Monday, February 20, 2012
PEACE FOR PALESTINE !
Wednesday, February 8, 2012
Saat Akhir Voucher 1 Malaysia : Jom Beli Buku !
Sunday, February 5, 2012
Perutusan Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah
- Setinggi kesyukuran penuh kepujian kepada Allah SWT, dengan nikmat dan izin-Nya jua, dapat kita meraikan sambutan Maulidur Rasul pada tanggal 12 Rabiulawal 1433 Hijrah ini bersamaan 5 Februari 2012 Masehi. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW jua ke atas keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas sekalian Tabiin dan ulama sepanjang zaman.
- Sesungguhnya, baginda Rasulullah SAW telah berjaya membawa transformasi murni kepada umat sejagat. Terbukti apabila kegelapan jahiliah telah sirna bila berhadapan dengan sinar risalah nubuwah. Transformasi insani ini lahir daripada kasih sayang dan keperihatinan baginda terhadap kesejahteraan umat sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Quran, surah at-Taubah ayat ke-128 yang bermaksud:
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
- Menjejaki sirah gemilang ini, kita dapat menyaksikan bagaimana melalui dakwah imaniah yang dibawa, akhirnya memunculkan satu tamadun yang sangat hebat kepada ummah. Maka bertepatan sekali dengan tema “Persefahaman Asas Perpaduan Ummah” yang dipilih untuk tahun ini dalam usaha kita menjayakan agenda transformasi negara.
- Persefahaman inilah yang saya utarakan melalui Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) ke seluruh dunia dengan seruan bagi memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan manusiawi. Sememangnya, keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum yang kita kecapi pada hari ini, menjadi teladan kepada bangsa-bangsa lain di dunia.
- Justeru, di dalam mendahulukan perpaduan, kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat. Melalui program Inisiatif Kerajaan, kita telah mewujudkan beberapa produk di bawah jenama 1Malaysia seperti Klinik 1Malaysia, Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Menu Rakyat 1Malaysia, Amanah Saham 1Malaysia, Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia (KIR1M), Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan terbaru Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA 1Malaysia). Semua inisiatif ini jelas bertepatan dengan konsep negara Madinah yang telah diasaskan oleh Rasulullah SAW dalam menjaga kebajikan rakyat.
- Sempena Maulidur Rasul kali ini, saya dan keluarga berdoa agar Allah SWT memberikan kepada kita semua limpahan taufik dan hidayah-Nya untuk kita memperteguhkan tekad dalam melaksanakan pembangunan negara. Ya Allah, abadilah rahmat dan nikmatMu di bumi bertuah ini; serta sempurnakanlah iltizam kami bagi memperjuangkan agenda ummah dengan segala kesyumulannya serta penuh hikmah. Kepada Mu-lah jua kami memohon kekuatan dan inayah. Amin.
Sekian. Wabillahit Taufik wal Hidayah. Wassalamu ‘alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.
Sunday, November 27, 2011
#AUKU tidak sekat kebebasan berfikir mahasiswa
2. Ramai pendidik beranggapan AUKU tidak menyekat mahasiswa berfikir dan mereka juga mempunyai hak memilih sumber ilmu dan idea politik sesuai dengan jiwa dan pemikiran mereka.
3. Mahasiswa masih dalam proses pembentukan karektor dan personaliti mereka. Ini memerlukan tahap disiplin tinggi dan berfikiran terbuka untuk menerima kepelbagaian ilmu dan pemikiran di universiti sebelum melakukan pemilihan arah tujuan kendiri mahasiswa itu selepas bergelar graduan.
4. Biarlah pada peringkat universiti, pelajar diberi ruang yang terbuka untuk menyelidiki dan meneroka ilmu yang boleh mematangkan mereka.
5. Malah Kementerian Pengajian Tinggi melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) juga sudah mengarahkan setiap silibus kursus di universiti dimasukkan elemen pemikiran kritis dalam usaha membentuk pemikiran kritis di kalangan mahasiswa bagi menyelesaikan pelbagai isu semasa negara dan masyarakat.
6. Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Murad Mohamed Noor, antara orang yang bertanggungjawab merangka serta melaksanakan AUKU pada 1971 pernah menjelaskan bahawa: “…terus terang saya katakan, tiada niat dalam hati kami (yang merangka AUKU) untuk mengongkong mahasiswa daripada bergerak aktif kerana kami juga asalnya daripada universiti.”
7. Pelajar juga tiada masalah memberikan buah fikiran dan mengkritik secara konstruktif yakni berasas, bukan emosi ke atas sesiapa saja sama ada pihak kerajaan, pembangkang, swasta, Kementerian Pengajian Tinggi dan pentadbiran universiti sekalipun. Tiada tindakan akan diambil keatas mereka melainkan pertuduhan dikemukakan adalah tidak berasas dan fitnah sifatnya.
