Photobucket

Sunday, January 29, 2012

Autonomi : Caknakah ANDA?

                                        UKM dan 4 lagi IPTA iaitu UM, UPM. USM dan UTM diberi kuasa autonomi bagi mewujudkan universiti yang berinovasi dan lebig berdaya saing.

IPTA ini diberi kuasa dalam empat bidang :

  1. Urus tadbir
  2. Kewangan
  3. Sumber manusia
  4. Pengurusan akademik serta pengambilan pelajar mulai September ini

Info Autonomi Universiti :

  1. Bermaksud penurunan kuasa membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti
  2. Merupakan prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan institusi pengajian tinggi awam yang lebih berdaya saing
  3. Berteraskan integriti dan akauntabiliti yang tinggi dan perlu dipatuhi oleh pihak pentabiran universiti
  4. Keputusan kemasukan pelajar diurus oleh universiti berkenaan dan tidak lagi menerusi Unit Pengambilan Universiti

* sumber : Kementerian Pengajian Tinggi 



Keputusan yang diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Seri Khalid Nordin ini dalam memberi kuasa autonomi kepada LIMA buah universiti di Malaysia, iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) mendapat pelbagai reaksi dan pandangan daripada masyarakat. Ada yang berpendapat keputusan sedemikian perlu diambil sejak lama dahulu sebagaimana yang berlaku di kebanyakkan universiti di BARAT. Mereka berpendapat kebebasan menguruskan pentadbiran universiti tidak perlu dicampur tangan oleh pihak kerajaan kerna ia hanya akan MEMBEBANKAN sesetangah pihak. Namun, adakah benar CAMPUR TANGAN kerajaan membebankan atau membantu pihak universiti? 




Sebagaimana yang diketahui kemasukan pelajar ke universiti adalah berdasarkan sistem Unit Pengambilan Universiti (UPU). Pelajar lepasan sekolah menengah atau matriks diminta mengisi borang secara online sebelum melangkah ke universiti. Sistem yang telah dibangunkan sejak beberapa tahun yang lalu sebenarnya telah MEMUDAHKAN dan MENYEIMBANGKAN bilangan pelajar yang masuk ke sesebuah universiti. Tetapi, setelah kuasa autonomi diberikan kepada LIMA buah universiti ini, mereka BERHAK SEPENUHnya dalam sesi kemasukan pelajar ke universiti masing-masing walaupun sistem UPU masih dikekalkan. Maka, adakah keseimbangan tersebut akan berkekalan? Malah, ada yang menjangkakan yang pihak universiti berkemungkinan akan melebihkan bilangan pelajar luar negara demi meraih KEUNTUNGAN. Bagaimanakah pula nasib pelajar tempatan? Masih ada tempatkah mereka di universiti tersebut?



Kuasa autonomi yang diberikan kepada pihak universiti menyebabkan penurunan KUASA dalam membuat keputusan daripada agensi pusat dan kementerian kepada pihak universiti. Pihak universiti juga perlu mewujudkan suasana kampus yang DINAMIK dan lebih BERDAYA SAING dalam mematuhi prasyarat yang telah ditetapkan. Kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Nazmi bin Nik Ahmad yang mengatakan pemberian autonomi ini tidak BERMAKNA seandainya AUKU masih belum dipinda dan terus mencengkam mahasiswa hanya akan membuat mahasiswa lebih GANAS dalam berpolitik dan berDEMONSTRASI JALANAN. Sedangkan sebagai MAHASISWA yang bijak, bilamana AUKU dipinda persekitaran kampus yang aman perlu dikekalkan demi menjamin kebebasan akademik. Autonomi RELEVAN jika PENINGKATAN dapat dilakukan. MAHASISWA menjadi PENENTU segalanya.



sekian,


 Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Friday, January 27, 2012

Kepada Semua Pengguna Facebook Timeline, Berhati-hati !

SINDIKET penipuan sedang berleluasa di Internet dimana mereka meyakinkan pengguna Facebook Timeline bahawa mereka boleh kembali kepada rupa facebook yang asal dan menyebabkan data pengguna terdedah dan boleh diakses dengan mudah.

Penipu menggunakan aplikasi di Facebook untuk menawarkan pengguna satu kaedah untuk mengembalikan perubahan Timeline Facebook dan kembali ke profil lama. Bentuk penipuan permohonan adalah dengan menggunakan gelaran seperti "Nyahaktifkan Timeline FB" dan boleh didapati dengan mudah melalui fungsi carian Facebook. Dengan menyukai permohonan “like” dan berinteraksi dengan arahan pada halaman ini, pengguna secara tidak sengaja memberikan peluang kepada penipu untuk mengakses profil Facebook dan membenarkan penipu mengepos mesej spam dengan pautan secara automatik yang akhirnya memberi pulangan wang kepada kumpulan sindiket penipuan ini selepas seseorang klik di pautannya.




Sesetengah aplikasi penipuan yang telah wujud sekurang-kurangnya telah mengumpul lebih 70,000 'likes' dari pengguna Facebook yang tidak curiga dalam hanya dua minggu. Banyak permohonan akan menggalakkan peminat yang "like" untuk menjemput rakan-rakan mereka juga. Laman Keselamatan Facebook utama tidak memberi amaran kepada pengguna tentang penipuan ini kerana pihak pengurusan Facebook belum mengeluarkan kenyataan rasmi untuk memberitahu pengguna bahawa Timeline tidak boleh dinyahaktifkan apabila ciri tersebut telah diaktifkan pada profil pengguna. Facebook Timeline telah mula mendapat sambutan oleh pengguna sejak 15 Disember lalu, tetapi tidak semua pengguna Facebook telah mengaktifkan ciri tersebut. Facebook telah memparkenalkan kemas kini untuk pengguna iPhone yang merangkumi ciri Timeline baru pada profil.

Reaksi orang ramai kepada Timeline Facebook agak negatif sejak ciri baru itu diperkenalkan pada akhir bulan September 2011. Di samping itu, pelancaran Facebook Timeline telah berterusan ditangguhkan oleh pegawai-pegawai syarikat dalam tempoh tiga bulan terakhir 2011. Walau bagaimanapun, pengguna yang telah beralih kepada Facebook Timeline mengambil kesempatan daripada ciri baru seperti gambar muka, memperincikan peristiwa-peristiwa hidup sebelumnya dan meningkatkan keselamatan pada paparan-paparan terdahulu.


Sekadar ingatan kepada mahasiswa dan mahasiswi kini supaya tidak terjerumus dalam sindiket ini dan tidak memberi peluang kepada golongan yang ingin mengambil kesempatan kepada kita tanpa kita sedari tatkala Facebook kini menjadi satu medium untuk mahasiswa berhubung dan menyampaikan maklumat. 


Sumber: Yahoo News 


TEGUH,SETIA,BERSATU!

Read More

Thursday, January 26, 2012

Teks Penuh Amanat Tahun Baharu 2012 YAB Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.



AMANAT TAHUN BAHARU 2012

YB. DATO’ SERI MOHAMED KHALED NORDIN

MENTERI PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA


DEWAN A, PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (PICC), JAM 9.00 PAGI, KHAMIS, 26 JANUARI 2012.

“BERFIKIRAN GLOBAL BERTINDAK LOKAL”



Pertamanya, sukalah saya menzahirkan rasa penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan limpah, kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama di majlis Amanat Tahun Baharu 2012 pada pagi yang berbahagia ini. Saya mengucapkan terima kasih dan selamat tahun baharu kepada yang hadir dan yang berpeluang menyaksikan majlis ini melalui video conference dan sebagainya, dengan harapan semua telah bersedia menunaikan amanah dan mengharungi cabaran tahun 2012. Tidak lupa juga untuk saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mencurahkan khidmat bakti selama ini sehingga kita telah mencapai banyak kemajuan dan kejayaan dalam sektor pengajian tinggi negara.


