaliti mereka. Ini memerlukan tahap disiplin tinggi dan berfikiran terbuka untuk menerima kepelbagaian ilmu dan pemikiran di universiti sebelum melakukan pemilihan arah tujuan kendiri mahasiswa itu selepas bergelar graduan.

4. Biarlah pada peringkat universiti, pelajar diberi ruang yang terbuka untuk menyelidiki dan meneroka ilmu yang boleh mematangkan mereka.

5. Malah Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) juga sudah mengarahkan setiap silibus kursus di universiti dimasukkan elemen pemikiran kritis dalam usaha membentuk pemikiran kritis di kalangan mahasiswa bagi menyelesaikan pelbagai isu semasa negara dan masyarakat.

6. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohamed Noor, antara orang yang bertanggungjawab merangka serta melaksanakan AUKU pada 1971 pernah menjelaskan bahawa: “…terus terang saya katakan, tiada niat dalam hati kami (yang merangka AUKU) untuk mengongkong mahasiswa daripada bergerak aktif kerana kami juga asalnya daripada universiti.”

7. Pelajar juga tiada masalah memberikan buah fikiran dan mengkritik secara konstruktif yakni berasas, bukan emosi ke atas sesiapa saja sama ada pihak kerajaan, pembangkang, swasta, Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran universiti sekalipun. Tiada tindakan akan diambil keatas mereka melainkan pertuduhan dikemukakan adalah tidak berasas dan fitnah sifatnya.

8. Pensyarah tidak harus mempengaruhi dan menghasut mahasiswa supaya aktif dalam kegiatan yang bersifat politik luar. Pensyarah juga hendaklah memberi peluang kepada mahasiswa di bawah bimbingan dan jagaan mereka itu untuk mendapatkan ijazah, menjadi doktor dan profesor.

9. Mahasiswa sekarang tentu sudah selesa dan cukup dengan keperluan hidup, tetapi jangan menyimpangkan mereka daripada tujuan asal menuntut ilmu yang dituntut agama, bangsa dan negara.


Sedutan tulisan Penulis Tamu Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd Azizuddin Mohd Sani (azizuddin@uum.edu.com.my)
Read More

Saturday, November 26, 2011

Maal Hijrah Menyingkap Sejarah




Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram ini adalah suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana ia menandakan dua peristiwa penting berlaku dalam sejarah Islam. Pertama, memperingati penghijrahan Nabi Muhammad dari Kota Mekkah ke Madinah pada tahun 622 masihi, dan kedua, ia merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia dan merupakan permulaan tahun hijrah bagi umat Islam.


KISAH HIJRAH


RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang bertapa di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.

Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.

Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: “Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah.” Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW). Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr,Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.

Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.

Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.

Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba,
sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.



Kesan daripada penghijrahan Rasulullah (SAW) dari Makkah ke Madinah adalah satu catatan penting sehingga umat Islam menjadikan tahun peristiwa bersejarah ini sebagai tahun permulaan kalendar Islam. Justeru, marilah kita bersama menghayati hari bersejarah ini untuk memantapkan keimanan serta meneguhkan tauhid kepada Allah SWT. 

Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Tuesday, November 22, 2011

Program Riadah Kelab Aspirasi UKM - Gua Batu Maloi

Assalammualaikum dan selamat sejahtera. Pada 9 hingga 11 Disember 2011, Kelab Aspirasi UKM akan menganjurkan program riadah bertempat di Gua Batu Maloi, Johol Negeri Sembilan. Pendaftaran terbuka kepada pelajar-pelajar UKM di kampus Bangi, KTSN dan KTDI. Di sana terdapat kemudahan yang lengkap dan selesa seperti tandas, bilik mandi, surau dan dewan. Para peserta dikehendaki membayar hanya RM60 seorang dan akan diberikan sehelai t-shirt percuma.




Ingin mendaftar??
sila hubungi Farhan Ahdon 0176365634 atau Irwan Nordin 0102420849
cepat, tempat terhad!


Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang akan dilangsungkan di sana seperti :

  •        Aktiviti 1 - Blind Trill

Para peserta akan di bawa masuk mengharungi hutan dan menikmati keindahan alam dan suasana diwaktu malam. Setelah tiba di satu tempat, para peserta dikehendaki menutup mata dengan kain hitam dan akan dilepaskan seorang demi seorang sambil memegang tali. Aktiviti ini dapat dapat meningkatkan keyakinan diri para peserta.

