Photobucket
Showing posts with label pmukm. Show all posts
Showing posts with label pmukm. Show all posts

Monday, November 28, 2011

MPP Azlan Ismail : Manifesto Hampir Tercapai

                                  Alhamdulillah,usaha untuk menempatkan mesin air beralkali di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menuju kejayaan. Usaha ini sebenarnya bermula sejak memenangi pilihanraya kampus lagi.namun,terdapat beberapa halangan menyebabkan usaha murni ini terganggu.

Kemuncaknya, alternatif dan usaha tetap diteruskan untuk merealisasikan amanah dan mandat yang telah diberikan.inilah hasilnya...




Gambar1:
Surat memohon menempatkan mesin air beralkali di FKAB kepada unit penjanaan jabatan bendahari.




Gambar 2:
lawatan wakil daripada unit penjanaan jabatan bendahari, wakil syarikat air yang dilantik oleh UKM dan saya sendiri pada 23/11/2011.

Dengan adanya kemudahan ini, pelajar-pelajar FKAB akan dapat menikmati bekalan air beralkali dengan lebih mudah daripada sebelumnya. Gunakanlah kemudahan ini sebaiknya untuk kebaikan bersama. Sekian,



Mohd Azlan Bin Ismail
MPP ASPIRASI, FKAB Tahun 1/2
Biro kerohanian dan pembangunan insan


 Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Saturday, November 19, 2011

Isu Keprihatinan terhadap keselamatan dan kebajikan warga FST

                              Berikutan dengan respon daripada pelajar FST, satu rondaan dan tinjauan sempat juga dilakukan sebelum cuti pertengahan semester yang lepas. Hasil tinjauan didapati bahawa terdapat serba sedikit kekurangan di beberapa bangunan di FST yang perlu diambil perhatian oleh pihak pengurusan FST.

Penggunaan mesin minuman air RO sekali lagi menjadi isu utama dalam perbincangan ini. Menurut Prof. Sahrim, Dekan FST, isu ini telah dibangkitkan oleh pengurusan FST ke peringkat pengurusan university.Operator yang sedia ada itu akan ditukar sekiranya masalah pembekalan mesin minuman air RO masih berlaku.

Selain itu, beberapa tempat di bangunan FST perlu dibaiki dengan keadaan sekarang yang menimbulkan kesulitan dan mampu mengancam keselamatan pelajar. Bersertakan gambar di sini untuk kefahaman semua. Yang Berbahagia Prof Sahrim juga memandang serius perkara ini dan tindakan akan diambil dengan segera.

Wilfred Mok Kok Hoe
MPP FST 2010/2011




Perabot lupus yang menghalang laluan pelajar

Alat pemadam api yang terkunci tetapi tiada kunci.

Pengendalian pelupusan perabot yang tidak sesuai.

Perabot yang rosak tidak diurus dengan baik


Read More

Friday, October 21, 2011

Dialog Santai MPP Aspirasi UKM Bersama Mahasiswa Tahun 1 Kolej Rahim Kajai

                                 MPP Aspirasi UKM telah mengadakan Lawatan Muhibbah dan Dialog Santai bersama-sama mahasiswa tahun satu Kolej Rahim Kajai pada 20 Oktober 2011. Lawatan ini adalah bertujuan bagi menyelami permasalahan dan isu-isu yang berkaitan kemahasiswaan yang menjadikan 'jiwa-jiwa' baharu UKM ini runsing dan memerlukan tempat mengadu. Justeru MPP Aspirasi UKM sepakat mengambil pendekatan santai begini agar dapat mendengar sendiri permasalahan adik-adik kita ini.

Banyak perkara yang diutarakan oleh mahasiswa tahun satu tersebut yang merangkumi masalah berkenaan Learning Contract (LC), masalah gangguan binatang liar, permasalahan berkenaan kafeteria dan lain-lain. MPP Aspirasi UKM yang diwakili oleh saudara Kamal Ali, Azlan Ismail dan Siti Nurhidayah Ismail cuba sedaya upaya untuk membantu memberikan pemahaman yang jelas mengenai perkara-perkara tersebut. Pendekatan santai bergini dirasakan amat berkesan dan menjadikan ikatan antara MPP Aspirasi UKM dengan mahasiwa tahun satu lebih akrab. 


                         


                         

                         

MPP Aspirasi UKM juga akan mengadakan pendekatan yang sama kepada hampir semua kolej kediaman di kampus Induk, Kuala Lumpur serta Cheras bagi menyelami keadaan dan realiti sebenar kehidupan mahasiswa agar dapat disalurkan kepada pihak yang berkenaan.

       Nantikan Kehadiran kami di kolej anda.....
Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Monday, October 10, 2011

Mohd Kamal Ali itu Saudaraku..begitu jua Mohammad Abdullah..KITA SEMUA BERSAUDARA

Nukilan : Abdul Muein Abadi, MPP ASPIRASI.


Assalamualaikum w.b.t.
1. Sedang saya sibuk menyediakan rancangan penyelidikan di utara tanah air, hati saya terdetik untuk memberi sedikit pandangan berkenaan situasi semasa politik kampus di UKM. Tulisan daripada Selama, Perak ini merupakan sedikit Teguran untuk direnungi kita semua bersama..sama ada buat para penyokong Aspirasi, mahupun juga para pendokong GMUKM..meski penulis bukan malaikat, hanya merupakan insan biasa yg tidak lepas drpd kesilapan..dan sebahagian komen2 di FB turut dipetik untuk kita sama2 menginsafi dosa2 diri kita terhadap saudara seagama..