Kita harus akui bahawa masa hadapan sektor pengajian tinggi khususnya IPT semakin kompleks lagi mencabar. Selain dari perlu memenuhi cabaran masyarakat berpengetahuan, sistem pengajian tinggi kita tidak lagi dinilai atau diperhatikan oleh masyarakat tempatan, tetapi turut terdedah kepada warga global. Ini kerana globalisasi telah memansuhkan sempadan antara negara dan meletakkan Malaysia sebaris dengan semua negara di dunia. Oleh itu, cabaran paling getir yang perlu diharungi oleh IPT negara ialah bagaimana untuk meningkatkan kualiti kecemerlangan pengajaran, penyelidikan dan inovasi sehingga berkeupayaan bersaing di peringkat global.


Walau bagaimanapun, dalam keghairahan kita menyahut cabaran global ini, saya ingin mengingatkan para pemimpin akademik di seluruh IPT negara supaya tidak leka dan terlepas pandang bahawa kehadiran di ‘menara gading’ adalah untuk memenuhi tuntutan rakyat, menyahut keperluan masyarakat dan memberi manfaat kepada pembangunan negara. Maka atas asas inilah, saya memilih tema amanat tahun ini ‘BERFIKIRAN GLOBAL BERTINDAK LOKAL’ sebagai satu penegasan bahawa langkah yang paling tepat untuk membina modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi; menjalankan penyelidikan yang bermakna; dan menghasilkan inovasi berimpak besar adalah dengan bertindak untuk kepentingan pembangunan, kemajuan dan transformasi negara.



Tuan-tuan dan Puan-puan,


(PERSEKITARAN BAHARU KAMPUS)


Tahun 2012 bakal menyaksikan dua keadaan yang menyumbang kepada perubahan persekitaran kampus apabila PINDAAN Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan PEMBERIAN AUTONOMI kepada universiti akan dilaksanakan. Umum mengetahui bahawa kerajaan telah bersetuju meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971. Saya percaya meskipun pindaan AUKU ini membenarkan mahasiswa terlibat dalam aktiviti dan parti politik di luar kampus, ia sama sekali tidak akan mengganggu keharmonian kampus sebagai entiti bebas politik kepartian. Kampus perlu kekal neutral kerana matlamat pendidikan perlu dipelihara untuk melahirkan mahasiswa yang dapat memperluaskan ufuk fikir, membina minda dan keupayaan intelektual mereka.


Perlu diingatkan juga, pindaan AUKU bukanlah tiket kebebasan mutlak, jauh sekali membenarkan mahasiswa untuk melakukan aktiviti-aktiviti subversif sehingga mengganggu keselamatan awam. Saya tidak pernah menghalang mahasiswa bersikap kritikal tetapi biarlah sikap itu disalurkan melalui pendekatan yang berhemah lagi beradab. Ingatlah, mahasiswa juga merupakan rakyat dan warganegara yang mempunyai tanggungjawab kepada negara, sama seperti pihak lain dalam masyarakat. Maka atas sebab itulah, perlu ditentukan para mahasiswa kita dibekal dengan pegangan nilai dan etika yang tinggi. Sebagai tambahan kepada usaha-usaha yang selama ini kita lakukan, pada tahun ini, kementerian akan mewujudkan YAYASAN SUKARELAWAN SISWA (YSS) bertujuan membentuk keperibadian yang kukuh dan nilai yang teguh dalam aspek kesukarelawan di kalangan mahasiswa. Selain itu, kita akan melahirkan KUMPULAN DUTA-DUTA UNIVERSITIatau University Ambassador di kalangan mahasiswa yang berperanan membantu pembangunan, kemajuan dan transformasi masyarakat dan negara termasuk Transformasi Luar Bandar.


Pindaan AUKU juga akan mengekalkan persekitaran kampus yang terus menjamin kebebasan akademik. Kampus yang terus kekal sebagai entiti bebas daripada politik akan memerdekakan warga akademiknya daripada pengaruh dan batasan politik. Walau bagaimanapun, kita amat sedih kerana akhir-akhir ini, kebebasan akademik telah disalah guna, disalah erti, disalah tafsir dan lebih membimbangkan, ia menjadi modal politik jalanan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.Ada pula kerana kecenderungan aktivisme, sanggup menjadikan kebebasan akademik sebagai alasan untuk bergiat bebas walaupun ia bertentangan dengan norma dan etika untuk tidak memihak dalam setiap pendekatan ilmu.
Secara umumnya, kebebasan akademik adalah satu kebebasan yang perlu disertai dengan tanggungjawab yang nyata. Ini kerana kebebasan akademik mempunyai nilai teras yang nyata iaitu mencari kebenaran dan menyatakan kebenaran. Kebenaran dalam konteks ini berlandaskan kajian dan penyelidikan saintifik dengan menekankan kepada hasilan yang objektif dan pengembangan budaya ilmu. Ia juga terikat dengan norma, etika dan budaya akademik. Dalam erti kata yang lain, kebebasan akademik amat tertakluk dengan prinsip bahawa setiap kebebasan itu datang bersama satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sepenuhnya.


Ini amat konsisten dengan prinsip kebebasan hak asasi kerana kebebasan tanpa batas membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan kerana ia boleh mengancam kepentingan awam mahupun negara. Apatah lagi sebagai seorang ilmuan, ahli akademik mempunyai tanggungjawab yang berat kepada rakan kesepakaran, pelajar dan masyarakatnya. Pendek kata, setiap penghujahan perlu dipertanggungjawabkan dan dinilai implikasinya dan setiap tingkah laku akademik sentiasa diikuti dan diadili oleh peers atau komuniti kesepakarannya. Begitupun, saya percaya bagi ahli akademik berwibawa, kebebasan akademik masih berkembang segar menyelubungi kerjayanya, khususnya atas hasrat murni memindahkan ilmu untuk kepentingan negara dan sejagat.

Tuan-tuan dan Puan-puan,


Matlamat mencapai kecemerlangan IPT akan diteruskan antaranya melalui pemberian autonomi. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, autonomi adalah prasyarat penting untuk mewujudkan persekitaran kampus yang dinamik melalui pengurusan IPTA yang lebih berdaya saing, kreatif dan fleksibel. Autonomi bermaksud penurunan kuasa membuat keputusan daripada Agensi Pusat dan Kementerian kepada universiti. Ini juga adalah asas penting kepada usaha pemerkasaan IPTA seperti yang dinyatakan dalam teras keempat PSPTN iaitu Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi agar dapat mencapai agenda kecemerlangan.


Maka, selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UGGI), pada hari ini saya ingin mengumumkan lima buah universiti iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) layak dianugerahkan autonomi dalam empat bidang iaitu Governan Institusi, Kewangan dan Penjanaan Kekayaan, Pengurusan Sumber Manusia dan Pengurusan Akademik serta Kemasukan Pelajar. Saya ucapkan tahniah kepada universiti-universiti ini.
Sistem governan yang berteraskan autonomi melibatkan INTEGRITI DAN AKAUNTABILITI yang tinggi dan ia perlu dipatuhi oleh universiti-universiti yang terlibat. Walaupun saya yakin mereka telah bersedia memikul tanggungjawab ini, prinsip asas tersebut menjadi sempadan dan panduan dalam segala tindakan pengurusan universiti.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(MEMBANGUN DAN MENYUBURKAN BAKAT (TALENTS) UNGGUL DAN SYUMUL UNTUK NEGARA / DUNIA)

Sewaktu melancarkan Pelan Tindakan Fasa Dua, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) tahun lalu, saya telah menegaskan bahawa usaha kita tidak lagisemata-mata melahirkan modal insan (human capital) untuk memenuhi keperluan negara, tetapi meningkatkan jumlah bakat atau modal intelektual (intelectual capital) negara. Hal ini penting kerana buat masa sekarang, penghasilan modal insan sahaja tidak memadai, sebaliknya kita perlu tentukan bagaimana untuk menyediakan bakat atau talents berilmu dan berkemahiran tinggi dan mereka kekal dalam negara serta dapat menyokong kepada pelaksanaan Model Baharu Ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).


