Photobucket

Sunday, July 25, 2010

Khalid Ibrahim Tak Mampu Urus Isu Curi Pasir – Muhyiddin


KUALA LUMPUR 13 Julai. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mampu menguruskan isu kecurian pasir di kawasan seluas 400 hektar berhampiran Taman Paya Indah Wetlands.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau melihat isu itu seperti terabai kerana kerajaan negeri tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat sehingga menjejaskan ekosistem di kawasan itu.

“Dia ada penasihat. Dia ada pakar. Datuk Seri Anwar Ibrahim penasihat kerajaan negeri. Tapi dia tak tahu nak urus. Soal pasir sahaja. Apa susah. Tangkap sahaja sesiapa yang buat kesalahan dan ambil tindakan kalau harta tanah itu, pasir itu milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini hari ini.

Muhyiddin berkata kerajaan negeri tidak boleh terus berdiam diri kerana kerana isu berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.

“Mereka kata mereka kerajaan yang bersih. Ini telah terbukti. Saya tak tahu mungkin ada elemen rasuah. Saya tidak tuduh tapi apabila tindakan tidak dilakukan bermakna kita collaborate (bersubahat),”

kata beliau.

Timbalan Perdana Menteri berkata masyarakat juga melahirkan kebimbangan apabila membaca laporan-laporan media mengenai kerosakan alam sekitar yang berlaku kesan daripada kerja-kerja mengangkut dan mengorek pasir.

Mengenai dakwaan bahawa tindakan beliau memberi amaran bahawa Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghadapi krisis air terburuk menjelang 2012 jika Abdul Khalid gagal menyelesaikan masalah perbekalan air dengan cekap adalah kerana semata-mata untuk menguntungkan kroni iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Muhyiddin berkata:

“Itu bukan soal untung. Dia ada tanggungjawab. Dia ada perjanjian. Dia ada ikatan. Dia ada persetujuan. Ini hak pertimbangan dia. Ini bukan soal kroni. Takkan soal kroni satu dua, esok rakyat ada berapa juta di Wilayah Persekutuan dan Selangor terpaksa tanggung beban kerana air tiada”.

Sehubungan itu beliau sekali lagi mengingatkan kerajaan negeri supaya lebih amanah dan bijaksana dalam menguruskan perkara itu untuk kepentingan rakyat dan juga negara selain memikirkan masalah yang dihadapi Syabas.

“Dia tak sanggup nak naikkan sedikit harga air untuk menampung kos sehingga syarikat yang mengeluarkan air (Syabas) menanggung rugi. Apabila dia rugi dia tak keluarkan air. Jadi awak tak minum, saya tak minum. Semua kena beristinjak,
bertayamum,” katanya.

Muhyiddin juga yakin rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak akan marah jika berlaku kenaikan harga air asalkan mereka memperolehi bekalan air yang mencukupi.

“Saya tak fikir orang Selangor, Wilayah Persekutuan marah harga naik sikit kalau air ada. Tapi orang Selangor dan Wilayah akan marah dan murka kalau air tidak ada walau apa harga sekalipun,”katanya. – Bernama/MediaUMNO

0 comments:

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.