  • Aktiviti 2- Water Confident

Para peserta akan diberi taklimat dan praktikal mengenai cara-cara untuk menyelamatkan mangsa lemas dengan teknik yang betul pada masa kecemasan. Kemudian, para peserta akan diuji kebolehan mereka dengan diberikan beberapa cara untuk menyelamatkan mangsa lemas. Contohnya, dengan mengunakan tali ,buluh dan seumpamanya. Aktiviti ini dapat mengajar para peserta teknik yang terbaik untuk menyelamatkan mangsa lemas ketika dalam kecemasan.

  • Aktiviti 3- Xplorace

Para Peserta akan dibahagikan beberapa kumpulan. Explorace ini mempunyai 5 check point yang harus diharungi oleh setiap kumpulan. Setiap check point mempunyai aktiviti yang menarik yang harus mengunakan kepakaran dan kerja berpasukan. Aktiviti ini akan berlansung disekitar kawasan hutan tersebut. Semangat  kerjasama dan berpasukan di antara ahli dalam kumpulan dapat dipupuk dalam aktiviti ini.

  • Aktiviti 4- Water Game

Water game ini merupakan salah satu acara sukaneka yang akan diadakan pada hari kejadian. Para peserta akan dibahagikan beberapa kumpulan dan diberikan satu beg plastik kosong. Setiap kumpulan akan diuji minda mereka dengan bagaimana hendak melintasi sungai dengan membawa pasir dalam beg plastik.

  • Aktiviti 5- Malam Kebudayaan

Setiap kumpulan akan mempersembahkan satu persembahan bertemakan ‘Satu Malaysia’.Setiap kumpulan diberi masa 10minit untuk mempersembahkan persembahan tersebut. Dalam aktiviti ini kita dapat melihat pelbagai persembahan yang menarik dan mencungkil bakat-bakat para peserta yang terpendam.

  • Aktiviti 6- Jelajah Gua Batu Maloi

Gua Batu Maloi merupakan gua batu granit yang menarik terletak di kawasan hutan simpan kg. Tanggai. Untuk menikmati keindahan dan keunikannya, para peserta mestilah mengharungi sungai yang mengalir di celah-celah batu sebagai ujian ketahanan mental dan fizikal. Gua Batu Maloi ini mempunyai 24 peringkat dan setiap peringkat mempunyai cabaran yang tersendiri.

  • Aktiviti 7-Rock Abselling

Para peserta akan diuji tahanan dan fizikal mereka dengan memanjat batu tanpa mengunakan tali. Aktiviti ini akan di ajar oleh jurulatih yang bertauliah dan berpengalaman.

  • Aktiviti 8-Khidmat Masyarakat

Sebelum para peserta pulang ke UKM, para peserta akan melakukan sedikit aktiviti khidmat masyarakat iaitu membersihkan kawasan disekitar sungai Gua Batu Maloi. Aktiviti ini akan meningkatkan semangat perpaduan dan mencintai alam sekitar dan secara tidak langsung dapat berbakti kepada masyarakat Kampung Gua Batu Maloi.


Aktiviti-aktiviti ini dilihat dapat meningkatkan tahap keyakinan seseorang, mendekatkan jiwa dengan alam sekitar serta  menambah 'soft skill' para peserta. kelab Aspirasi UKM juga melihat program ini sebagai satu medium untuk merapatkan ukhwah sesama peserta yang kesemuanya terdiri dari mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia dari pelbagai kolej dan fakulti. Justeru, pelajar yang berminat bolehlah menghubungi saudara Farhan Ahdon (0176365634) atau Irwan Nordin (0102420849) segera kerana tempat adalah terhad. 

Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Saturday, November 19, 2011

Isu Keprihatinan terhadap keselamatan dan kebajikan warga FST

                              Berikutan dengan respon daripada pelajar FST, satu rondaan dan tinjauan sempat juga dilakukan sebelum cuti pertengahan semester yang lepas. Hasil tinjauan didapati bahawa terdapat serba sedikit kekurangan di beberapa bangunan di FST yang perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan FST.

Penggunaan mesin minuman air RO sekali lagi menjadi isu utama dalam perbincangan ini. Menurut Prof. Sahrim, Dekan FST, isu ini telah dibangkitkan oleh pengurusan FST ke peringkat pengurusan university.Operator yang sedia ada itu akan ditukar sekiranya masalah pembekalan mesin minuman air RO masih berlaku.