Maka sudah tentu, usaha-usaha penambahbaikan berterusan perlu dilakukan untuk menjayakan hasrat tersebut dan antaranya ialah melalui pemantapan dan pengukuhan dalam konteks PEMBELAJARAN DAN PENGAJARAN. Dalam hal ini, IPT perlu menerapkan pendekatan pembelajaran dan pengajaran yang berasaskan konsep ‘ilmu dan kemahiran untuk masa depan, dan bukan untuk menyelesaikan masalah semalam’ di samping menekankan kepada soal kualiti. Dengan cara ini, program akademik sentiasa diteliti dan mendapat maklumbalas daripada pelajar dan bakal majikannya secara berterusan. Jabatan, pusat pengajian dan fakulti perlu diberikan mandat dan sokongan pentadbiran yang sewajarnya untuk melaksanakan proses pemantauan, penilaian dan lebih penting lagi penambahbaikan kursus dan program agar sentiasa segar dan memenuhi keperluan masa depan.


Dalam konteks yang lebih luas, program pra-siswazah khususnya untuk semua IPTA perlu dijajarkan semula dengan matlamat dan peranan penubuhannya. Untuk Universiti Penyelidikan (RU) umpamanya, perlu ada usaha yang berterusan untuk mengurangkan jumlah program dan pelajar yang mengikutinya. Ini perlu dilakukan dengan memberikan pertimbangan kepada nisbah terbaik pelajar pra-siswazah dan siswazah, memikirkan program yang relevan dan menjadi PEMBEKAL (FEEDER) kepada program pasca-siswazah yang mendokong tujahan penyelidikan. Dalam konteks ini, Universiti Penyelidikan perlu menentukan strategi bagaimana untuk menarik minat pelajarnya untuk terus menyambung pengajian ke peringkat pascasiswazah dan tidak berhenti di tahap ijazah pertama sahaja.


Untuk itu juga, proses MENANDA ARAS ATAU BENCHMARKING terhadap program-program pascasiswazah perlu dilakukan bagi menentukan program-program yang ditawarkan itu berkualiti tinggi dan berdaya saing sekaligus menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan tenaga pakar berpengetahuan tinggi. Pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah diminta untuk memulakan perbincangan dan konsultasi dengan pihak-pihak terbabit untuk menanda aras (benchmarking) program-program di peringkat pasca-siswazah yang ditawarkan oleh semua IPT di Malaysia. Pada masa yang sama, Universiti Komprehensif dan Universiti Terfokus perlu mengambil peranan yang lebih luas untuk mengembangkan program pra-siswazah yang menjadi asas kepada pembangunan modal insan cemerlang untuk memenuhi pasaran pekerjaan di peringkat kebangsaan dan global.


Salah satu bentuk tuntutan masa hadapan ialah sumber manusia berilmu yang berketrampilan tinggi, luwes dan mempunyai daya fikiran yang bersifat syumul (holistik). Untuk memenuhi keperluan baharu ini, saya berpendapat semua IPTA memberi perhatian kepada konsep PENDIDIKAN LIBERAL DAN MULTI-DISIPLIN (liberal and multi-disipline education) dalam semua program pendidikan pra- dan pasca-siswazah. Saya difahamkan, satu kajian sedang dilakukan oleh kumpulan penyelidik IPTA tentang pendidikan liberal dan berharap dapatan kajian ini kelak akan dapat jadikan panduan untuk semua IPT melaksanakannya.


Pendidikan liberal dan multi-disiplin adalah pendekatan pembelajaran untuk menghasilkan modal insan masa hadapan. Ia menyediakan pelajar dengan ilmu pengetahuan yang luas meliputi keseluruhan isu global, termasuk sains, etika, budaya, bahasa, kemanusiaan atau masyarakat, dengan pengajian mendalam dalam bidang pengkhususan. Pendekatan ini membolehkan pelajar mempunyai keupayaan berfikiran secara terbuka dan mampu melihat persoalan negara daripada pelbagai sudut pandang dan perspektif. Pendek kata, ia satu pendekatan kepada pembelajaran yang memberi individu kelenturan untuk menyediakan diri mengendalikan kerencaman, kepelbagaian dan perubahan. Dengan memperkenalkan pendidikan liberal dan multidisiplin ini, IPTA akan mampu menghasilkan graduan bermutu dan berfikiran global dan menjadi pelaburan terbaik untuk masa depan masyarakat dan negara dan seterusnya menghasilkan graduan yang bersedia menjadi warganegara dunia.


Dan ini termasuklah soal Pendidikan Keusahawanan di IPT. Kita tidak boleh mengelak daripada mentransformasikan sektor pengajian tinggi melalui penerapan kemahiran abad ke-21 di kalangan mahasiswa khususnya kemahiran dan pemikiran usahawan dan inovatif. Ini penting untuk menjamin pembangunan ekonomi yang mapan, mencipta pekerjaan dan kekayaan negara serta berupaya menyelesaikan isu dan cabaran di peringkat global. Saya ingin menekankan bahawa usaha memperkukuhkan keusahawanan sama ada ke arah pemikiran keusahawanan atau kecenderungan menjadi usahawan adalah penting bagi meningkatkan kebolehpasaran gradúan dan menyelesaikan isu pengangguran gradúan. Apatah lagi, kita harus akui bahawa pelaksanaan Bidang Ekonomi Utama Nasional atau NKEA bukan sahaja difokuskan kepada mengambil manfaat terhadap pekerjaan yang dihasilkan, tetapi apa yang lebih penting, bagaimana kehadiran graduan dapat mengambil peluang atas pertumbuhan ekonomi yang wujud dengan sebaik mungkin atau dalam erti kata yang lain, menjadi usahawan.



Pada masa yang sama, beberapa model baharu keusahawanan sedang diuji oleh IPT serata dunia dan kita wajar memerhati perkembangan ini dengan sebaik yang mungkin bagi tujuan berkongsi amalan terbaik. Antara yang digunakan ialah pengenalan kepada KEUSAHAWANAN SOSIAL iaitu satu kaedah baharu lagi kreatif untuk melihat dan menyelesaikan masalah sosial di kalangan masyarakat. Ia menggabungkan aktiviti mengenalpasti masalah, membangunkan idea penyelesaian dan menyebarluaskannya di kalangan masyarakat untuk mengatasi cabaran-cabaran semasa. Konsep ini akan mendidik dan menyediakan mahasiswa kita mengaplikasikan apa yang mereka belajar kepada realiti atau kehidupan sebenar seterusnya berperanan aktif, kreatif dan inovatif dalam memperbaiki dan memperbaharui kehidupan masyarakat setempat. Ia juga adalah satu mekanisme yang penting dalam melahirkan seseorang usahawan sosial di kalangan gradúan yang bukan sahaja faham dan peka akan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat di sekelilingnya, tetapi mempunyai kemahiran keusahawanan mengangkat taraf masyarakat dalam bidang ekonomi, kebajikan, pendidikan dan kesihatan.


Pelaksanaan keusahawanan sosial akan menyumbang kepada PENINGKATAN KEDINAMIKAN PENGAJIAN TINGGI kerana ia meningkatkan keberhasilan pembelajaran, memperkayakan pengalaman mahasiswa, meningkatkan kebolehpasaran graduan, melonjakkan kualiti pembelajaran dan pengajaran serta impak penyelidikan sekaligus mencipta nilai awam yang tinggi. Kita mahu IPT negara mampu melahirkan pelajar yang dapat memberi penyelesaian inovatif kepada isu-isu kritikal yang sering menghambat masyarakat, bersedia berhadap dengan cabaran dan dapat melahirkan idea-idea baharu yang membawa impak dan perubahan berskala besar, JAUH SEKALI BERSIKAP MATERIALISTIK. Sehubungan dengan itu, inisiatif perlu diambil oleh semua IPT agar dapat menerapkan aspek keusahawanan sosial dalam pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan agar pelajar mereka mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk membawa perubahan sosial. Pelajar-pelajar digalak menggunakan pengalaman, pembelajaran dan penyelidikan mereka untuk mengwujudkan usaha-usaha sosial yang berinovatif atau innovative social ventures.


Dalam perkara ini, perhatian perlu diberikan agar tidak dapat kekeliruan mengenai keusahawaan sosial dan aktiviti kemasyarakatan yang pada ketika ini banyak dilaksanakan oleh pihak IPT tempatan. Pendek kata, melalui aktiviti keusahawanan sosial, para pelajar bukan sahaja dapat didedahkan dengan masalah dan cabaran sebenar masyarakat, malah dapat mendekatkan mereka kepada masyarakat sekeliling, di samping meningkatkan penyertaan dan peranan mereka untuk mengukuhkan tahap sosio-ekonomi dan kualiti hidup masyarakat di negara kita. Seterusnya penglibatan akan menyumbang kepada peningkatan kepimpinan dan kemahiran insaniah mereka seperti peka kepada persekitaran, kerja berpasukan, responsif dan proaktif serta peningkatan kemahiran berkomunikasi.