2. Sejak beberapa hari yg lalu, arena politik kampus UKM digegarkan kembali dengan senario yg dilihat sebagai pertembungan antara pihak GMUKM dengan ASPIRASI..dalam arena FB.
Ianya bermula apabila Presiden ASPIRASI, saudara Mohd Kamal Ali mengeluarkan kenyataan di FB berkenaan taraf Ahli-ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yg sudah pun tamat tempoh perkhidmatan sebagaimana yg beliau rujuk drpd sumber Perlembagaan UKM.

Situasi bagaimanapun menjadi tegang berikutan komen2 saudara2 seagama kita sendiri berikutan status beliau yg berbunyi :

Makluman: Semua MPPUKM yang telah bergraduasi, tamat pengajian atau ulang pengajian dan gantung pengajian tidak lagi bergelar MPPUKM.7 orang MPPUKM yg telah tamat iaitu: Muein Abadi, Aida Rahayu, Arif Misrol, Zaim Juwaidi, Abdul Musyrif , Nor Amalina Sazali, dan Nurul Mardhiah Kamaruddin shubungan dgn itu mereka2 ini tidak boleh lagi menjalankan sebarang tugas atas nama PMUKM @MPPUKM. Jika ada penyalahgunaan sila laporkan.

beliau sendiri kemudiannya memberi penjelasan,

"xmenjadi masalah jika menjadi tulang belakang yg menolong. namun jika digunakn utk meraih sokongan, simpati atau lain-lain ia sudah jadi penyelewengan. mpp diatas tidak boleh menjadi jurucakap, wakil atau suara PMUKM MPPUKM lagi.


3. Tujuan utama penulisan saya disini bukan untuk semata2 membela saudara saya, iaitu Mohd Kamal Ali..sebaliknya ialah untuk MENEGUR sikap kita yg kelihatan agak sukar berlapang dada, mungkin bersangka buruk, dan memaki hamun saudara2 kita dgn gelaran2 yg tidak elok mengguris hati, menyemarak kebencian (Demi Allah, diri sy sendiri tidak terlepas drpd dosa-dosa ini, kepada Allah sy bertaubat dan kepada saudara2 yg pernah menjadi "mangsa" sy, sekali lg saya memohon maaf)

Antara komen2 yg dibuat oleh sahabat2 dan saudara2 kita yg menimbulkan perasaan terkilan sebagai seorang muslim..

"paham peraturan itu ini, tp kerja xreti nak buat kerja. sekadar nak pangkat je pun xgune gak."

"sembanag kt alam maya ni kencang la sangat...face to face kecut... ciss..."

"bukan mcm sesetgh pihak yg bcakap kencang, tp, tindkn habuk pun x dak.."

".sy mmg suka provok"


secara peribadinya, komen yg paling terkesan bg saya ialah daripada "Kemas Keming" :


"Mohd Kamal Ali dah mula mnyalak biasalah, dah dapat arahan drp 'tangan ghaib' suh mnyalak..hahaha.. amacam meeting?? Angguk2 Geleng2.. hanya menurut perintah!!! haha..."

"hnya berani dgn perempuan sahajakah En Mohd Kamal Ali?? Dgn kami taknak jumpa?? tertunggu2 gak bila ASPIRASI nak buat diskusi kalau berani sgt. dasar penakut.. sia2 jadi lelaki."

"mungkin subuh hari tu 'gelap' sgt kot smpi x nmpk kamal."

"dia dapat info dr tangan ghaib.. baru pas 'meeting' tu yg myalak tu :D

juga komen2 kasar yg lain seperti

"jangan la jadi orang bodoh, ada jawatan kat PMUKM tapi x buat pun,sibuk je ganggu kerja orang,kerja dia x buat, kerja orang bising. apa barang bro??" (komen drpd seorang wanita)

4. Sikap emosional sebegini amatlah saya fahami kerana dalam politik, fikrah yang dipilih diyakini sebagai yg paling benar lalu pihak yg lain dilihat sbg musuh..apatah lagi apabila menerima ujian dan tekanan yg hebat dlm memperjuangkan Islam di perbukitan ilmu di UKM ini..namun sedarlah sahabat2..kita semua TETAP bersaudara..

Mohd Kamal Ali kemudiannya telah bersetuju utk bertemu dn berbincang dgn dua org siswi yg ingin mendapatkn penerangan drpd beliau sendiri berhubung dgn status beliau terbabit di Bilik PMUKM namun telah berlaku sedikit kekecohan yg melibatkan seorang lagi saudara kita, Mohammad Abdullah yg kemudiannya membawa kepada laporan polis dibuat.

Maka timbullah komen2 yg mengguris cukup hati saya dan juga kita semua seperti :

"Hidup OKU"

"OKU the best"

"i think it served you right. go on with your stupidity and you deserved it. don't blame anybody. -tq-"

Sahabat2 sekalian, Mohd Kamal Ali ialah saudara kita..dan Mohammad Abdullah juga ialah saudara kita..saya kenal saudara Mohammad..beliau seorang yg tegas..tegas demi agama.. kita sebagai mahasiswa muslim yg matang perlu berhati2 dlm setiap langkah kita menerusi jalan hikmah (bijaksana).

Saudara Mohd Kamal Ali kemudiannya membuat status berikut:

"Saya memaafkan tindakan Timbalan Presiden PMUKM saudara Abdullah Yusuf yg melakukan kekasaran ke atas saya tempoh hari. kerana itulah yg dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W dan nasihat saya janganlah biarkan emosi menguasai diri kerana kelak ianya hanya memperlihatkan keaiban kita.