8. Pensyarah tidak harus mempengaruhi dan menghasut mahasiswa supaya aktif dalam kegiatan yang bersifat politik luar. Pensyarah juga hendaklah memberi peluang kepada mahasiswa di bawah bimbingan dan jagaan mereka itu untuk mendapatkan ijazah, menjadi doktor dan profesor.
9. Mahasiswa sekarang tentu sudah selesa dan cukup dengan keperluan hidup, tetapi jangan menyimpangkan mereka daripada tujuan asal menuntut ilmu yang dituntut agama, bangsa dan negara.
Saturday, November 26, 2011
Maal Hijrah Menyingkap Sejarah
KISAH HIJRAH
RASULULLAH (SAW) berusia 40 tahun apabila malaikat Jibrail (as) melawat baginda ketika baginda sedang bertapa di Gua Hira. Jibrail memberitahu Nabi Muhammad, baginda diangkat oleh Allah SWT sebagai rasul untuk seluruh umat manusia. Pada peringkat awal, Rasulullah hanya memperkenalkan Islam kepada sahabat terdekat dan ahli keluarga baginda. Apabila baginda menerima perintah daripada Allah SWT supaya berdakwah secara terbuka, baginda segera akur.
Baginda mengumpul beberapa pengikut di Makkah. Begitupun, kumpulan kecil Muslim itu terdedah kepada maut berikutan ancaman daripada kaum kafir, terutama bangsa Quraish, yang menyeksa mereka dengan teruk. Bagi mengelakkan ancaman itu, Rasulullah SAW mengarahkan pengikutnya supaya keluar dari Makkah secara senyap-senyap ke Madinah (ketika itu dikenali sebagai Yathrib). Mereka meninggalkan keluarga yang kafir dan harta benda dan disambut dengan mesra oleh penduduk Madinah. Satu hari pada tahun 622M, iaitu kira-kira 12 tahun selepas berdakwah di Makkah, Rasulullah SAW diberitahu kaum kafirun Makkah merancang membunuh baginda untuk memusnahkan Islam. Rasulullah menunggu perintah daripada Allah SWT. Malaikat Jibrail (as) menemui baginda untuk memberitahunya Allah SWT mengarahkan baginda supaya meninggalkan Madinah pada waktu malam. Berikutan itu, baginda menemui sahabat baiknya Abu Bakar as-Siddiq (ra) dan memintanya supaya menemani baginda dalam perjalanan itu.
Rasulullah juga memberitahu rancangan baginda kepada Ali bin Abi Talib (ra). Baginda memberitahunya: “Saya akan berhijrah tetapi anda perlu mengambil tempat saya di rumah.” Ali (ra) tanpa banyak soal menuruti permintaan Rasulullah (SAW) walaupun menyedari bahaya bakal dihadapinya. Malam itu, sekumpulan Quraish mengepung rumah Rasulullah (SAW). Mengintai melalui lubang di pintu, mereka nampak seseorang sedang tidur di atas katil Rasulullah (SAW). Mereka begitu yakin Rasulullah tidak dapat melepaskan diri dan mereka pasti dapat membunuh baginda. Apabila fajar menjelang, mereka terperanjat melihat Ali (as) dan bukannya Rasulullah (SAW) bangun dari katil itu. Mereka terpinga-pinga memikirkan bila Rasulullah (SAW) keluar dari rumah itu. Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) keluar dari Makkah pada malam itu juga. Tiada siapa mengetahui arah tujuan mereka dan tiada siapa tahu tempat persembunyian mereka kecuali Abdullah dan anak-anak Abu Bakr,Aishah dan Asma, serta orang gaji mereka, Abdullah.
Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr bersembunyi dalam sebuah gua di Gunung Thaur. Selama tiga hari mereka berada dalam gua itu. Apabila kaum Quraish menghampiri gua itu untuk mencari Rasulullah (SAW) tetapi mereka tidak memasukinya. Mereka yakin Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) tidak berada di dalam kerana mulut gua itu dilitupi oleh benang sarang labah-labah dan sepasang burung merpati. Allah SWT membantu dua insan ini, melindungi mereka daripada bahaya. Kumpulan Quraish kemudian meninggalkan gua itu dan bersetuju untuk pulang ke Makkah. Yakin musuh sudah beredar, Rasulullah (SAW) dan Abu Bakr (as) meneruskan perjalanan dengan menaiki unta dibawa oleh orang gaji mereka, Abdullah.