Tuan-tuan dan Puan-puan,


Malaysia perlu menjana EKONOMI DIGITAL sebagai pemboleh penting dan pelengkap kepada Agenda Transformasi Nasional yang memacu ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Kerangka Digital Malaysia perlu dipupuk agar satu ekosistem yang dipacu oleh ICT dapat diwujudkan yang menyasarkan aspek ekonomi, tadbir urus dan interaksi sosial serta mewujudkan satu iklim yang meningkatkan inovasi, pelaburan dan pertumbuhan bakat. Dalam konteks sektor pengajian tinggi, peranan IPT amat kritikal khususnya dalam menyediakan kemahiran dan kecelikan teknikal dalam ICT di kalangan graduan termasuk memperkukuhkan kaedah-kaedah baharu pembelajaran dan pengajaran menggunakan teknologi ICT.Sehubungan dengan itu, setiap IPT perlu mengambil perhatian yang serius khususnya mengarusperdanakan E-Pembelajaran sebagai satu kaedah terbaik MENINGKATKAN TAHAP KOMPETENSI PENGGUNAAN ICT di kalangan mahasiswa termasuk tenaga pensyarah.


Kita perlu menerima hakikat bahawa MODAL INSAN BERPENGETAHUAN TINGGIadalah pemacu dan tonggak kepada hasrat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berinovatif menjelang tahun 2020. Sehubungan dengan itu pada tahun 2011, seramai 6,243 orang calon telah mendapat penajaan di peringkat MyMaster manakala 1,391 pula di peringkat MyPh.D dengan jumlah penajaan masing-masing sebanyak 6 juta ringgit dan 18 juta ringgit. Apa yang menarik, jumlah yang mengikuti program MyPh.D mengatasi sasaran yang telah ditetapkan iaitu 650 tempat dan ia melebihi kadar 100 peratus. Pencapaian 2011 juga menyaksikan 97 orang calon telah ditawarkan mengikuti Program Ph.D Industri (menghampiri sasaran 100 orang) dengan jumlah pembiayaan sebanyak 208 ribu ringgit. Pada tahun ini, kementerian telah menyediakan penajaan sebanyak 80 juta ringgit untuk 8,000 tempat MyMaster manakala 50 juta ringgit untuk 1,000 pembiayaan MyPhD dan 100 bagi PhD Industri.


Dalam konteks membangun bakat akademia di universiti, PENERBITAN menjadi aktiviti penting kepada tenaga pensyarah kerana ia adalah medium penting berkomunikasi dan menyebarkan idea-idea, pengetahuan serta penemuan baharu. Saya mengucapkan syabas kerana semua universiti telah mengambil daya usaha membangunkan program kerjasama antara IPTA iaitu “Program Penerbitan Berimpak Tinggi” (PPBT) atau ‘High Impact Publication Program’ (HIPP). Melalui program ini, universiti-universiti penyelidikan akan menyediakan mentor kepada IPTA yang mengambil bahagian dalam menggalakkan penerbitan bersama ini. Ini termasuk membangunkan dasar-dasar pentadbiran yang bersesuaian untuk menggalakkan penerbitan akademik yang berkualiti, bekerjasama di peringkat antarabangsa dan menjalankan pelbagai program khusus untuk meningkatkan kadar penerbitan di kalangan ahli akademik. Justeru itu, peruntukan sebanyak dua juta ringgit akan disalurkan kepada Jawatankuasa Timbalan-timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) IPTA bagi tujuan membangunkan program ini.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(MELIGATKAN IPT SEBAGAI HAB INOVASI)


Umum mengetahui tahun 2012 adalah Tahun Gerakan Inovasi Nasional. Ini bermakna, agenda IPT sebagai hab inovasi perlu diperkukuh dan diperhebatkan dalam usaha kita menjadikan inovasi sebagai tunjang dalam sektor pengajian tinggi ke arah transformasi ekonomi negara. Apabila kita bercakap soal peranan universiti sebagai hab inovasi negara, ia bukanlah semata-mata berasaskan kepada peranannya melaksanakan R&D semata-mata, tetapi bagaimana universiti itu menjadi SEBAHAGIAN DARIPADA PROSES INOVASI NEGARA. Dalam erti kata yang lain, universiti harus dilihat sebagai satu institusi dan pemain utama yang kritikal dalam penciptaan, pembangunan dan penyebaran inovasi.


Bagi meligatkan lagi IPT sebagai hab inovasi, kita perlu melihat semua aspek rantaian nilainya. Ia melibatkan soal-soal berkaitan dengan pembudayaan, pembangunan modal insan atau bakat, pembangunan institusi inovasi, dan pembangunan pendekatan inovasi untuk industri dan masyarakat. Kita juga perlu menilai apakah kekangan yang masih perlu diatasi khususnya isu yang berkaitan sekitaran dan sistem sokongan inovasi yang kondusif.


Menyentuh mengenai PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA INOVASI DALAM SAINS DAN TEKNOLOGI, kenyataannya ialah ia masih di tahap kurang memberangsangkan khususnya di peringkat awal lagi. Walaupun telah banyak inisiatif diperkenalkan oleh kerajaan untuk memajukan bidang sains, hakikatnya minat pelajar untuk mengambil mata pelajaran sains di sekolah semakin merosot ke tahap yang sangat kritikal. Kajian Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi Tahun 2020 menunjukkan walaupun dasar memartabatkan Sains dan Teknologi memerlukan jumlah pelajar sekolah mencapai 60%, tetapi ia tidak pernah berlaku. Lebih membimbangkan, sejak tahun 2007, peratus pelajar mengambil jurusan sains terus menurun sehingga 29% pada tahun 2012. Keadaan ini berterusan ke tahap universiti dan situasi begini jika berterusan, ia boleh membantutkan usaha meningkatkan inovasi teknologi ke arah transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi.


Pada asasnya, pelajar yang masuk ke universiti membayangkan usaha untuk belajar dalam bidang sains tidak menguntungkan dan tidak berbaloi. Bukan sahaja mereka perlu kelulusan yang cemerlang untuk diterima mengikuti program sains, pembelajarannya sukar dan membosankan. Lebih mendukacitakan, mereka tidak dapat membayangkan kerjaya yang menarik dan menguntungkan apabila tamat pengajian dan bergelar ‘ahli sains’.


Kepimpinan tertinggi IPT perlu melihat isu ini dengan serius dan merancang strategi untuk mengubah persepsi atau realiti tersebut. Ini termasuk memupuk set minda baharu pelajar iaitu sains adalah asas inovasi, dan inovasi pula menjadi asas teknologi dan transformasi ekonomi. Pelajar cemerlang perlu diterapkan rasa keghairahan untuk mempelajari sains, dan dapat merasakan kursus sains adalah suatu yang menyeronokkan serta penuh cabaran minda dan penerokaan baharu. Dan yang lebih penting lagi, kerjaya sains menjanjikan pengiktirafan dan pulangan yang lumayan.


Beberapa dasar dan strategi baharu boleh diperkenalkan jika kita ingin meningkatkan minat para pelajar mempelajari sains. Pertama, MERAIKAN KEPELBAGAIAN SAINS. Bidang sains bukan sekadar ilmu Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik seperti yang diajar di peringkat sekolah. Di IPT, kita perlu memberikan perhatian yang seimbang terhadap kepelbagaian bidang dan sub-bidang sains tulen dan gunaan yang mampu meneroka ilmu baharu, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai kekuatan dan telah menunjukkan kepimpinan di peringkat rantauan atau global. Universiti perlu menggalakkan keghairahan meneroka ilmu baharu dalam pelbagai bidang pengkhususan sains, umpamanya dalam bidang botani (sains tumbuh-tumbuhan), zoologi (haiwan), paleontologi (hidupan purba) yang kini ahli sains tempatan sudah mulai ‘pupus’;


Kedua, MENENTUKAN NIC BERSIFAT WATAN. Kita perlu mencari nic tersendiri, ilmu yang masih belum sempat diterokai oleh para saintis negara maju. Ahli sains kita, seharusnya mengambil peluang untuk membangun sains yang bersifat watan, berasaskan sumber tempatan, dan pada sekitaran tropika lembap – jika ingin menjadi pemimpin sains dunia. Strategi begini tidak sahaja dapat menempatan para saintis kita di barisan hadapan, tetapi sains yang diterokai lebih mudah disalurkan untuk faedah pembangunan inovasi dan teknologi bersifat lokal.