Selain itu, beberapa tempat di bangunan FST perlu dibaiki dengan keadaan sekarang yang menimbulkan kesulitan dan mampu mengancam keselamatan pelajar. Bersertakan gambar di sini untuk kefahaman semua. Yang Berbahagia Prof Sahrim juga memandang serius perkara ini dan tindakan akan diambil dengan segera.

Wilfred Mok Kok Hoe
MPP FST 2010/2011




Perabot lupus yang menghalang laluan pelajar

Alat pemadam api yang terkunci tetapi tiada kunci.

Pengendalian pelupusan perabot yang tidak sesuai.

Perabot yang rosak tidak diurus dengan baik


Read More

Monday, November 14, 2011

Adakah Mahasiswa Sudah Bersedia?


WAN AHMAD HAZMAN WAN DAUD
Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Twitter : @WAHazman


MAHASISWA mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing. Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.

Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.

Selain itu, kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa universiti masing-masing.

Pelbagai persoalan akan timbul apabila cadangan tentang mahasiswa perlu terlibat dengan parti-parti politik diutarakan. Jika mahasiswa menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut? Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti sebagaimana yang pernah dihadapi oleh sesetengah pemimpin terdahulu.

Mahasiswa juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut. Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.

Apakah jaminan politik kepartian tidak akan wujud di dalam kampus sekiranya mahasiswa terlibat dengan politik kepartian? Apakah jaminan tiada ejen parti politik masuk ke dalam kampus untuk berkempen?
Perkara paling penting yang perlu diingatkan bahawa mahasiswa adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.
Kemunculan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) yang sebenarnya melindungi mahasiswa daripada cengkaman parti-parti politik di luar kampus. AUKU yang menyebabkan mahasiswa pada hari ini mempunyai idealisme tersendiri dan juga kita dapat membentuk kepimpinan mahasiswa di kampus mengikut acuan tersendiri tanpa kongkongan parti-parti politik di luar kampus.

Pesanan saya kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka, biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibu bapa dan tanggunjawab kami kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bantuan subsidi yang diberikan. - Utusan Malaysia
Read More

Thursday, November 10, 2011

Soal Jawab Tentang AUKU

                       1. Kenapa Kerajaan tidak mansuhkan AUKU agar pelajar boleh berpolitik?


Jawapan:

AUKU merupakan punca kuasa bagi sesebuah IPTA yang merangkumi perkara berkaitan tadbir urus universiti, autonomi, status badan berkanun dan sebagainya. Hanya Seksyen 15 yang berkaitan dengan isu pelajar berpolitik. Jika diminta agar AUKU dimansuhkan maka ia menunjukkan seseorang itu buta undang-undang.


2. Kenapa Kerajaan tidak pinda Seskyen 15 bagi membolehkan pelajar berpolitik?

Jawapan:

Pindaan AUKU 2009 telah melalui proses yang panjang bermula tahun 2005 dengan penubuhan Jawatankuasa Meminda AUKU yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan. Disamping sesi brainstorming antara ahli, mereka turut mendapatkan pandangan banyak pihak seperti ibubapa/orang ramai, SUHAKAM, pegawai Kerajaan, wakil parti politik Kerajaan, wakil parti politk pembangkang dan sebagainya. Keputusan yang diambil adalah tepat pada masa itu walaupun sudah tentu tidak dapat memenuhi kehendak semua orang.


3. Pelajar menjadi tidak kreatif jika aktiviti mereka dalam politik dikongkong.

Jawapan:

Kegiatan bersifat politik masih dibenarkan diadakan di IPT dengan syarat ianya haruslah berbentuk akademik dan tidak menjurus kepada parti-parti politik tertentu. Sebagai contoh program pengajian Sains Politik telah lama diperkenalkan di beberapa IPT di Malaysia yang menawarkan kursus-kursus berkaitan politik. Selain itu beberapa forum yang membincangkan isu politik semasa secara ilmiah telah banyak diadakan di beberapa IPT, di samping memperkenalkan sudut pidato di setiap IPT yang memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat pidato mereka.


4. Kenapa pelajar luar negara (Kelab UMNO luar negara) boleh terlibat politik?


Jawapan:

AUKU hanya terpakai kepada pelajar IPTA dan tidak terpakai kepada pelajar luar negara. Penubuhan persatuan di luar negara adalah tertakluk kepada undang-undang di negara tersebut. Kalau nak tubuh Kelab PAS luar negara atau Kelab PKR/DAP luar negara pun boleh.