Ketiga-tiga mereka menggunakan laluan tidak diketahui ramai untuk ke Madinah bagi mengelakkan kumpulan pemburu Quraish. Mereka meredah gunung, bukit dan gurun di bawah perit matahari tetapi mereka tidak pernah berputus asa. Mereka meletakkan segala kepercayaan kepada Allah SWT. Sementara itu, kaum Quraish di Makkah semakin marah dengan kehilangan Rasulullah (SAW). Mereka menawarkan hadih kepada sesiapa yang dapat menangkap Rasulullah (SAW). Ramai yang mencuba nasib tetapi semuanya gagal. Akhirnya dengan perlindungan Allah SWT, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya tiba perkampungan kaum Bani Sabin yang menyambut mereka dengan gembira. Setelah sekian lama, Rasulullah (SAW) dan sahabatnya akhir merasakan kehadiran harapan untuk masa depan. Ketika Rasulullah (SAW) dan sahabatnya dalam perjalanan, penduduk Islam yang sudah berpindah ke Madinah sebelum ini mendengar berita mengenai kedatangan pemimpin mereka itu.
Malah penduduk Madinah yang baru memeluk Islam juga gembira dapat bertemu Rasulullah (SAW). Jelaslah, sebelum tibanya Rasulullah di Madinah, Islam semakin kukuh di tempat baru itu, sesuatu yang tidak berlaku ketika berada di Makkah. Maka pada hari Isnin 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M, Rasulullah (SAW) akhirnya tiba di Quba,
sempadan Madinah dan benar-benar masuk ke Kota Madinah pada 12 Rabiulawal, hari Jumaat dan mendirikan solat Jumaat yang pertama di Kampung Bani Amar. Kaum Muslimin semua keluar untuk menyambut baginda. Bertitik tolak dari itu, Rasulullah (SAW) mula membina sebuah negara Islam yang megah. Baginda memupukkan persaudaraan di kalangan umat Muslim dan menyeru mereka supaya menegakkan yang hak dan mengikut segala perintah Allah SWT.
Monday, November 14, 2011
Adakah Mahasiswa Sudah Bersedia?
Jurucakap Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan
Twitter : @WAHazman
MAHASISWA mahasiswi pada hari ini telah diberi peluang untuk melibatkan diri dalam kancah politik di universiti masing-masing. Politik yang dimaksudkan ialah politik kampus yang meliputi segala perkara yang berkaitan dengan politik dalam kampus.
Pilihan Raya Kampus (PRK) adalah sesuai digunakan oleh mahasiswa dalam membawa idealisme dan agenda perjuangan masing-masing.
Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) ialah salah satu platform yang telah diwujudkan oleh kerajaan dalam memastikan suara mahasiswa berkaitan dengan isu-isu nasional didengari oleh pihak kerajaan.
Selain itu, kita juga mempunyai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di setiap universiti yang berfungsi memperjuangkan kebajikan mahasiswa universiti masing-masing.
Pelbagai persoalan akan timbul apabila cadangan tentang mahasiswa perlu terlibat dengan parti-parti politik diutarakan. Jika mahasiswa menyertai sesebuah parti politik, adakah mereka akan bebas untuk mengkritik kepimpinan parti tersebut? Silap-silap mereka akan digantung keahlian kerana lantang mengkritik kepimpinan parti sebagaimana yang pernah dihadapi oleh sesetengah pemimpin terdahulu.
Mahasiswa juga tidak akan mempunyai idealisme tersendiri apabila mereka menyertai parti-parti politik kerana kongkongan dasar parti tersebut. Hal ini kerana dasar partilah yang akan membunuh idealisme mahasiswa tersebut.
Perkara paling penting yang perlu diingatkan bahawa mahasiswa adalah golongan yang masih belum menamatkan pengajian mereka. Hal ini menyebabkan saya yakin dan percaya bahawa apabila mahasiswa dibenarkan untuk menyertai parti-parti politik, pengajian mereka di universiti juga akan terganggu dek kerana politik luar ini.
Pesanan saya kepada orang dewasa yang berada di luar kampus yang telah berjaya dalam pengajian di universiti dan kehidupan mereka, biarkan kami cemerlang dalam pengajian kami masing-masing dahulu kerana itu adalah harapan setiap ibu bapa dan tanggunjawab kami kepada seluruh rakyat Malaysia dengan bantuan subsidi yang diberikan. - Utusan Malaysia
Thursday, November 10, 2011
Soal Jawab Tentang AUKU
Jawapan:
AUKU merupakan punca kuasa bagi sesebuah IPTA yang merangkumi perkara berkaitan tadbir urus universiti, autonomi, status badan berkanun dan sebagainya. Hanya Seksyen 15 yang berkaitan dengan isu pelajar berpolitik. Jika diminta agar AUKU dimansuhkan maka ia menunjukkan seseorang itu buta undang-undang.