Ketiga, LALUAN KERJAYA YANG JELAS DAN PELBAGAI. Mulai tahun 2012, kementerian telah menawarkan biasiswa baharu melalui program MyBrainSc yang bertujuan menyediakan tenaga akademik berkualiti dalam bidang sains tulen di IPTA. Program menghasilkan sumber manusia berkelulusan PhD berdasarkan program ini adalah satu tindakan strategi yang tepat untuk memperkasa keupayaan berinovasi negara. Bagaimanapun, apakah kita telah merancang dengan baik di mana mereka bakal ditempatkan selepas memperolehi ijazah PhD. Mereka merupakan golongan istimewa dan memiliki daya intelek dan kepakaran yang tinggi. Pada masa ini sebahagian daripada mereka boleh ditempatkan di IPTA sebagai ahli akademik, tetapi secara jangka panjang kita perlu merancang kerjaya yang lebih relevan dan menepati sasaran menjadi negara yang mempunyai tahap inovasi dan keupayaan bersaing yang tinggi.
Dalam hal ini, IPTA wajar melihat pengwujudan Institut dan Pusat penyelidikan sebagai keperluan strategi mengekalkan sumber manusia berkepakaran tinggi (PhD) bagi pelbagai bentuk penyelidikan huluan dan hiliran masa depan. Oleh itu, IPTA perlu membangunkan institusi penyelidikan (samada dalam bentuk institut, pusat, makmal) seperti mereka membangunkan institusi pengajaran (fakulti, pusat dan jabatan) yang perlu dilengkapkan dengan modal insan atau bakat berjawatan tetap dan infrastruktur penyelidikan yang bersesuaian. Justeru itu, satu perjawatan baharu (Akademik Penyelidik) boleh diperkenalkan dalam sesebuah institusi penyelidikan sebagai keperluan asas untuk mengekalkan bakat.


Selain dari itu, universiti juga perlu memberi perhatian kepada perancangan dan kemajuan yang berlaku di persekitarannya, khususnya PEMBANGUNAN WILAYAH agar hasrat universiti menjadi pemacu pembangunan tempatan akan tercapai selain satu cara menambah sumber pendapatannya. Universiti mesti menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan wilayah tersebut dan ini hanya akan berjaya jika sekitaran mempunyai kemahuan dan kesungguhan untuk mengambil manfaat terhadap hasil penyelidikan universiti. Kita tidak mahu masyarakat setempat tidak ambil tahu dan universiti pula gagal menyebarkan hasil R&D serta harta intelek yang dikeluarkannya secara tepat dan berkesan.


Dalam hal berkaitan, usaha mengembeleng tenaga dan kepakaran antara universiti-universiti di Lembah Kelang perlu dilakukan. Kementerian ingin melihat kerjasama erat antara semua Universiti di Lembah Kelang dalam mewujudkan kerjasama dan sinergi yang boleh merangsang inovasi. Ini sekaligus akan menyamai Lembah Kelang seperti apa yang dilalui oleh Lembah Silikon di luar negara.


Kita juga perlu melihat kemampuan universiti memindahkan hasil penyelidikan mereka ke industri. Antara pendekatannya ialah melalui penubuhan INKUBATOR dan pengwujudan SYARIKAT TERBITAN UNIVERSITI-STU (start-up company). Melalui Bajet 2012 yang diumumkan oleh YAB. Perdana Menteri tahun lalu, peruntukan telah diberikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM) sebanyak 51 juta ringgit dan Universiti Malaya (UM) sebanyak 22 juta ringgit untuk Program Inkubator Modal Insan Inovasi yang bertujuan menjana industri, paten dan perniagaan baharu hasil-hasil penyelidikan di IPT. Saya berharap semua inkubator yang disediakan, baharu atau lama dapat dimanfaatkan dan mencapai matlamatnya.


Penubuhan Syarikat Terbitan Universiti-STU (start-up company) menunjukkan kewujudan satu ekosistem yang memberikan penekanan kepada aspek pengkomersialan di sesebuah universiti. Setiap STU yang berhasil akan melahirkan seorang usahawan atau CEO yang berjaya, menjana pendapatan tinggi untuk penyelidik berkenaan dan juga memberi pulangan kewangan kepada universiti. Ia juga dapat memberi peluang pekerjaan untuk graduan graduan kita belajar dan bekerja dengan mereka. Jika sebelum ini pengkomersilan R&D diuruskan oleh penyelidik atau ahli akademik, melalui STU, seorang usahawan atau CEO pula akan berusaha untuk mengkomersilkan R&D tersebut. Sehingga 12 Januari 2012, sebanyak 106 Syarikat Terbitan Universiti telah ditubuhkan dan disasarkan sebanyak 37 buah lagi STU akan diwujudkan di kalangan Universiti Penyelidikan tahun ini.


Pada tahun 2012, kementerian berhasrat meneruskan agenda pembudayaan penyelidikan yang harus diterajui bersama dengan semua Institusi Pengajian Tinggi Awam mahupun Swasta di Malaysia. Fokus dan pendedahan penyelidikan secara berterusan akan diberi keutamaan kepada universiti-universiti yang bukan bertaraf Universiti Penyelidikan melalui PENDEKATAN KLUSTER. Pada masa yang sama, Universiti-universiti Penyelidikan pula diminta untuk menjadi MENTOR kepada universiti-universiti yang lain dalam usaha memperkukuhkan aktiviti penyelidikan. Untuk itu, kementerian akan memperkenalkan matching grant RU RACE atau RU-Research Acculturation Collaborative Effort sebanyak 5 juta ringgit sebagai pemangkin kepada IPT lain untuk menghayati pembudayaan penyelidikan secara bersama dengan Universiti Penyelidikan.


Konsortium Penyelidikan dan Pembangunan untuk program penyelidikan yang membawa impak tinggi pada ilmu, ekonomi negara serta masyarakat akan ditingkatkan. Pembudayaan Penyelidikan secara KONSORTIUM dengan gabungan universiti tempatan dan antarabangsa akan membantu kepada peningkatan peratusan penyelidik peneraju (research champions) dan jumlah hasil penyelidikan dan pembangunan (research outputs) yang berkualiti. Pada masa yang sama, Kementerian akan menubuhkan DIREKTORAT penyelidik peneraju ini agar kemampuan mereka dapat dipamerkan ke persada antarabangsa sekaligus dilihat sebagai antara pemain utama dalam era inovasi global masa kini.


Agenda sebagai hab inovasi akan semakin menyerlah dengan sokongan struktur organisasi di universiti. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan agar jawatan TIMBALAN NAIB CANSELOR (PENYELIDIKAN & INOVASI) diwujudkan untuk semua IPTA. Ini akan menjamin dan memastikan usaha pembudayaan dan kecemerlangan penyelidikan serta kesinambungan semua program yang direncanakan terlaksana dengan sebaik mungkin.


Selain kita mempunyai Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan Top Business School (TBS), kementerian juga memperkenalkan PUSAT KECEMERLANGAN INDUSTRI (ICoE) dalam memperkukuhkan hubungan universiti dan industri mencapai objektif kewujudan masing-masing dalam membangunkan modal insan mengikut keperluan persekitaran semasa dan mempertingkatkan usaha dalam penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan.