Namun tetap masih ada provokasi yg muncul drpd saudara seagama..

"saudara Mohd Kamal Ali dah pegi pusat kesihatan? ada MC letter? mudah2an sembuh luaran dan dalaman juga yer....=)

"korang dgr laa btol2 cita kamal ni..kena cekik k0t.."

"Allah.."terharu" kot.."

"status mencapap. ingat aku nak puji hahahah... please!"

"wahh...Mata Pandang Atas, Tangan Di Dada.."

"si Mohd Kamal Ali ni nak tunjuk baik, padahal terserlah keaibannya.haha. manusia yg xingat mati"

"jangan kisah sangat dengan org mcm ni.......sekurang2nya kita boleh kenal org yang berlagak baik ni."

"cukup2 la tu kawan2...takut2 lepas ni x kluar bilik plak sbb x tahan malu...kan susah gitu"

Sahabat2 GMUKM, Sahabat2 ASPIRASI..Demi Allah yg menciptakan kita drpd Nabi Adam dan Hawa, umat Nabi Muhammad S.A.W, di pentas dunia, dan sahabat2 yg berada di perbukitan ilmu UKM..sama2 lah kita menjaga lidah dan jari-jemari kita..berlapang dada..berbaik sangka..bersaing secara sihat serta berlumba-lumba lah dalam melakukan kebaikan..

Sebagaimana nasihat seorang saudara kita, Abdul Fattah Abd Hafidz,

" macam mana nak naikkan nama UKM ke, macam mana nak tingkatkan produktiviti, modal insan pelajar UKM ke, kan lebih baik.. nie asyik politik je, cuba buat sesuatu yg betul2 naikkan nama universiti. baru org pandang."

Usah kita biarkan syaitan-syaitan bergembira dgn menyemarakkan permusuhan..kerana syaitan dan nafsu itulah musuh kita..sama2 kita bersatu padu sebagaimana pesanan MPP Noraini Jumahir, pengerusi biro perpaduan & kemasyarakatan PMUKM.

Sebagaimana pesanan seorang lagi sahabat MPP ASPIRASI, Rahmad Fauzi :

Apabila engkau berbuat baik, orang lain mungkin akan berprasangka bahwa ada maksud dibalik perbuatan baik yang kau lakukan itu… Tetapi tetaplah berbuat baik! Kebaikan yang kau lakukan hari ini mungkin besok akan dilupakan orang… Tetapi teruslah berbuat baik! Apabila engkau menemukan kedamaian dan kebahagian di dalam hati, orang lain mungkin akan iri hati dan ada yg akan ...mempermainkan hatimu… Tetapi tetaplah berbahagia! Berikan yang terbaik dari apa yang kau miliki dan itu mungkin tidak akan pernah cukup… Tetapi tetaplah berikan yang terbaik!walau hati rasa dsakiti Percayalah bahwa mata اَللّهُ tertumpu pada orang-orang yang jujur dan DIA melihat ketulusan hatimu ^_^ CINTA ALLAH CINTA ABADI

Sekiranya ada terguris dgn tulisan saya ini, seribu kemaafan sy pohon daripada sahabat2 sekalian..

Kepada Allah jua kita semua kembali..



TEGUH, SETIA, BERSATU !
ABDUL MUEIN BIN ABADI
MANTAN MPP ASPIRASI FSSK TAHUN 3, 2010/2011
Read More

Wednesday, September 7, 2011

Perutusan Khas Sempena Kemasukkan Pelajar Baharu Sesi Akademik 2011/2012


Bismillahirahmanirahim
Assalamuaikum W.B.T, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia 1 Aspirasi...

PEMBUKA BICARA
Pertama dan selamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kehadratnya atas limpah keizinan dan takdir yang telah direncakankan oleh-Nya sehingga membolehkan kita dipertemukan dalam suasana kampus yang penuh barakah, nostalgik dan keramat ini. Sebagai pendahuluan bicara, saya mewakili seluruh tenaga kerja Sekretariat Aspirasi UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat adik-adik pelajar baharu yang telah di pilih masuk untuk menyertai sekaligus menjadi warga varsiti tersohor negara yang bergelar Universiti Kebangsaan Malaysia ini. melihat kepada imbasan sejarah dan cerita lisan generasi terdahulu, sememangnya varsiti yang adik-adik sertai ini bukanlah calang-calang varsiti. Perjuangan rakyat seawal 1920-an yang menuntut sebuah pemerintah ketika itu menyediakan sebuah institusi yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama di peringkat pengajian tertinggi merupakan pencetus kepada kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia yang sentiasa menjadi universiti kebanggaan negara. Lantas detik keramat tanggal 18 Mei 1970 menjadi saksi kepada saat penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara dengan kelahiran satu-satunya universiti yang di beri taraf kebangsaan dan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara ini sebagai bahasa ilmu dan sekaligus mengangkat darjat setiap warganegara yang bertutur menggunakan bahasa tersebut tanpa mengira kaum keturunan, agama dan warna kulit. Biarpun lebih empat dekad telah berlalu namun citra dan jiwa varsiti ini tetap utuh dan teguh dalam memelihara kesinambungan perjuangan tersebut.

