Photobucket

PENGENALAN

Kelab Aspirasi merupakan sebuah kelab yang bertanggungjawab mewujudkan masyarakat kolej yang cemerlang dalam bidang akademik dan sahsiah serta memupuk semangat bersatu padu antara semua pelajar tanpa mengira bangsa dan agama. Kelab ini berperanan penting dalam usaha menyemai rasa cintakan universiti ke arah merealisasikan ASPIRASI universiti tidak kira diperingkat kolej,universiti mahupun di peringkat yang lebih tinggi.




Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditubuhkan pada 18 Mei 1970 adalah satu-satunya universiti nasional di Malaysia, yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Dengan persekitaran akademik yang unggul, prasarana kampus yang moden dan konsep kampus dalam taman, UKM sememangnya antara universiti yang tersohor di Malaysia dan rantau ini.

Kemudahan Lebuhraya Utara-Selatan, perkhidmatan komuter dan bas memudahkan perjalanan ke kampus UKM bagi para pelajar dan mereka yang ingin mengunjungi Universiti. Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang pula mendekatkan lagi Universiti ini dengan dunia antarabangsa. Kampus Induk Bangi terletak dalam lingkungan MSC, dan berhampiran Putrajaya dan Cyberjaya yang menjadi pemangkin UKM ke arah pembangunan teknologi maklumat.

Kampus induk UKM yang mempunyai keluasan 1,096.29 hektar terletak di Bangi, Selangor Darul Ehsan, kira-kira 35 kilometer dari bandar raya Kuala Lumpur menempatkan lapan fakulti dan 12institut. Selain itu, UKM mempunyai Kampus Perubatan di Kuala Lumpur yang menempatkan empat fakulti iaitu Fakulti Perubatan (Praklinikal), Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi. Manakala Pusat Perubatan UKM (PPUKM), yang mempunyai keluasan 22.3 hektar di Cheras, Kuala Lumpur berupaya memenuhi keperluan semasa dari segi pendidikan, perkhidmatan dan penyelidikan perubatan. PPUKM menempatkan sebuah hospital, Fakulti Perubatan dan Institut Perubatan Molekul (UMBI).

Berlandaskan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan lebih daripada tiga dekad, UKM dipilih sebagai salah sebuah Universiti Penyelidikan di Malaysia. Keunggulan UKM terserlah dengan penempatan institut penyelidikan nasional dan antarabangsa, iaitu Institut Genom Malaysia (MGI) dan International Institute of Global Health, United Nations University. UKM juga adalah penerima Anugerah Kualiti Perdana Menteri 2006. Penganugerahan ini adalah pengiktirafan bagi kecemerlangan UKM dalam bidang akademik dan pengurusan. Dengan asas yang mantap ini, UKM tampil dengan citra baru melalui slogan ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan’. 



Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.