Untuk permulaan, empat ICoE telah ditubuhkan oleh industri iaitu I CoE Acuan Tekap bersama Miyazu, ICoE Sistem Suspensi bersama Sapura, ICoE Teknologi Proses Permulaan – Rekabentuk dan Fabrikasi Wafer bersama Infineon Technologies Kulim dan ICoE Pemasangan dan Pengujian Produk, Pembangunan Teknologi Pembungkusan dan Kejuruteraan Aplikasi untuk Proses Hiliran bersama Infineon Technologies Melaka. Saya berharap inisiatif INDUSTRIAL BASED yang menemukan IPT dan industri ini akan dapat menjadi model kerjasama ampuh yang boleh diguna pakai untuk melonjakkan lagi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Ia juga menjadi contoh terbaik kerjasama secara langsung antara universiti dan industri tanpa pihak ketiga.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PENGAJIAN TINGGI MALAYSIA: KE ARAH PEMIMPIN DUNIA)


Fasa Dua PSPTN telah memperkenalkan elemen baharu ‘Jangkauan Global Malaysia’. Ia bertujuan memperkukuh dan mempertingkatkan mutu sistem pengajian tinggi negara dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengajian tinggi serantau dan antarabangsa yang dihormati, dirujuk dan relevan dalam memenuhi tuntutan semasa dan masa akan datang melalui pendekatan tambatan hati (soft power). Sehubungan dengan itu, kementerian telah merancang pelbagai aktiviti penerokaan pengantarabangsaan secara strategik apabila bagi tahun 2012, Program Pemasaran CLMV yang membabitkan negara-negara seperti Cambodia, Laos, Myanmar dan Vietnam akan dilaksanakan mengikut perancangan strategik oleh empat kumpulan kluster seperti berikut:
i. Memperkasa Libatsama Global Melalui Perkongsian Ilmu (MyExpert)
ii. Pembentukan Hab Pengetahuan dan Kemahiran Menerusi Pengantarabangsaan (MySkill)
iii. Memanfaatkan Hubungan Alumni Pelajar Demi Pengantarabangsaan (MyAlumni)
iv. Meningkatkan Kehadiran Malaysia Di Dunia Melalui Sumbangan Dan Reputasi (MyFellow, MyOdyssey dan MyCommunity)


Dalam konteks MyExpert terutamanya, ia akan menjadi platform terbaik untuk mengenengahkan kepakaran tenaga akademik tempatan secara berstrategik dan berimpak tinggi yang akan dapat meletakkan Malaysia sebagai antara negara utama menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan global. Saya tidak menafikan memang terdapat ahli akademik kita yang terpilih memberi sumbangan dalam organisasi antarabangsa. Walau bagaimanapun, rata-rata penyertaan mereka masih bersifat individu. Bagi merealisasikan usaha ini, saya menggalakkan kepada semua IPT untuk bersama-sama memberi kerjasama, sokongan dan galakan padu kepada tenaga akademik mereka yang terlibat dalam memberi sumbangan di peringkat antarabangsa.


Dunia mengiktiraf Malaysia adalah sebuah negara Muslim yang moderat lagi progresif serta mempunyai rekod positif dalam mengendalikan sektor pengajian tinggi yang berkualiti khususnya dalam aspek akses dan kepemimpinan pengajian tinggi. Sistem pengajian tinggi di Malaysia mempunyai kedudukan yang istimewa khususnya di kalangan negara-negara Islam dan dijadikan sebagai reference point dan peneraju (champion) kepada agenda pembangunan modal insan inovasi di peringkat negara OIC. Kementerian akan terus berkongsi kepakaran dan bersedia menyumbang ke arah pembangunan ummah melalui program dan aktiviti yang akan dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) OIC.


Sehubungan itu, kementerian melalui Jawatankuasa ini merancang untuk mengadakan forum meja bulat pada tahun 2012 sebagai platform kepada pelaksana daripada negara OIC untuk menentukan strategi dan pelan tindakan hala tuju. Ini termasuk membincang dan memperhalusi Pelan Tindakan bagi Gerak Pintar Nobel dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan sarjana Islam dalam kepimpinan bidang sains dan kemanusiaan sejagat.


Selain kerjasama dalam bentuk penyelidikan dan penyediaan modal insan berinovasi, program mobiliti dan penawaran kursus pengajian yang strategik turut diperkenalkan bagi menarik minat pelajar khususnya dari negara Timur Tengah ke Malaysia. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dilihat sebagai universiti yang boleh dijadikan hab penawaran kursus yang strategik di dunia Islam. Pada masa kini, UIAM giat menawarkan peluang pengajian tinggi kepada para pelajar dari negara OIC. Selain itu, USIM juga telah menyediakan program khas iaitu ‘Global Islamic Student Outreach’ bagi mempertingkatkan kemasukan pelajar dari negara Arab Saudi ke Malaysia. Usaha ini boleh dilaksanakan melalui mekanisme pemindahan jam kredit yang bersesuaian agar pelajar yang menjalani program mobiliti ini memperoleh win-win situation.


Selain fokus kepada kepemimpinan pengajian tinggi dalam lingkungan negara rantau Asia Tenggara dan OIC, peranan Malaysia sebagai pangkalan kepada jaringan pengajian tinggi di peringkat global juga wajar dipertingkatkan. Untuk itu, Global Higher Education Network (GHEN) yang diurusetiakan oleh Institut Penyelidikan Pengajian Tinggi Negara (IPPTN) telah diperkenalkan bertujuan mewujudkan satu rangkaian jaringan antarabangsa di kalangan para ahli akademik, pembuat polisi, penyelidik, individu dan mereka yang berminat mengenai pengajian tinggi dari pelbagai latarbelakang budaya, sosio, ekonomi dan sejarah.


Dalam konteks kepimpinan akademik, peranan Akademi Pengajian Tinggi (AKePT) akan terus diperkukuhkan lagi. Di samping meningkatkan potensi dan kualiti kepimpinan dalam pelbagai peranan akademik, saya ingin melihat AKePT memperluaskan keupayaannya dengan berkolaborasi di peringkat global. Ini boleh dilakukan dengan memilih bidang terfokus yang melibatkan kepimpinan penyelidikan, pengajaran atau pemindahan teknologi. Pendekatan terbaik ialah dengan memilih rakan kongsi daripada beberapa institusi dan universiti terkemuka di dunia seperti Oxford Leardeship Academy dan The Leadership Institute at Harvard College. Saya berharap kolaborasi ini terjalin, dilestarikan sehingga menghasilkan impak yang ketara.



Tuan-tuan dan Puan-Puan,

(MEMPERKUKUH SISTEM PELAKSANAAN SERTA PENYAMPAIAN INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SWASTA)


Statistik menunjukkan bahawa kira-kira 93,000 orang pelajar asing kini sedang mengikuti pengajian di pelbagai peringkat dalam negara kita. Angka ini menggambarkan keyakinan mereka terhadap sistem dan kualiti pengajian tinggi yang disediakan. Pada masa yang sama, ia memerlukan satu sistem pengurusan maklumat dan profil yang komprehensif bagi memantau pelajar-pelajar asing terutama dalam menyelesaikan isu-isu yang berbangkit. Dan bagi memenuhi tujuan tersebut, pada hari ini, SISTEM IPT FORMATION MANAGEMENT SYSTEM atau IFMS-IPTS akan dilancarkan.


Untuk makluman semua, matlamat sistem ini bertujuan membangunkan satu pangkalan data maklumat berkaitan IPTS melalui sistem IFMS seperti data Profil Institusi, Ketua Eksekutif, Pusat Wilayah, Program, Staff Akademik dan Profil Pelajar. Dengan adanya sistem ini dan penggunaan secara berterusan, ia akan dapat meningkatkan kualiti sistem tadbir urus IPTS dan mempermudahkan sistem penyampaian berkualiti kepada IPTS. Saya dimaklumkan, Sistem Aplikasi “Profiling” IFMS-IPTS telah pun bermula pada 3 Oktober 2011 yang lalu dan dijangka aplikasi permohonan secara atas talian bagi modul seterusnya pada bulan Januari 2012. Saya berharap sistem ini akan dapat mengatasi masalah-masalah yang timbul melalui akses atau capaian kepada maklumat yang disediakan.


Selain itu, sebagai langkah proaktif daripada kementerian dalam mengendalikan aduan daripada pelajar antarabangsa di seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sama ada awam mahupun swasta, SATU KAUNTER KHIDMAT BANTUAN (HELPDESK) telah diwujudkan dan telah pun beroperasi sejak Disember 2011. Setiap permasalahan atau aduan akan diterima dan direkod oleh pegawai bertugas serta diberikan khidmat bantuan sewajarnya berdasarkan kepada bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) atau Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555).