ASPIRASI UKM
Sekretariat Aspirasi UKM merupakan badan pelajar yang ditubuhkan melalui Perlembagaan UKM dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Pelajar UKM sejak sesi 2004/2005 lagi. Badan pelajar ini digagaskan atas kesedaran dan perlunya sebuah pertubuhan pelajar yang dapat menggerakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa yang ditunjangi dengan idealogi kesederhanaan (wasatiah) dalam segenap aspek dan menolak sekerasnya budaya ekstrim yang melampau dalam semua perkara. Sejak bertahun lamanya Aspirasi UKM terus menjadi wahana dalam menyuburkan aspirasi universiti yang menggangkat dan menyemarakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa untuk terus terkehadapan seiring dengan kemajuan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Aspirasi UKM merupakan jambatan terunggul untuk melonjakkan potensi diri melalui pelbagai usaha pembangunan generik dan skill mahasiswa untuk memastikan kebolehpasaran (marketability) graduan UKM terus ke mercu kejayaan. Semua ini direalisasikan oleh Aspirasi UKM melalui kem-kem jati diri perdana, program pembangunan spiritual, kerohanian dan moral, aktiviti sukan lasak, wacana kepimpinan, seminar, konvensyen dan lain- lain yang dilaksanakan semata-mata agar dapat menjadi nilai tambah kepada mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran hari muka.

Aspirasi UKM tanpa prejudis mengangkat semua bangsa menjadi ikatan yang terpadu dan saling melengkapi dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang penuh liku-likunya. Seiring dengan gagasan 1 Malaysia, Aspirasi UKM akan terus dan senantiasa komited dalam mewujudkan suasana kampus yang muhibbah, bersatu padu ke arah merealisasikan perpaduan dalam setiap warganegara. Malah, Aspirasi UKM juga merupakan satu-satunya pertubuhan pelajar di UKM yang mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan dalam menjadi pemangkin semangat 1 Malaysia di dalam kampus.

AGENDA ASPIRASI MAHASISWA & KONSEP TEGUH SETIA BERSATU
Agenda Aspirasi Mahasiswa merupakan rangka pemikiran yang dicetuskan oleh Aspirasi UKM untuk setiap mahasiswa tanpa mengira latar belakang yang direncanakan untuk mewujudkan persekitaran kampus yang aman dan harmonis sekaligus menolak anasir-anasir pelampau dengan tingkah laku persis ekstrimis demi survival mereka. Untuk itu, Agenda Aspirasi Mahasiswa ini merupakan satu set rangka pemikiran terbaik dalam menangkis segala budaya songsang yang cuba diterapkan oleh individu atau perkumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Konsep Teguh Setia Bersatu merupakan tunjang pegangan Aspirasi UKM yang di adun dari semangat dan semua nilai yang ada dalam pertubuhan ini. untuk melahirkan masyarakat mahasiswa yang berprinsip dan mempunyai pegangan dalam menjayakan agenda diri sendiri, keluarga dan negara. Sehubungan itu, konsep Teguh Setia Bersatu ini wajar menjadi identiti setiap warga UKM yang ingin mengecapi kegemilangan dan kejayaan dalam segenap aspek.

AKHIR BICARA
Sebagai akhir bicara, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2011/2012 yang telah pun menjadi warga UKM pada hari ini. Nikmati kehidupan di alam kampus ini dengan jiwa yang tenang dan hati yang girang agar kemanisannya dapat dikongsi buat tatapan generasi akan datang. Salam takzim dari saya dan seluruh warga Aspirasi UKM yang tidak akan jemu memberi tunjuk ajar buat anda sepanjang berada di pembukitan ilmu ini.

Sekian, Wassalam..

MOHD KAMAL BIN ALI
Presiden
Sekretariat Aspirasi
Universiti Kebangsaan Malaysia


TEGUH | SETIA | BERSATU !
Read More

Wednesday, August 17, 2011

Isu Harga Yuran Kolej

        Assalammualaikum,Salam Ramadhan, serta salam 1 ASPIRASI buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian.Baru-baru ini, Universiti Kebangsaan Malaysia digemparkan dengar satu berita kurang enak didengar. Yuran kolej bagi pelajar di UKM telah naik dengan mendadak tanpa sebab-sebab yang munasabah. Ekoran kejadian tersebut pelbagai keluhan mahupun rungutan telah dilontarkan oleh mahasiswa/mahasiswi yang merasa terbeban diatas kenaikan yuran secara mendadak tersebut.

     Dalam kekecohan yang timbul ini, muncul pihak-pihak yang cuba meredakan keadaan dengan menuding jari menyalahkan pihak pengurusan berkenaan isu yuran ini. Tindakan ini adalah suatu perbuatan yang tidak wajar dilakukan sebaliknya harus mendapatkan penjelasan yang sebenar dari pihak yang terbabit.






     Setelah perbincangan yang melibatkan pihak pengurusan UKM, Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Dr. Ir. Othman A. Karim menjelaskan perkara sebenar mengenai isu ini seperti diatas.


     Dengan penjelasan tersebut diharapkan mahasiswa mahasiswi UKM dapat menarik nafas lega dan tidak lagi menyalahkan pihak pengurusan UKM. Diharapkan warga UKM mennyokong dan menghargai usaha pihak UKM dalam menjaga kebajikan pelajar serta memacu universiti kearah kecemerlangan berterusan. Sekian, Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti.


Teguh, Setia, Bersatu!