2. Kenapa Kerajaan tidak pinda Seskyen 15 bagi membolehkan pelajar berpolitik?
Jawapan:
Pindaan AUKU 2009 telah melalui proses yang panjang bermula tahun 2005 dengan penubuhan Jawatankuasa Meminda AUKU yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan. Disamping sesi brainstorming antara ahli, mereka turut mendapatkan pandangan banyak pihak seperti ibubapa/orang ramai, SUHAKAM, pegawai Kerajaan, wakil parti politik Kerajaan, wakil parti politk pembangkang dan sebagainya. Keputusan yang diambil adalah tepat pada masa itu walaupun sudah tentu tidak dapat memenuhi kehendak semua orang.
3. Pelajar menjadi tidak kreatif jika aktiviti mereka dalam politik dikongkong.
Jawapan:
Kegiatan bersifat politik masih dibenarkan diadakan di IPT dengan syarat ianya haruslah berbentuk akademik dan tidak menjurus kepada parti-parti politik tertentu. Sebagai contoh program pengajian Sains Politik telah lama diperkenalkan di beberapa IPT di Malaysia yang menawarkan kursus-kursus berkaitan politik. Selain itu beberapa forum yang membincangkan isu politik semasa secara ilmiah telah banyak diadakan di beberapa IPT, di samping memperkenalkan sudut pidato di setiap IPT yang memberi peluang kepada pelajar mengasah bakat pidato mereka.
4. Kenapa pelajar luar negara (Kelab UMNO luar negara) boleh terlibat politik?
Jawapan:
AUKU hanya terpakai kepada pelajar IPTA dan tidak terpakai kepada pelajar luar negara. Penubuhan persatuan di luar negara adalah tertakluk kepada undang-undang di negara tersebut. Kalau nak tubuh Kelab PAS luar negara atau Kelab PKR/DAP luar negara pun boleh.
5. Jika AUKU hanya terpakai kepada pelajar IPTA, adakah pelajar IPTS dibenar menjadi ahli parti politik?
Jawapan:
AUKU tidak terpakai kepada pelajar IPTS tetapi mereka tertakluk kepada Akta IPTS [Akta 555] yang juga terdapat seksyen yang melarang pelajar menjadi mana-mana parti politik.
6. Adakah AUKU menghalang semua pelajar berpolitik?
Jawapan:
AUKU tidak menghalang secara total mana-mana pelajar untuk berkecimpung dalam arena politik. Ini berdasarkan peruntukan di bawah subseksyen 15(4) AUKU yang memberi kuasa budi bicara kepada Naib Canselor untuk mengecualikan pelajar itu daripada sekatan yang disebut dalam perenggan 15(1)(a) AUKU. Ini akan membolehkan seseorang ahli politik yang bergiat dalam mana-mana parti politik mendaftar bagi sesuatu kursus di Universiti tanpa perlu melepaskan kerjaya politiknya.
Wednesday, November 2, 2011
AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF
Pihak kami baru sahaja menerima sebuah kiriman emel dari seorang pengirim yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, setelah dibaca tulisannya ini, ada kebenaran yang harus warga kampus faham dan sedar akan kepentingan AUKU terhadap kita terutama mahasiswa.
Oleh itu, pihak Media Kampus UKM berhasrat untuk sama-sama berkongsi penulisan ini kepada umum supaya kita boleh baca bersama dan menyedari hakikat sebenar.
Jangan kita asyik bersemangat dengan emosional darah muda untuk memansuhkan AUKU semata-mata dan akhirnya nasib diri sendiri akan melayang di bawak permainan politik kepartian di luar kampus.
Ayuh sebagai mahasiswa yang mempunyai keintelektualan tinggi dan bermaruah, kita sama2 berfikir dan kaji adakah AUKU ini benar2 untuk mengongkong kita atau sebenarnya ia beri kita peluang untuk cemerlang?
AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF
Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka? Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.
Antara sebab mungkin kenapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah bagi tujuan untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama para pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya para pelajar diberi kebebasan untuk menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda berupa wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan para pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan dari mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa 3 hingga 5 tahun.
AUKU juga berperanan sebagai suatu ‘punca kuasa’ untuk mengalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus. Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya telah menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara belajar, komitmen dalam kampus dan komitmen dengan parti politik.
Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah lagi dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka para pelajar tersebut sudah pasti akan hilang kosenterasinya terhadap pengajian. Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini adalah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar tersebut untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajarannya.
Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan untuk bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang Ketua Bahagian sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk mengagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang ‘setaraf’ dengannya dalam dunia politik kepartian? Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya adalah seorang ketua parti lawan? Itu tidak masuk lagi Pengetua Kolej-kolej Kediaman, Dekan-dekan Fakulti dan Pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan di dalam IPT.
Pendek kata yang boleh ditekankan disini ialah, AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya. Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. Oleh itu, fikirlah wahai pihak pemerintah sebelum mengambil sebarang keputusan dan bermatanglah dalam memberi hujah wahai pihak pembangkang agar negara dan masa depan rakyatnya tidak akan dijual kepada pihak lain.
MAHASISWA PRIHATIN
Kuala Lumpur
Tuesday, October 25, 2011
Selamat Menyambut Hari Deepavali
Kelab Aspirasi Universiti Kebangsaan Malaysia mengucapkan Selamat Menyambut Hari Deepavali buat seluruh rakyat Malaysia khususnya warga UKM yang beragama hindu. Semoga perpaduan akan terus terjalin sesama kita walaupun berbeza bangsa, agama dan adat yang di amalkan. 1 UKM, 1 Malaysia.
Saturday, October 22, 2011
ANTARA PROSES PERUNDANGAN, DUNIA AKADEMIA DAN POLITIK
ANTARA PROSES PERUNDANGAN, DUNIA AKADEMIA DAN POLITIK.
Persoalan kebebasan dunia akademia, perjuangan menuntut keadilan oleh mahasiswa dan campur tangan politik nampaknya berkumandang sekali lagi. Demonstrasi acap kali dilakukan selepas sembahyang Jumaat. Sebab utamanya sudah pasti untuk mendapatkan bilangan penonton yang ramai selain daripada bilangan penggerak sebenar demonstrasi tersebut. Kali ini, ia bertempat di Gombak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Demonstrasi hari ini adalah bertujuan membantah penggantungan Professor Dr Abdul Aziz Bari yang merupakan seorang pakar perundangan bidang Perlembagaan. Kisah penggantungan ini bermula selepas beliau menegur DYMM Sultan Selangor yang telah menyampaikan titah berkenaan isu murtad Damansara Utara Methodist Church(DUMC). Rentetan daripada isu tersebut, Professor Dr Abdul Aziz Bari dihantar surat tunjuk sebab, dimaklum bahawa beliau digantung sehingga 25hb Oktober untuk mendapatkan penjelasan bertulis beliau serta tidak dibenarkan masuk ke kampus universiti tanpa kebenaran Dekan Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim.
Sebagai seorang pelajar undang-undang di universiti ini, ingin saya memaklumkan bahawa proses penggantungan Professor Dr Aziz Bari bukanlah suatu hukuman tetapi ia lebih kepada memberi masa kepada beliau membela diri dan menjawab tuduhan-tuduhan terhadap beliau. Barang kali atas sebab pentadbiran salah menggunakan istilah, sifat marah masyarakat terbina.
Jika diteliti, proses penyiasatan memang secara lumrah kadang-kala menyebabkan seseorang pekerja digantung. Mereka akan dihalang bekerja supaya pekerja tersebut boleh menumpukan diri dalam membela diri beliau. Ia juga berfungsi untuk tidak menyalahkan pekerja tersebut jika tidak dapat menjalankan kerja beliau apabila sibuk mendapatkan bukti-bukti membela diri. Oleh itu sebagai masyarakat yang mempunyai nilai yang tinggi, kita sepatutnya menunggu penjelasan daripada Professor Dr Aziz Bari dan alasan sebarang keputusan pihak pentadbiran sebelum kita sendiri membuat keputusan muktamad.
Walau bagaimanapun, seperti satu adat atau tradisi dalam isu-isu sebegini, maka mula pula proses tuduh-menuduh tanpa bukti bahawa ada tangan-tangan ghaib yang menekan pihak pentadbiran untuk mengambil tindakan terhadap pensyarah ini. Dalam kehangatan ini semua, maka lahirlah demonstrasi selepas solat Jumaat pada hari ini. Mahasiswa-mahasiswi diseru untuk bangkit memperjuangkan keadilan seorang guru yang menurunkan ilmu kepada sebilangan daripada mereka termasuklah saya.
