Photobucket
Showing posts with label kolej. Show all posts
Showing posts with label kolej. Show all posts

Thursday, July 19, 2012

[PENTING] Tips kemasukan pelajar baru sesi 2012/2013


Assalamualaikum dan salam 1 ASPIRASI. Tahniah diucapkan dan selamat berjaya kepada kesemua mahasiswa/i sesi 2012/2013 kali ini! Kami di sekretariat Aspirasi ingin mengucapkan selamat datang dan selamat menjadi mahasiswa/i yang akan berjuang untuk masa hadapan Negara. 



Mahasiwa Cemerlang, Negara Gemilang. 

Pasti ada yang tidak sabar untuk menanti tarikh keramat iaitu 2 September 2012 kali ini. Perasaan yang sama itu berlaku kepada kami mahasiswa/i ketika kami berada di tempat adik-adik sekalian. Jangan segan silu untuk bertanya apa-apa jua masalah ataupun ada pandangan yang ingin dikemukan di sini. Kami akan cuba untuk membantu adik-adik. Untuk sedikit info tentang kemudahan-kemudahan di UKM, adik-adik boleh  KLIK SINI!.

Di sini, sekretariat Aspirasi ada sedikit pesanan untuk adik-adik ambil perhatian :

1) Jangan lupa untuk membawa segala keperluan untuk mendaftar (contohnya : gambar berukuran passport, kad pengenalan, baju yang diperlukan seperti baju kemeja dan seluar slack *bagi lelaki; baju kurung yang cukup *bagi perempuan)

2) Sila tandakan di checklist yang telah disediakan untuk memastikan tiada barang yang tercicir. Bawa bersama checklist tersebut ke UKM untuk memudahkan keadaan di sana nanti.

3) Pastikan barang-barang keperluan cukup (contohnya barang mandi, baldi, sarung bantal dan sebagainya) 

4) Pastikan anda sudah pun menghantar borang-borang yang diperlukan oleh UKM secepat yang mungkin bagi memudahkan urusan pengambilan sesi baru. Peringatan, mulai sesi 2012/2013 hanya item ini akan dipos :

1) Surat tawaran asal
2) Fail pelajar 
3) Borang BIMB

Selebihnya, anda harus mencetaknya sendiri.

5) Bawa wang yang secukupnya sahaja. Jangan bawa terlalu banyak wang kerana anda akan melalui MMP (Minggu Mesra Pelajar) yang tidak memerlukan banyak wang. Masukkan wang yang berlebihan ke dalam bank dan simpan kad bank dengan cermat dan sebaiknya.

6) Bawa beg yang mudah untuk dibawa. *disarankan membawa beg beroda tetapi sekiranya tiada, tidak mengapa.

7) Bagi yang mempunyai masalah kesihatan, jangan lupa bawa ubat dari rumah. Pihak BSMM (Bulan Sabit Merah Malaysia) ada juga menyediakan ubat untuk KECEMASAN, tetapi bagi ubat rutin, BSMM tidak menyediakannya.

8) Manakala yang mempunyai alahan, anda haruslah terus memaklumkan kepada PC (Pemudah Cara) semasa pendaftaran. Ini adalah bagi mengelakkan anda mengalami masalah kesihatan akibat makanan yang disediakan sepanjang minggu mesra pelajar.

9) Pastikan anda mendapat rehat yang secukupnya pada malam sebelum mendaftar. Jangan terlalu gembira hingga tidak dapat tidur. Anda akan menjalani perjalanan yang panjang nanti. 

10) Sentiasa senyum ketika mendaftar! Ramai yang akan membantu anda di sana nanti, jangan risau! 

Tahniah sekali lagi kami ucapkan! Semoga perjalanan anda ke UKM, berjalan dengan selamat dan dirahmati oleh Allah S.W.T. Sekiranya ayah atau ibu yang memandu ketika ke UKM, pesanlah supaya berhati-hati di jalan raya. Kami mendoakan agar keselamatan anda dipelihara.


KEBAJIKAN MAHASISWA, PERJUANGAN KAMI !