Read More

Sunday, July 25, 2010

Dasar Presiden PMUKM




Bismillahirahmanirrahim…

Yang Berbahagia
Prof. Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Dr. Mohamad Abdul Razak
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dato’ Ir. Dr. Hassan Basri
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Rahmah Mohamad,
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM

Yang Berbahagia
Prof. Dr. Saran Kaur Delip Singh
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM

Pegawai –pegawai kanan, UKM
Pengetua-pengetua kolej kediaman,
Barisan Kepimpinan Majlis Perwakilan Sesi 2009/2010
Dan seterusnya hadirin yang dihormati sekalian

Assalamualikum,W.B.T, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia.

Sebelum hujah menyusul madah, sebelum kata menguntum bicara marilah bersama-sama kita merafa’kan kesyukuran kehadrat Ilahi atas limpah kurnianya dan selawat serta salam buat Rasulullah S.A.W dan ahli keluarga Baginda serta para sahabat, pengikut-pengikut sahabat dan tabiin kerana kita sama-sama dapat berkumpul pada hari yang bersejarah ini atas satu majlis yang amat bermakna iaitu Majlis Penyampaian Watikah dan Penyampaian Ucapan Dasar Presiden PMUKM Sesi 2009/2010.




Yang Kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang Baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Y.bhg. Prof. Tan Sri /Dato`/Datin /Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) yang ditubuhkan mengikut Perkara 52(2) dan (3) Perlembagaan Universiti merupakan salah satu platform untuk mengembangkan potensi dan bakat kepimpinan pelajar dan seterusnya menjadi pelapis kepimpinan negara dalam menggapai Wawasan 2020.

PMUKM pada sesi ini telah menggariskan empat (4) dasar utama yang mendukung tema “Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti”. Dasar-dasar tersebut adalah:

1. Memperkasa kebajikan pelajar tonggak utama pembentukan PMUKM
2. Membantu Universiti melahirkan graduan minda kelas pertama sederap menjadikan UKM Universiti terkehadapan dunia.
3. Keperihatinan terhadap kebajikan hal ehwal siswi
4. Memupuk perpaduan dalam kalangan warga UKM yang berbilang kaum berteraskan nilai-nilai murni dan berpaksikan Rukun Negara dan berkonsepkan 1 Malaysia.


Hadirin yang dihormati sekalian,

Perkara Pertama: Memperkasa kebajikan pelajar tonggak utama pembentukan PMUKM

Pada sesi ini, barisan kepimpinan PMUKM Sesi 2009/2010 akan meneruskan tradisi kepimpinan PMUKM sebelum ini dalam segala hal berkaitan kebajikan pelajar dan memandangkan kebajikan pelajar menjadi tonggak utama PMUKM, Exco Kebajikan telah dibahagikan kepada tiga teras utama yang merangkumi Exco Prasarana, Keselamatan dan Pengangkutan, Exco Tenaga, Air dan Komunikasi serta Exco Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan. Hal ini adalah bagi memastikan setiap exco dapat menumpukan tugas mereka dengan lebih fokus dan efisyen.




Prasarana, Keselamatan dan Pengangkutan

Permasalahan mengenai prasarana adalah penting untuk diambil perhatian oleh pihak universiti. Kemudahan dan prasarana di dewan-dewan kuliah sudah seharusnya menjadi perhatian utama pihak PMUKM. Prasarana dewan kuliah seperti LCD, kerusi, komputer dan pendingin udara harus dinaik tarafkan setanding dengan UKM sebagai universiti penyelidikan yang tersohor. Prasarana seperti jalan raya dan pencahayaan di seluruh kawasan kampus diminta untuk diperbaiki sebaik mungkin. Mengenai kemudahan-kemudahan sukan dan rekreasi seperti gelanggang dan peralatan sukan diminta dinaik taraf dan diselenggara dengan signifikan agar pelajar-pelajar dan atlet dapat memanfaatkan kemudahan pada tahap optimum. Kemudahan ini sudah pasti akan memberikan motivasi kepada semua pelajar untuk beriadah memastikan fizikal mereka berada dalam keadaan sihat dan cergas. Bak kata pepatah, ‘Otak yang cerdas datangnya dari badan yang sihat’.

Dari aspek keselamatan, pihak PMUKM pada sesi lepas banyak menerima aduan dari pelajar tentang kehilangan barang-barang seperti motorsikal, komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya. Sehubungan dengan itu, pihak kami menyarankan agar pihak universiti menambah bilangan anggota keselamatan disamping memperhebat rondaan memandangkan kekerapan kes-kes kecurian dan perkara-perkara tidak di ingini yang dilaporkan bagi memastikan perkara ini dibanteras ke tahap sifar. Pada ketika ini pihak PMUKM mendapat laporan tentang CCTV yang tidak berfungsi dengan baik sama ada di kolej-kolej kediaman atau di fakulti. Oleh yang demikian pihak PMUKM juga memohon jasa baik pihak pengurusan universiti supaya menambah dan memastikan ke semua kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi dan diselenggara dengan baik.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir semua pelajar menetap di kolej-kolej kediaman di mana ianya terletak di dalam kampus. Pengangkutan bas sudah semestinya menjadi medium utama pelajar-pelajar terutama dari kolej ke dewan-dewan kuliah. Sehubungan dengan itu, pihak PMUKM memohon jasa baik pihak pengurusan universiti supaya merancang penjadualan bas yang lebih efisyen. Perkhidmatan Sistem Letak dan Naik merupakan satu sistem yang diperkenalkan oleh pihak universiti bertujuan mengelakkan kesesakan dan pelestarian kampus, namun pihak PMUKM memohon jasa baik phak universiti supaya mengkaji semula keberkesanan Sistem Letak dan Naik memandangkan perkhidmatan ini tidak mendapat sambutan daripada warga kampus. Oleh yang demikian pihak kami mencadangkan agar pihak universiti memberikan tambahan kemudahan pengangkutan kepada aktiviti persatuan, kelab dan kolej-kolej agar kegiatan kemahasiawaan dapat disempurnakan dengan lebih baik demi kecemerlangan dan kegemilangan universiti.