5. Jika AUKU hanya terpakai kepada pelajar IPTA, adakah pelajar IPTS dibenar menjadi ahli parti politik?

Jawapan:

AUKU tidak terpakai kepada pelajar IPTS tetapi mereka tertakluk kepada Akta IPTS [Akta 555] yang juga terdapat seksyen yang melarang pelajar menjadi mana-mana parti politik.


6. Adakah AUKU menghalang semua pelajar berpolitik?


Jawapan:

AUKU tidak menghalang secara total mana-mana pelajar untuk berkecimpung dalam arena politik. Ini berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 15(4) AUKU yang memberi kuasa budi bicara kepada Naib Canselor untuk mengecualikan pelajar itu daripada sekatan yang disebut dalam perenggan 15(1)(a) AUKU. Ini akan membolehkan seseorang ahli politik yang bergiat dalam mana-mana parti politik mendaftar bagi sesuatu kursus di Universiti tanpa perlu melepaskan kerjaya politiknya.



Read More

Sunday, November 6, 2011

Pengesahan Permohonan Masuk Peperiksaan

                       Perhatian kepada seluruh warga UKM.

Anda dikehendaki membuat pengesahan permohonan masuk peperiksaan melalui laman SMPWeb bermula 7 sehingga 13 November 2011.
  1. Sila semak maklumat peperiksaan dan kursus. Sekiranya semua maklumat betul dan tiada percanggahan jadual, klik SAH
  2. Sekiranya terdapat percanggahan atau 3 kursus berturutan dalam satu hari, klik butang BAHAGIAN AKADEMIK dan cetak paparan borang tersebut. Catat kursus terlibat dan dapatkan pengesahan Fakulti. Borang perlu diserahkan ke Kaunter Bahagian Pengurusan Akademik selewat-lewatnya 14 November 2011.
  3. Sekiranya pelajar gagal membuat pengesahan atau pembetulan terhadap maklumat tersebut, segala butiran dianggap betul dan lengkap. Jika pelajar tidak hadir ke peperiksaan bagi kursus tersebut, pelajar akan diberi gred E (gagal). Pelajar-pelajar yang tidak membuat pengesahan juga akan dikenakan denda sebanyak RM15.00.
Para pelajar diharap dapat memberi tumpuan berkenaan hal ini kerana tempoh pengesahan adalah ketika cuti. Kelekaan pelajar dikhuatiri akan mengganggu proses pendaftran peperiksaan pelajar sendiri. Sekian.




Read More

Saturday, November 5, 2011

Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha

"Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Diriwayatkan Imam Abu Daud dan an-Nasai daripada Anas)
“Tiada amal anak Adam yang lebih disukai Allah pada hari Aidiladha melainkan ibadat korban. Sesungguhnya binatang yang dikorbankan itu akan datang pada hari kiamat lengkap dengan tanduk, bulu dan kukunya. Sesungguhnya ibadat korban ini diredhai Allah sebelum darah binatang itu jatuh ke bumi. Maka hendaklah kamu berasa lapang dada dan reda akan ibadat korban yang kamu lakukan.” (Hadis riwayat At-Tirmizi)




Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidil Adha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidil Adha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidil Adha serta khutbah Aidil Adha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.



Aidil Adha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.


Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.

Hari Raya Aidil Adha jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.

Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang cantik, bersih dan mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak dua rakaat yang diadakan pada sebelah pagi.

Selain itu, salah satu keistimewaan Aidil Adha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidil Adha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.


Barisan kepimpinan Aspirasi UKM mengucapkan, Selamat Hari Raya Aidiladha buat seluruh warga Universiti Kebangsaan Malaysia serta umat Islam di seluruh dunia. 

Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Wednesday, November 2, 2011

AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pihak kami baru sahaja menerima sebuah kiriman emel dari seorang pengirim yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, setelah dibaca tulisannya ini, ada kebenaran yang harus warga kampus faham dan sedar akan kepentingan AUKU terhadap kita terutama mahasiswa.

Oleh itu, pihak Media Kampus UKM berhasrat untuk sama-sama berkongsi penulisan ini kepada umum supaya kita boleh baca bersama dan menyedari hakikat sebenar.

Jangan kita asyik bersemangat dengan emosional darah muda untuk memansuhkan AUKU semata-mata dan akhirnya nasib diri sendiri akan melayang di bawak permainan politik kepartian di luar kampus.

Ayuh sebagai mahasiswa yang mempunyai keintelektualan tinggi dan bermaruah, kita sama2 berfikir dan kaji adakah AUKU ini benar2 untuk mengongkong kita atau sebenarnya ia beri kita peluang untuk cemerlang?


AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF

Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka? Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Antara sebab mungkin kenapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah bagi tujuan untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama para pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya para pelajar diberi kebebasan untuk menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda berupa wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan para pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan dari mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa 3 hingga 5 tahun.

AUKU juga berperanan sebagai suatu ‘punca kuasa’ untuk mengalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus. Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya telah menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara belajar, komitmen dalam kampus dan komitmen dengan parti politik.

Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah lagi dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka para pelajar tersebut sudah pasti akan hilang kosenterasinya terhadap pengajian. Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini adalah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar tersebut untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajarannya.

Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan untuk bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang Ketua Bahagian sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk mengagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang ‘setaraf’ dengannya dalam dunia politik kepartian? Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya adalah seorang ketua parti lawan? Itu tidak masuk lagi Pengetua Kolej-kolej Kediaman, Dekan-dekan Fakulti dan Pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan di dalam IPT.

Pendek kata yang boleh ditekankan disini ialah, AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya. Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. Oleh itu, fikirlah wahai pihak pemerintah sebelum mengambil sebarang keputusan dan bermatanglah dalam memberi hujah wahai pihak pembangkang agar negara dan masa depan rakyatnya tidak akan dijual kepada pihak lain.




MAHASISWA PRIHATIN
Kuala Lumpur
Read More

Tuesday, November 1, 2011

KEM RAKAN REMAJA PATRIOTIK IKSEP 2011

 Assalamualaikum dan Salam Aspirasi. 

Pada tanggal 28 – 30 Oktober yang lalu, Institut Kajian Sejarah dan Patritisme Malaysia (IKSEP) dengan kerjasama Biro Tata Negara (BTN) dan Mimbar Permuafakatan IbuBapa Malaysia (MAPIM) telah menganjurkan KEM RAKAN REMAJA PATRIOTIK IKSEP 2011 bertempat di Bagan Lalang Beach Resort, Sepang Selangor.

Kem ini disertai seramai 71 orang peserta, yang datang dari TIGA Institusi berbeza, iaitu Universiti Kebangsaaan Malaysia seramai 15 orang, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam Bangi seramai 30 orang dan selebihnya iaitu seramai 26 peserta dari Kolej Komuniti Kuala Langat. Agihan seramai 24 lelaki dan 47 wanita tidak pula mendatangkan jurang perbezaan, malahan bersama-sama sebagai pasukan mengharungi kem sepanjang tiga hari tersebut dengan jayanya.

pelantikan Tun Perak (penghulu kem) 



Slot seperti Apa Itu Sejarah, Gagasan 1 Malaysia: Agenda Patriotisme Yang Belum Selesai, Kembara 1Malaysia, dan Malam Kemuncak Patriotik IKSEP (sketsa berkaitan kronologi penjajahan di Tanah Melayu sehinggalah Laungan Kemerdekaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-haj).

MC majlis penutup (kedua-duanya adalah peserta UKM) 


kenangan peserta UKM bersama kesemua Fasilitator yg terlibat

Perasmian Penutup dirasmikan oleh Pengurus Besar IKSEP, Datuk Aziz bin Ujang sambil disaksikan oleh Datin Seri Ismalina Ismail selaku Pengerusi Penyelaras Program MAPIM Peringkat Kebangsaan. Dalam teks ucapan Datuk Aziz, beliau menyeru agar siswa dan siswi “tidak tidur’ kerana perjuangan kita belum selesai dan pihak pengkhianat dan petualang bangsa sentiasa mengintai peluang untuk merobek kesejahteraan Malaysia ini. Justeru, beliau menyeru agar bangsa Malaysia bersatu dan ketepikan perbezaan lantas mencari persamaan.


Sesungguhnya, kem ini amat bermakna, tidak kiralah untuk siapa, dan pengisian patriotism ini paling bernilai untuk mahasiswa kerana ianya akan memupuk semangat dan rasa cinta akan tanahair serta sudah pasti siswa dan siswi inilah pemacu transformasi dan bakal pemimpin dunia satu masa nanti. Diharapkan semangat patriotisme dalam jiwa anak muda terus subur dalam mempertahankan Malaysia, Bumi Bertuah. 



Tinggi – tinggi si matahari,
Anak punai mencari rakan,
Siswa dan siswi pemacu transformasi,
Penentu kejayaan masa hadapan.

Sekian. Wassalam.

Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.