Adalah menjadi tanggungjawab semua IPT untuk memaklumkan kepada pelajar antarabangsa masing-masing akan kewujudan kaunter ini. Ia bertujuan memastikan para pelajar maklum tentang hak dan kemudahan yang disediakan oleh KPT demi menjamin kebajikan mereka sepanjang pengajian di negara. Ini sekaligus akan dapat mengatasi masalah-masalah yang sering dihadapi oleh mereka seterusnya membantu kepada imej positif Malaysia sebagai hab pengajian tinggi di peringkat global.


Umum mengetahui bahwa kerajaan telah menetapkan sasaran sejumlah 200,000 orang pelajar antarabangsa di IPT Malaysia menjelang tahun 2020 melalui Bidang Ekonomi Utama Nasional (NKEA). Selama ini, usaha-usaha promosi dilakukan oleh Bahagian Education Malaysia yang tertakluk kepada prosedur, peraturan dan tatacara kerajaan. Adalah wajar bagi Malaysia menanda aras amalan terbaik oleh negara pengeksport pendidikan utama di dunia seperti United Kingdom, Australia, Jerman dan Perancis dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan serantau dan kita mampu mencapai matlamat menarik pelajar asing ke negara. Agensi pemasaran pendidikan Malaysia perlu kompetitif dan perlu dipelbagaikan usaha untuk mempergiat aktiviti pemasaran pendidikan di luar negara, selain mengatasi isu dan cabaran yang semakin kompleks.


Oleh itu, kerajaan telah bersetuju menubuhkan satu entiti baharu, dinamakan sebagai EDUCATION MALAYSIA GLOBAL SERVICES (EMGS) yang akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi memantau, menyelia dan menyelaras segala urusan berkaitan dengan promosi, pemasaran dan penrekrutan dan perkhidmatan sokongan pelajar antarabangsa dengan lebih strategik, efisien dan mantap. Penubuhan ini juga akan memudahkan lagi proses kemasukan pelajar antarabangsa ke IPT Malaysia dan menjamin sistem pengurusan dan penrekrutan pelajar antarabangsa yang lebih efisien dan berkesan. Selain itu, EGMS turut diberi kebenaran untuk melaksanakan STUDENT APPLICATION AND REGISTRATION SYSTEM (STARS) yang berperanan memantau dan menyelia rekod pembelajaran mereka secara berkala dan teratur.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(MENGARUSPERDANAKAN PENDIDIKAN TEKNIKAL DAN LATIHAN VOKASIONAL SECARA BERSEPADU)


Pembangunan dan kemajuan negara masa kini tidak lagi bergantung semata-mata kepada modal insan berpengetahuan tinggi, tetapi berkemahiran tinggi. Maka di sinilah letaknya kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (Technical and Vocational Education and Training, TVET) yang dapat menambah bekalan modal insan berkemahiran melalui penyediaan pendidikan berkualiti kepada pelajar yang mempunyai kecenderungan dalam bidang teknikal dan vokasional sekaligus mentransformasikan Malaysia kepada negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.


Sudah tiba masanya pelaksanaan mengarusperdana TVET wajar diselaras dan disepadukan di peringkat sektor pengajian tinggi dengan menggabungkan tindakan-tindakan sepunya antara MTUN, politeknik, kolej komuniti, dan IPTA. Dalam hal ini, kementerian sedang membangunkan satu KERANGKA TVET PERINGKAT NASIONAL DAN HALA TUJU PELAKSANAANNYA yang melibatkan sinergi antara MTUN, Politeknik dan Kolej Komuniti. Ia diharap dapat memberi panduan yang jelas dan komprehensif mengenai peranan yang perlu dimainkan oleh institusi TVET secara bersepadu.


Politenik sebagai peneraju utama dan pemimpin TVET akan ditingkatkan keupayaannya. Bagi memenuhi keperluan di masa hadapan, politeknik akan memperkenalkan program-program baharu yang akan meningkatkan lagi kerjasama dengan pihak industri. Mulai tahun 2012, politeknik akan melaksanakan program baharu berasaskan WORK BASED LEARNING (WBL) dan ketiga-tiga buah Politeknik Metro pula akan mula menawarkan beberapa PROGRAM PENSIJILAN PROFESIONALdengan kerjasama badan-badan profesional yang telah dikenalpasti.


Dalam usaha mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, politeknik akan bekerjsama melalui pengukuhan dengan institusi TVET serantau seperti Colombo Plan Staff College (CPSC) for Technicians Education. Melalui CPSC, Politeknik Malaysia akan berusaha untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa Asia-Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) menjelang 2015. APACC adalah badan akreditasi serantau yang mengakreditasi institusi TVET dalam membangunkan sumber manusia negara rantau Asia-Pacific.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PEMANTAPAN HALA TUJU PEMBANGUNAN KOLEJ KOMUNITI)


Setelah 10 tahun beroperasi, kini terdapat 50 kolej komuniti induk dan 28 kolej komuniti cawangan yang melaksanakan latihan dan kemahiran serta Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) di negara. Untuk memastikan kolej komuniti sentiasa relevan dan menjadi pilihan utama masyarakat setempat mendapat pendidikan dan latihan, beberapa inisiatif baharu akan diperkenalkan. Antaranya ialah mengadakan kerjasama yang rapat dengan LIMA KORIDOR EKONOMI NEGARA. Dalam hal ini, Kolej Komuniti akan menyediakan tenaga kerja serta memberi pendidikan dan latihan mengikut keperluan industri di koridor-koridor ekonomi tersebut untuk memastikan kejayaan program transformasi ekonomi ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi dicapai menjelang tahun 2020.


Berikutan itu juga, bagi memantapkan lagi sumbangan bersama membangun negara, saya ingin mengesyorkan beberapa kolej komuniti yang berada pada kedudukan yang strategi memberikan FOKUS KEPADA TUNTUTAN TEMPATAN yang lebih berdaya saing dan dapat menarik perhatian pelanggan. Sebagai contoh, Kolej Komuniti Langkawi boleh memberikan tumpuan kepada keperluan pembangunan komuniti tempatan untuk industri pelancongan. Di kolej komuniti lain pula, tumpuan boleh diberikan kepada pembangunan dalam agro-industri, pertanian moden, teknologi perikanan, keusahawanan tani dan sebagainya.


PENARAFAN KOLEJ KOMUNITI turut akan dilaksanakan sebagai satu mekanisme pengukuran prestasi budaya kecemerlangan selaras hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti institusi pengajian tinggi negara. Langkah memperkenalkan sistem penarafan bukan bertujuan mencari kelemahan atau kesalahan, sebaliknya sebagai motivasi serta peringatan kepada kolej komuniti untuk berusaha mempertingkat standard kualiti pelaksanaan program pendidikan dan latihan yang secara langsung turut menaikkan imej kolej komuniti di dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat. Penarafan ini juga akan memberi pengiktirafan kepada kolej komuniti yang telah menunjukkan tahap tadbir urus yang terbaik serta sentiasa meningkatkan kualiti perkhidmatan yang unggul serta menggalakkan persaingan yang sihat di kalangan kolej komuniti. Kolej-kolej yang mendapat rating terbaik, boleh dipertimbang diberikan AUTONOMI SEPARA (Partial Autonomy) dengan beberapa fleksibiliti dan keistimewaan seperti boleh menentukan pelan strategik sendiri, mendapat peruntukan khas untuk pembangunan bidang khusus dan menggunakan logo tersendiri bagi membolehkan imej kolej lebih terserlah.