Y.bhg. Prof. Tan Sri Dato`/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Air, Tenaga dan Komunikasi

Air merupakan keperluan asas kepada semua kehidupan di muka bumi ini. Kebelakangan ini, kita sering dikejutkan dengan masalah bekalan air terputus di kolej-kolej kediaman dan fakulti-fakulti. Ketiadaan air di kampus terutama di kolej-kolej kediaman menyebabkan aktiviti warga UKM terganggu terutama masalah menghadiri kuliah-kuliah akademik. Justeru dari itu, masalah ketiadaan air amat meruncing terutama kepada warga UKM yang mendiami di kolej-kolej kediaman.


Oleh yang demikian, PMUKM memohon agar pihak UKM memikirkan cara penyelesaian jangka panjang supaya permasalahan air dapat diselesaikan demi kepentingan semua warga UKM termasuk pelajar dan semua kakitangan. Pihak PMUKM juga mencadangkan agar rmembina dan membesarkan saluran paip bagi menggantikan saluran paip yang sedia ada agar masalah ini dapat diselesaikan.

Aspek jaringan komunikasi boleh dilihat dari sudut wifi yang disediakan disekitar universiti. Pihak pengurusan universiti seharusnya mengkaji semula tarif wifi dan memperbaiki sistem perkhidmatan yang kurang memuaskan. Seperti yang kita semua sedia maklum, proses pembelajaran kini kebanyakannya menggunakan internet sebagai salah satu medium pembelajaran. Justeru, barisan kepimpinan PMUKM kali ini berbesar hati sekiranya pihak universiti mendengar keluhan pelajar. Manakala, bagi menjamin penggunaan tenaga secara cekap, pihak PMUKM bersedia membantu UKM untuk mengadakan kempen-kempen penjimatan tenaga kepada seluruh warga kampus UKM.

Hal Ehwal Pengguna dan Kesihatan

Dalam konteks kepenggunaan universiti, pelajar merupakan pengguna utama bagi perkhidmatan yang disediakan oleh pihak universiti. Dengan hal yang demikian kebajikan pengguna turut menjadi fokus bagi merealisasikan matlamat utama PMUKM.

Sebagaimana kita ketahui, masalah yang selalu berbangkit di kalangan pelajar adalah mengenai yuran kolej yang tidak selaras. Hal ini menyebabkan timbulnya rasa tidak puas hati dalam kalangan pelajar kerana yuran yang dibayar tidak setimpal dengan kemudahan dan prasarana seperti bilik asrama dan tandas yang kurang memuaskan. Tambahan lagi, perkhidmatan kafeteria seperti harga makanan yang tidak konsisten menambahkan lagi bebanan yang terpaksa ditanggung oleh pelajar. Selain itu, kami memohon agar perkhidmatan air pembalikan osmosis dengan izin RO water ditambah dan diselenggara secara berkala demi memastikan mutu air adalah bersih untuk diminum.

Dari aspek kesihatan pula, mutu perkhidmatan kesihatan pada waktu malam seperti penambahan pegawai kesihatan, penambaikkan kemudahan bilik Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) di setiap kolej kediaman harus dipertingkatkan. Seterusnya kami memohon agar pihak Pusat Kesihatan dapat melakukan pemeriksaan ke atas BSMM secara sistematik bagi memastikan mutu dan standard pertolongan cemas dapat memenuhi kepuasan pengguna.

Kebajikan di Kampus Kuala Lumpur

Kepada sahabat-sahabat mahasiswa/i di Kampus Kuala Lumpur, pihak PMUKM sentiasa memantau dan memastikan kebajikan dan kemudahan anda agar terus mendapat perhatian yang sewajarnya. Walaupun Kampus KL jauh di mata, tetapi dekat di hati, oleh itu pihak PMUKM sangat mengambil berat akan permasalahan dan kebajikan pelajar-pelajar Kampus KL. Permasalahan seperti kemudahan dewan kuliah yang tidak mencukupi, keselamatan para pelajar dan hartabenda, kekurangan kemudahan air pembalikan osmosis dengan izin RO water, kemudahan mesin ATM Bank Islam bagi kegunaan urusan perbankan pelajar dan pelbagai masalah akan diberi perhatian yang sewajarnya.


Y.bhg. Prof. Tan Sri Dato`/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.


Perkara Kedua: Membantu Universiti melahirkan graduan minda kelas pertama sederap menjadikan UKM Universiti terkehadapan dunia.