Aneh sekali dalam suara lantang pembahas kelompok mahasiswa tertentu ini mengecam pihak pentadbiran dan menyatakan penentangan kehadiran tangan-tangan ghaib dalam proses pentadbiran universiti, tidak jauh daripada mereka berdiri pula pemimpin-pemimpin parti politik yang tiada kaitan dengan universiti. Mereka tidak pernah pun menuntut di Taman Budi dan Ilmu ini. Hanya seorang saja daripada pemimpin parti tersebut yang hadir merupakan alumni universiti ini.
Kehadiran mereka ini kemudiannya cuba dijustifikasikan. Terdapat pihak mengatakan bahawa individu-individu politik ini sebenarnya mengambil berat akan dunia akademik. Soalnya adakah mereka ini benar mengambil berat atau mahu mengambil kesempatan akan bilangan pelajar yang turun menyatakan pendirian mereka?
Inilah projeksi imej yang dimahukan ahli-ahli politikus ini. Soalan yang muncul dibenak hati saya adalah, jika benar mereka mengambil berat tentang universiti mengapa mereka tidak boleh hormat akan sifat neutraliti dunia akademia yang tidak mahu kehadiran watak-watak politik yang tidak diundang? Dalam rakan-rakan ahli politikus mereka yang lain yang pernah menuntut di universiti ini tidak menghadirkan diri kerana tahu bahawa dunia akademik tidak patut dicemari oleh tindakan politik, mereka pula tanpa malu melakukan sebaliknya. Apakah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia tiada pensyarah-pensyarah berkaliber mahupun pemikir-pemikir matang di kalangan mahasiswa-mahasiswi? Ini hanya menunjukkan bahawa orang seperti ini langsung tidak hormat akan universiti yang akan menjadi 'alma mater' kami.
Secara amalan di universiti, ahli politik sepatutnya hanya menghadirkan diri jika dijemput untuk memberi perspektif mereka agar ia boleh diselidik dan dipelajari oleh penuntut dan pensyarah. Ahli politik yang hadir pada demonstrasi ini walau bagaimanapun tidak dijemput dan pendapat mereka juga tidak diminta. Dalam isu ini, dunia akademik tidak mahu melihat sesuatu isu dari kaca mata sentimen tetapi kebenaran.
Saya pasti ahli politikus yang hadir hari ini akan mengatakan bahawa lawan mereka tidak mengendahkan hal ehwal dunia akademik. Ini jelas mengambil kesempatan untuk kepentingan parti politik mereka. Sebagai tindak balas, lawan mereka pula akan masuk ke pentas universiti bagi setiap isu dan peluang yang ada. Akibatnya kesemua ahli-ahli politikus berkejar-kejar masuk ke universiti. Akhirnya sebuah universiti yang menjadi gedung ilmu dan pembelajaran akan menjadi lagi satu ruang debat orang-orang ini. Tidak cukup dunia di luar kampus, di sini juga dikotorkan dengan fitnah, retorik dan sentimen.
Sebagai rakan kepada mahasiswa dan mahasiswi yang lain, saya seru marilah kita bersama-sama terus memikul tanggungjawab membina negara kita sama ada dari segi fizikal, rohaniah mahupun mental. Dalam sifat berkobar-kobar kita mahu menegakkan keadilan jangan pula kita dipermainkan untuk kepentingan tertentu. Mahasiswa -mahasiswi perlu terus berpendirian, melihat dan menyiasat sesuatu isu secara adil dan saksama. Maka dengan ini, barulah masyarakat tahu bahawa Malaysia masih mempunyai harapan cerah di masa hadapan.
Akmal Saufi
Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Wednesday, August 17, 2011
PENGHAYATAN NUZUL QURAN
Kira-kira 1398 tahun yang lepas, turunnya wahyu kepada Nabi Muhammad S.A.W. pada tanggal 6 Ogos, 610. Ianya bersamaan dengan 17 Ramadhan, tahun ke-41 keputeraaan Baginda Nabi Muhammad SAW. Al Quran diturunkan pada malam jumaat di Gua Hira. Inilah ayat pertama yang diturunkan kemudian berperingkat-peringkat sehinggalah terkumpulnya 6,666 ayat dalam Al Quran ;
"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (Surah Al-‘Alaq:1-5)
Antara peristiwa agung dalam sejarah umat Islam di bulan Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran. Ia dirakamkan dalam al-Quran, melalui firman Allah yang bermaksud:
“Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Nuzul’ bererti turun atau berpindah, iaitu berpindah dari tempat sebelah atas ke tempat di sebelah bawah.‘Al-Quran’ pula bermaksud bacaan atau himpunan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca oleh manusia. Ia juga dikatakan himpunan kerana dalam al-Quran itu terhimpun ayat-ayat yang menjelaskan pelbagai perkara yang meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.