Tuan-tuan dan Puan-puan,

(PENUTUP – BERFIKIRAN GLOBAL BERTINDAK LOKAL)


Sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya sangat berbangga dengan pencapaian kita pada tahun 2011. Saya percaya dengan sokongan semua pihak, tahun 2012 akan menjanjikan kejayaan yang lebih cemerlang lagi. Saya ingin menegaskan lagi, demi kepentingan pengajian tinggi negara, perubahan paradigma yang berfokuskan ‘berfikiran global dan bertindakan lokal’ sangat diperlukan. Dalam konteks pembelajaran dan pengajaran umpamanya, kita tidak boleh menafikan tren perubahan yang berlaku di peringkat global. Keperluan menguasai bahasa dunia, khususnya Bahasa Inggeris untuk menimba dan berkongsi ilmu amatlah penting. Sehubungan dengan itu, kementerian sememangnya menggalakkan IPT agar sentiasamemperkukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan mahasiswa mereka supaya usaha kita meningkatkan kualiti dan tahap kebolehpasaran graduan tercapai.


Akan tetapi pada masa yang sama, kita harus berpijak di bumi nyata, anak-anak bangsa perlu dididik menggunakan bahasa Ibunda kerana inilah cara yang paling berkesan untuk menjadikan mereka bangsa berilmu. Apabila kita memperkukuhkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tinggi – kita sebenarnya telah menzahirkan perasaan cinta kepada budaya dan tamadun sendiri. Kita perlu sentiasa berazam, mahu menempatkan Bahasa Kebangsaan di tempat yang sewajarnya, dan sentiasa beriltizam, satu hari nanti, ramai bangsa lain dunia berminat mempelajari Bahasa Melayu kerana berhasrat meneroka ilmu yang telah dikembangkan oleh sarjana tempatan yang bertaraf global.


Daripada perspektif penyelidikan pula, mempelajari dan memahami apakah agenda global adalah sangat penting. Tetapi mengikuti rentak dan melakukan penyelidikan berasaskan agenda global, menyebabkan kita sentiasa tertinggal di belakang dan menjadi pengikut semata-mata. Kita perlu memikirkan agenda penyelidikan tempatan, meneroka sumber kekayaan bumi tempatan, membangun teknologi baharu tempatan dan menyelesaikan cabaran yang sedang dihadapi oleh masyarakat tempatan. Yakinlah, dengan tindakan demikian, kita sebenarnya menyediakan asas yang kukuh untuk bergerak di barisan hadapan, menjadi peneraju penyelidikan berasaskan keperluan watan, dan akhirnya menjadi pemimpin dunia dalam beberapa bidang tujahan penyelidikan yang kritikal untuk pembangunan negara.


Berfikiran global dan bertindak lokal memaksa kita memikirkan soal apakah yang masih perlu dilakukan selepas selesai menjalankan penyelidikan dan menerbit dalam jurnal berimpak tinggi. Bagaimana ilmu yang telah diterokai boleh dipindahkan kepada masyarakat. Bertindak lokal memberi kita ruang untuk meneruskan usaha meneroka ilmu kepada pemindahan ilmu dan teknologi demi pembangunan industri tempatan dan masyarakat. Usaha pemindahan ilmu untuk faedah negara tidak lagi dilihat sebagai peranan sampingan (pinggiran), tetapi menjadi sebahagian daripada agenda penting universiti. Bertindak lokal juga memberikan ruang yang luas untuk membina budaya kolaborasi antara universiti dengan industri dan komuniti.


Saya berharap semua 8 AGENDA DAN 64 PERNYATAAN DASAR, INISIATIF DAN PERUBAHAN STRUKTURAL yang terkandung dalam amanat ini akan menjadi ASAS DAN PANDUAN bagi kita untuk terus melangkah gagah mendepani masa depan yang lebih gemilang. Saya percaya, sektor pengajian tinggi boleh menawarkan pelbagai sumbangan yang bernilai kepada kemakmuran rakyat dan kemewahan negara jika kita benar-benar serius dan beriltizam serta sentiasa berusaha membuat yang terbaik demi kejayaan transformasi negara yang kita cintai ini. Namun harus diingatkan, usaha melonjakkan peranan sektor pengajian tinggi khususnya IPT tidak hanya terhad kepada agenda dan inisiatif melalui amanat ini semata-mata, tetapi ia juga bergantung kepada IDEA-IDEA BESAR yang perlu dicetuskan sendiri oleh semua IPT di negara terutama barisan peneraju kepimpinannya. Saya percaya hanya melalui KUASA IDEA yang dijana dan diraikan, IPT akan sentiasa relevan dengan kehendak dan keperluan sezaman.


Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. Setinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua yang telah menjayakan majlis ini sama ada secara langsung atau pun tidak. Saya berdoa agar tahun 2012 memberikan kita KESIAPSIAGAAN YANG PADU untuk berhadapan dengan semua cabaran dan tantangan, selari dengan tahun ini iaitu TAHUN NAGA, yang mengikut kalendar masyarakat Tionghua; melambangkan satu KEKUATAN DAN KEGAGAHAN. Sekian, terima kasih.
Read More

Sunday, January 15, 2012

Manifesto Wilfred Tertunai !

                                      Manifesto Wilfred, MPP Aspirasi Fakulti Sains dan Teknologi Tahun 1 & 2 telah diselesaikan kepada mahasiswa fakulti tersebut. Saya telah memulakan gerak kerja pada beberapa bulan lepas untuk melihat tempat strategik untuk menempatkan sebuah mesin RO water. Kemuncaknya, alternatif dan usaha tetap diteruskan untuk merealisasikan amanah dan 
mandat yang telah diberikan dan inilah hasilnya...




Wakil syarikat air sedang memasang mesin RO water






Dengan adanya kemudahan ini, pelajar-pelajar FST dapat menikmati bekalan air beralkali dengan lebih mudah. Warga FST digalakkan untuk menggunakan kemudahan ini dengan sebaiknya untuk kebaikan dan kemudahan bersama. Sekian, terima kasih.


WILFRED MOK KOK HOE
Majlis Perwakilan Pelajar 2010/2011
Fakulti Sains dan Teknologi
Universiti Kebangsaan Malaysia
Read More

Tuesday, January 10, 2012

MPP Azlan Tunai Manifesto Lagi

Assalamualaikum dan Salam Aspirasi serta Salam Perjuangan.



Terlebih dahulu, pihak Aspirasi mengucapkan selamat menduduki peperiksaan akhir semester 1 bagi semua warga kampus UKM.


Alhamdulillah, setelah selesai dengan pemasangan Mesin RO water, saudara Azlan Ismail, MPP Aspirasi Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) tahun 1/2, telah berjaya merealisasikan satu lagi manifesto beliau. Gambar yang diambil pada 16 Disember 2011 ini menunjukkan parking motor berserta palang besi telah siap di hadapan bangunan FKAB. InsyaAllah dalam semester akan datang juga, palang besi ini akan dipasang di semua parkir motor FKAB.




Dalam mengutamakan keselamatan, maka sewajarnya palang besi ini digunakan sebaik mungkin untuk memastikan keselamatan motorsikal anda. Justeru, kami berharap agar kemudahan ini dapat digunakan sebaiknya oleh seluruh warga Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina untuk mencegah daripada kes kehilangan dan kecurian motor. Sekian, 

Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Tips Penjimatan Air


Masalah ketiadaan air kembali lagi. Justeru, kami ingin menyarankan beberapa cadangan kepada mahasiswa/i sekalian agar kita dapat sama-sama bertahan menghadapai dugaan ini bersama, terutamanya ketika musim peperiksaan ini . 

  1.  Kurangkan masa mandian dan gunakan pancuran mandian bertekanan rendah.
  2.  Letakkan sebuah baldi berhampiran dengan pancuran ketika mandi untuk mengumpul air yang berlebihan. Air ini boleh digunakan untuk mencurah tandas atau menyiram taman.
  3.  Tutup pancuran mandian ketika bersabun.
  4.  Jangan biarkan air mengalir ketika mencuci muka, menggosok gigi atau bercukur. Cara terbaik ialah menggunakan air di dalam bekas.
  5.  Baiki/tutup sebarang paip yang bocor atau yang sentiasa menitiskan air.
  6.  Jangan gunakan air yang mengalir untuk mencuci pinggan dan mangkuk, gunakan air yang ditadahkan di dalam sinki.
  7.  Pastikan paip ditutup dengan ketat untuk mengelakkan air terus menitis.

Kami berharap mahasiswa/i sekalian dapat bersabar dalam menangani masalah ini dan sama-sama mendoakan agar segalanya kembali pulih. Sekian,


Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.