Bagi memastikan setiap warga UKM dapat ‘Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan`, tanggungjawab UKM adalah menyediakan sekitaran yang memberi peluang menyubur segala kebolehan. Setiap warga UKM mestilah yakin inilah tempat kebolehan dan bakat mereka dipupuk, labuhan warga berkarya dan berjaya dalam karyaan tersebut. Beberapa hasil memberi keyakinan kejayaan UKM menyedia pesekitaran (fizikal, sosial, rohani dan mental) yang mampu menghasil pelbagai penemuan penyelidikan, meningkat kualiti hidup, dengan bangga memartabatkan bahasa Melayu, mampu melahir graduan yang berjaya menembusi pasaran kerja global, merai kepelbagaian budaya dalam usaha memupuk persefahaman antara etnik, perpaduan dan pensepaduan. Kita perlu terus bersama menjenama UKM sebagai universiti “kebangsaan” unggul yang akan mengukir masa depan yang kita impikan, sebuah masa depan yang membugar, memupuk, melestari dan memilih. Masa depan yang kita impikan mestilah mampu memberikan kesaksamaan, pemerkasaan, kehormatan dan harga diri kepada individu, masyarakat, negara dan dunia. Kitalah yang akan secara sekaligus menyumbang dan mendapat manfaat daripada proses `Mengilham Harapan, Mencipta Masa Hadapan`.

Untuk mempersiapkan diri kita di dalam organisasi dan misi negara, pembangunan modal insan yang bermutu tinggi menjadi salah satu kemestian. Maka, pembangunan modal insan perlu kepada ‘Minda Kelas Pertama’. ‘Minda Kelas Pertama’ secara mudah difahami sebagai ciri-ciri modal insan yang mampu memenuhi keperluan pembangunan individu, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Ciri-ciri tersebut merangkumi aspek penguasaan ilmu yang tinggi, sikap proaktif, kekayaan moraliti, budaya menyumbang untuk kepentingan bersama dan pembangunan yang bersifat holistik.

Hasrat Kementerian Pengajian Tinggi untuk mewujudkan graduan yang benar-benar mampu bersaing di pasaran kerja telah disambut baik oleh Universiti Kebangsaan Malaysia. Keupayaan pelajar untuk menguasai setiap komponen dalam kompetensi generik ini sangat penting kerana menurut Goleman (1995) peraturan memilih pekerja di era globalisasi ini telah berubah. Majikan bukan lagi hanya menilai bakal pekerja dari aspek kebolehan intelek sahaja, malah lebih penting lagi, mereka dinilai dari pelbagai aspek trait peribadi yang boleh menjadikan mereka pesaing yang hebat dalam pasaran pekerjaan.

Langkah universiti memperkenalkan Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) merupakan langkah pertama dalam melahirkan graduan minda kelas pertama. Kemahiran-kemahiran generik harus dikuasai oleh semua pelajar bagi memantapkan “soft skill” demi memastikan kebolehpasaran graduan UKM menjadi pilihan. Namun demikian, SPKG ini memerlukan semakan semula dari aspek implementasinya supaya pelajar UKM lebih berketrampilan, berdaya saing dan lebih terkehadapan.

Bagi memperkasa kompetensi generik, ia perlulah dimulakan dengan langkah-langkah yang menggalakkan permurnian pembelajaran, bermaksud ia mestilah bersandarkan dengan tujuan utama kompetensi generik dilaksanakan iaitu untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan. Walaupun universiti kita yang tercinta ini menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pembelajaran tetapi melalui pemerhatian para cendekiawan, Bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu yang paling banyak digunakan dalam bahasa teknologi dan global. Pensejagatan ilmu memartabatkan bahasa dan khazanah bangsa kerana ilmu global tidak releven selagi tidak ditafsir, diadun dan digarap dalam konteks setempat yang proses pemutikannya terikat kepada bahasa watan. Sebagai ikon negara, UKM juga peka dengan keperluan sejagat yang memihak kapada kekuatan yang diperoleh daripada kepelbagaian, justeru meraikan penguasaan pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris.

Sebenarnya apa yang pihak PMUKM lihat, masalah pelajar kita masa kini adalah penguasaan dalam Bahasa Inggeris. Bagi memastikan Bahasa Melayu terus dimartabatkan dan Bahasa Inggeris dikuasai dengan sempurna, oleh itu kami menyarankan kepada pihak UKM agar mewujudkan Kelab Bahasa Inggeris di setiap kolej yang mana ia dijalankan secara berperingkat dan konsisten. Pengisian ini haruslah diperhalusi supaya ia merangkumi semua aspek, tatabahasa, penulisan dan pertuturan. Kelab ini juga berfungsi sama seperti kelab-kelab di kolej kediaman yang mana kelab ini akan terlibat dengan penganjuran pertandingan debat Bahasa Inggeris dan program-program yang menjurus kepada Bahasa Inggeris. Diharap kemandirian kelab ini terus rasional dengan program bermediumkan Bahasa Inggeris dan bukannya bersifat konvensional.


Y.bhg. Prof. Tan Sri /Dato`/Datin/Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati.

Pembangunan lestari mengikut acuan mahasiswa minda kelas pertama adalah tidak tertumpu kepada pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar semata-mata, tetapi ia sebenarnya menyentuh sikap dan tanggungjawab manusia itu sendiri. Perkara ini dilihat kerana kampus kita ini dikelilingi dengan kehijauan semulajadi di mana alam semulajadi yang hijau sering dikaitkan dengan kesegaran yang menjurus kepada pencambahan minda yang lebih produktif , sama ada dari segi akademik mahupun ko- korikulum. Bak kata pepatah , ‘Memelihara sesuatu yang kita ada bukan senang, tetapi untuk memusnahkan adalah sangat mudah’. Dengan ini, PMUKM sesi ini yang begitu prihatin dengan kehijauan alam semulajadi, telah mewujudkan Exco Pembangunan Lestari, Inovasi dan Penyelidikan sesuai dengan “niche” UKM yang berusaha untuk melestarikan kehijauan alam semulajadi. Bagi memastikan ia terus dipelihara program-program kesedaran tentang kelestarian alam sekitar akan diteruskan agar nilai-nilai murni dapat dipupuk dan disemadikan secara total di dalam setiap tindakan dan perilaku kita semua.