Kehebatan al-Quran:
1. Allah berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan sebanding dengannya walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.” (Surah al-Israa’, ayat 88)
2. Orang yang membaca, menghafaz dan melihat sambil memikirkan keajaiban yang ada pada susunannya diberikan pahala.
3. Al-Quran sumber hidayah bagi kebahagiaan hidup manusia di dunia dan di akhirat.
4. Tidak sesiapa pun sama ada di kalangan manusia atau jin yang mampu mencipta ayat yang menyerupai al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: “ dan jika kamu merasa ragu-ragu dengan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami, bawalah satu surah yang seumpamanya, ajaklah saksi-saksi (penolong-penolong) kamu, selain Allah, sekiranya kamu (di kalangan) orang yang benar.”(al-Baqarah, ayat 23).
5. Al-Quran merupakan mukjizat tertinggi dan teristimewa yang hanya dikurniakan kepada Nabi saw.
6. Manusia belum mampu menyelami dan menerokai rahsia al-Quran secara menyeluruh sehingga hari ini. Ini bererti sifat kehebatan, kesaktian, keagungan dan keunggulan al-Quran secara tersendiri dengan pengertiannya yang amat luas dan mendalam kekal terpelihara hingga kiamat.
7. Al-Quran sebagai petunjuk jalan kebenaran. Membawa manusia daripada kegelapan kepada cahaya yang terang. Allah berfirman yang bermaksud: “Inilah Kitab yang tiada keraguan padanya, menjadi petunjuk kepada orang yang bertakwa.” (al-Baqarah, ayat 2)2
8. Membaca al-Quran mendapat ganjaran pahala dan syafaat daripada Allah. Rasulullah saw bersabda dengan maksud: ‘Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”
Tuntutan al-Quran:
Sesungguhnya al-Quran mempunyai tiga hak yang wajib ke atas umat Islam untuk menunaikannya;
- Hak untuk membaca dan bertilawah kepadanya.
- Hak untuk bertakbir atau memahami makna dan menjiwai kehidupan.
- Hak untuk beramal dengan seluruh isi kandungannya.
Peringatan:
- Al-Quran untuk dibaca bukan untuk dijadikan perhiasan.
- Al-Quran tidak menjadi syifa’ (ubat) bagi orang yang ingkar dan zalim.
- Al-Quran menjadi petunjuk kepada orang-orang yang bertakwa.
- Hati yang keras boleh dilembutkan dengan hidayah al-Quran dengan keizinan Allah.
Pesan Nabi saw:
Aku tinggalkan dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duannya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah (al-Quran) dan Sunnahku (al-Hadis).
Kami dari pihak Media Kampus UKM ingin mengucapkan Salam Nuzul Quran buat semua pembaca blog MKUKM sekalian. Semoga Ramadan kali ini membawa rahmat buat kita semua, serta dapat dimanfaatkan sebaiknya agar menjadi Ramadhan yang lebih baik dari sebelumnya. Amin.
Monday, June 6, 2011
POLITICAL LITIGATION By Dr. Mahathir Mohamad
2. We hardly ever hear any of these litigations ending with the courts awarding the sum claimed by the complainants. In most cased the complainant would lose the case and ordered to pay cost.
3. The public usually do not have a high regard for these litigants. The disparaging utterances against them would not damage their reputation at all. Maybe justice demands that the whole legal process be gone through and a judgment be made by a court and the appeals be heard. But on the other hand, in some instances in order not to waste the time of the courts, the case may be curtly dismissed, and appeals disallowed. One wonders why there is this extreme disparity in the treatment of these cases.
5. For all his sufferings he would if found not guilty be awarded cost (minimal and not actual). By comparison to the hundreds of millions he was sued for, the cost awarded him would be a minute amount. And he has to part with it to pay his lawyers. For the defendant, he gains nothing but will certainly lose something. Yet in the eyes of the public the libel charges were obviously frivolous and a waste of the time of the courts.
6. There is something unfair in this even though it may be regarded as just. You are threatened with being made a bankrupt if you lose but when the complainant loses, he has to pay a minute fraction of the amount he was suing for.
7. With this prospect people can sue with impunity. There is nothing to lose and much to gain. And if you are a politician you get a bonus by effectively shutting up the mouth of your opponent for years and years.
Putrajaya, Malaysia
Prime Minister of Malaysia
1981 - 2003
Sunday, July 25, 2010
Khalid Ibrahim Tak Mampu Urus Isu Curi Pasir – Muhyiddin
KUALA LUMPUR 13 Julai. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyifatkan kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mampu menguruskan isu kecurian pasir di kawasan seluas 400 hektar berhampiran Taman Paya Indah Wetlands.