Perkara Ketiga: Keperihatinan terhadap kebajikan hal ehwal siswi

Mengikut statistik terkini prasiswazah di UKM, jumlah pelajar siswi adalah 68% berbanding pelajar siswa sebanyak 32%. Ini bermaksud, hampir 2/3 daripada seluruh pelajar prasiswazah terdiri daripada pelajar siswi. Oleh yang demikian PMUKM mengambil inisiatif untuk melantik seorang MPP siswi ke Jawatan Naib Presiden dan mewujudkan semula satu Jawatan Exco Hal Ehwal Siswi bertujuan untuk melihat secara terperinci aktiviti dan permasalahan yang sering di hadapi oleh pelajar siswi. Melalui kewujudan exco ini, pihak PMUKM dapat mendampingi siswi dengan lebih dekat dan seterusnya mengiktiraf peranan siswi dalam usaha memacu Universiti Kebangsaan Malaysia Sederap Universiti Terhadapan Dunia.

Perkara Keempat: Memupuk perpaduan dalam kalangan warga UKM yang berbilang kaum berteraskan nilai-nilai murni dan berpaksikan Rukun Negara.

Perpaduan merupakan satu elemen kritikal yang dapat memastikan kelangsungan sebuah tamadun bangsa. Keadaan ini memerlukan satu kaedah pemupukan yang berkesan dari peringkat universiti lagi. UKM merupakan tempat terbaik dalam mewujudkan perpaduan dalam kalangan pelajar selaras dengan aspirasi negara menjunjung tinggi toleransi antara kaum. Seperti pepatah Melayu “ Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi realiti kepelbagaian ini digandingkan dengan konsep `perkongsian`, perinsip berkongsian yang diperagakan ini membayangkan wujudnya semangat toleransi dikalangan warga UKM iaitu semangat mengiktiraf dan menghormati kelainan budaya setiap kumpulan etnik. Prinsip perkongsian ini juga mengandungi falsafah kesaksamaan, keadilan sosial, intergriti dan meritokrasi yang dijunjung keluhurannya oleh UKM sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang cemerlang. Justeru itu, diharapkan para pelajar dapat menerapkan teras-teras perpaduan sebagai budaya dan amalan dalam kehidupan seharian. Teras perpaduan ini didukung oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.

Selain itu, dalam usaha untuk bersaing di peringkat global PMUKM tidak terkecuali untuk membantu pihak universiti memartabatkan seluruh warganya di mata dunia yang bercirikan identiti kebangsaan. Cabaran ini selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk membangunkan sekurang-kurangnya sepuluh pusat kecemerlangan dari segi penyelidikan, hak cipta, penerbitan, kerjasama penyelidikan dan pengkomersilan. Perkara ini jelas menunjukan bahawa hasrat kami ini tidak bertentangan dengan aspirasi kerajaan yang murni.

Dengan berbekalkan kepercayaan yang diberikan, kami barisan kepimpinan PMUKM sesi 2009/2010 akan sedaya upaya mengemudikan bahtera kepimpinan ini dengan penuh dedikasi dan semangat yang membara di dalam jiwa sanubari kami. Apa yang kami rencanakan ini bukanlah retorik semata-mata. Namun, perkara yang kami manifestasikan ini adalah satu usaha yang akan kami dukung selaras dengan hasrat dan misi universiti. Tugas dan amanah yang diberikan ini amat berat tetapi kami yakin dapat memikulnya sekiranya kita dapat bergerak bersama-sama. Kita mungkin tidak dapat melihat hasilnya berbuah dalam tempoh yang singkat, namun dengan berkat usaha dan kekuatan momentum yang ada di dalam barisan kepimpinan PMUKM kali ini, insyaAllah kita dapat merealisasikan segala impian dan harapan yang ingin digapai kerana hari kita hendak “Mengilhamkan Harapan untuk Mencipta Masa Depan”.


Penghargaan

Ucapan terima kasih dirakamkan kepada Y.Bhg. Prof. Tan Sri Dato` Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabuddin (Naib Canselor UKM), Timbalan-Timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai Kanan Universiti, Pengetua-pengetua Kolej, Dekan-Dekan Fakulti, pegawai-pegawai HEP, JPPel, PPP dan seluruh warga kampus yang telah memberikan komitmen, sokongan dan kerjasama. Pihak PMUKM mengharapkan pihak pengurusan universiti dapat memberikan sokongan dan tunjuk ajar agar PMUKM akan terus maju ke hadapan.

Bersama-sama ini saya akhiri ucapan saya dengan empat rangkap pantun,

Kalau rotan dipanjat benalu
Sekerat disimpan dalam bakul
Kalau beban sudah ke bahu
Berat ringan wajib dipikul

Hendak berlayar ke Pulau Betong,
Sambil mencuba labuhkan pukat,
Bulat air kerana pembentung
Bulat manusia kerana muafakat.

Jikalau tuan mengangkat peti,
Tolong masukan segala barang
Jikalau kita bersatu hati,
Kerja yang susah menjadi senang.


Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Budi yang baik rasa nak junjung

Bersama kita bersatu, bulatkan niat yang satu, PMUKM sesi 2009/2010 nombor satu.
Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.