Timbalan Perdana Menteri berkata beliau melihat isu itu seperti terabai kerana kerajaan negeri tidak mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terlibat sehingga menjejaskan ekosistem di kawasan itu.
“Dia ada penasihat. Dia ada pakar. Datuk Seri Anwar Ibrahim penasihat kerajaan negeri. Tapi dia tak tahu nak urus. Soal pasir sahaja. Apa susah. Tangkap sahaja sesiapa yang buat kesalahan dan ambil tindakan kalau harta tanah itu, pasir itu milik kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2010 di sini hari ini.
Muhyiddin berkata kerajaan negeri tidak boleh terus berdiam diri kerana kerana isu berkenaan di bawah bidang kuasa mereka.
“Mereka kata mereka kerajaan yang bersih. Ini telah terbukti. Saya tak tahu mungkin ada elemen rasuah. Saya tidak tuduh tapi apabila tindakan tidak dilakukan bermakna kita collaborate (bersubahat),”
kata beliau.
Timbalan Perdana Menteri berkata masyarakat juga melahirkan kebimbangan apabila membaca laporan-laporan media mengenai kerosakan alam sekitar yang berlaku kesan daripada kerja-kerja mengangkut dan mengorek pasir.
Mengenai dakwaan bahawa tindakan beliau memberi amaran bahawa Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menghadapi krisis air terburuk menjelang 2012 jika Abdul Khalid gagal menyelesaikan masalah perbekalan air dengan cekap adalah kerana semata-mata untuk menguntungkan kroni iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Muhyiddin berkata:
“Itu bukan soal untung. Dia ada tanggungjawab. Dia ada perjanjian. Dia ada ikatan. Dia ada persetujuan. Ini hak pertimbangan dia. Ini bukan soal kroni. Takkan soal kroni satu dua, esok rakyat ada berapa juta di Wilayah Persekutuan dan Selangor terpaksa tanggung beban kerana air tiada”.
Sehubungan itu beliau sekali lagi mengingatkan kerajaan negeri supaya lebih amanah dan bijaksana dalam menguruskan perkara itu untuk kepentingan rakyat dan juga negara selain memikirkan masalah yang dihadapi Syabas.
“Dia tak sanggup nak naikkan sedikit harga air untuk menampung kos sehingga syarikat yang mengeluarkan air (Syabas) menanggung rugi. Apabila dia rugi dia tak keluarkan air. Jadi awak tak minum, saya tak minum. Semua kena beristinjak,
bertayamum,” katanya.
Muhyiddin juga yakin rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak akan marah jika berlaku kenaikan harga air asalkan mereka memperolehi bekalan air yang mencukupi.
“Saya tak fikir orang Selangor, Wilayah Persekutuan marah harga naik sikit kalau air ada. Tapi orang Selangor dan Wilayah akan marah dan murka kalau air tidak ada walau apa harga sekalipun,”katanya. – Bernama/MediaUMNO
Entri Hit Tertinggi
-
Assalammualaikum dan salam 1 Aspirasi. Perhatian kepada seluruh pelajar lama IPT dan politeknik, jadual tentatif pengeluaran pembiayaan PTP...
-
Assalammualaikum, salam Ramadhan, serta salam 1 ASPIRASI buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Hari ini, dalam tidak sedar kita te...
-
[INFO SEMASA] 02-08-2013 - PERMOHONAN BIASISWA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM DI BAWAH PROGRAM IJAZAH DALAM NEGARA (PIDN) Adalah dimaklumk...
-
Assalamualaikum dan salam 1 ASPIRASI . Tahniah diucapkan dan selamat berjaya kepada kesemua mahasiswa/i sesi 2012/2013 kali ini! Kami di...
-
Assalamualaikum dan salam 1 ASPIRASI U K M . Tanggal 22/9/2012 ini, semakin rancak sesi MELOBI diri untuk memenangi kerusi yang dipertand...
-
Mahasiswa/i Tajaan JPA PROGRAM PEMANTAPAN KENDIRI BAGI PELAJAR TAJAAN JABATAN PERKHIDMATAN AWAM (JPA) DI UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYS...
-
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Pada hari Rabu yang lepas, 9/10/2013 bertempat di Masjid Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia ...
-
Assalamualaikum dan selamat sejahtera semua. Sekadar mengingatkan kepada semua mahasiswa/i UKM, jangan lupa untuk memohon zakat UKM kepada ...
-
Assalammualaikum dan Salam ASPIRASI. Dimaklumkan bahawa pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia semester 2 sesi 2011/2012 yang layak boleh...




