Read More

Thursday, March 15, 2012

TAHNIAH ASPIRASI KOLEJ UNGKU OMAR!

Assalamualaikum dan salam 1 Aspirasi. Pada Ahad yang lepas (11/3/2012), pihak ASPIRASI KOLEJ UNGKU OMAR (KUO) dengan kerjasama Extreme-C KUO dan barisan JAKSA KUO telah mengadakan suatu program iaitu "Program Sehari Menjadi Mahasiswa UKM". Sasaran program adalah pelajar tingkatan enam atas SMK Dato' Syed Ahmad. Program tersebut bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada pelajar tentang suasana pembelajaran di universiti agar menjadi motivasi dalam meningkatkan pretasi kecemerlangan dalam dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ( STPM ). Selain itu, pelajar juga dapat berkongsi cerita dan merasai kehidupan sebagai mahasiswa/i di universiti.


Ketua pengarah bagi program kali ini ialah INTAN NADZATUL ELYANI BINTI BASERI. Pelbagai aktiviti telah diadakan selama 3 hari 2 malam sepanjang pelajar-pelajar tingkatan 6 berada di UKM. Antara aktiviti yang menarik ialah lawatan ke Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin, Masjid Putrajaya dan juga ke Parlimen Malaysia, slot ceramah dengan tajuk "Kepimpinan",sesi adik angkat dan pelbagai lagi. 















Pihak Aspirasi mengucapkan tahniah kepada Aspirasi Kolej Ungku Omar dan juga berharap agar aktiviti-aktiviti seperti ini dapat dijalankan lagi bagi memberi gambaran jelas kepada masyarakat luar tentang UKM. Sekian terima kasih. 

TEGUH,SETIA,BERSATU!


Read More

Friday, March 9, 2012

ASPIRASI KBH : Cakna Masa Depan Mahasiswa !





Assalamualaikum dan salam 1 Aspirasi. Pada 8/03/2012, Aspirasi Kolej Burhanuddin Helmi (KBH) telah berjaya menganjurkan suatu forum yang bertajuk “Forum Kerjaya Mahasiswa Gemilang” dengan tema “Membina kerjaya mahasiswa pemangkin Negara”. Ketua Pengarah bagi forum ini ialah saudara Mohammad Hidir Bin Mhd. Salim yang juga merupakan ahli aktif PenTAS





Ahli panel jemputan ialah Cik Yuslina Binti Johari yang merupakan pegawai psikologi dan En. Roslan Bin Abu Samah yang merupakan pengurus pejabat Hubungan Jaringan Industri. Manakala moderatornya ialah saudara Aniq Rukaini Bin Mohd Azmi merangkap Ketua Kelab Aspirasi KBH.






Forum ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kesemua mahasiswa/I tanpa mengira kolej walaupun terdapat banyak program lain besar yang dijalankan pada malam yang sama.
















Forum ini turut dirasmikan oleh Pengetua KBH sendiri iaitu Prof Madya Dr. Kadderi Md Desa. 





Antara isu-isu yang dibangkitkan ketika forum ini adalah berkenaan biasiswa, ATTITUDE, vouncer RM200, resume, qualification master dan sebagainya. Kepimpinan Aspirasi menyokong penuh Kelab Aspirasi KBH menjayakan program seperti ini yang banyak memberikan ilmu yang bermanfaat kepada mahasiswa/i. 






Diharap kelab Aspirasi kolej yang lain dapat turut menganjurkan program seperti ini demi mahasiswa/i UKM. Sekian, 






TEGUH,SETIA,BERSATU!
Read More

Friday, February 24, 2012

Penjelasan PTPTN dan JPA

Assalamualaikum dan salam 1 Aspirasi. Pada 23 Februari 2012, kami Penyokong Tegar Aspirasi (PENTAS) telah pergi ke Jabatan Bendahari aras 3 unit kewangan pelajar untuk meminta penjelasan berkenaan jadual pembayaran PTPTN yang dikatakan lewat. 


Manakala, pelajar yang mendapat tajaan JPA juga mendapat aduan bahawa tajaan JPA akan dimasukkan 2 minggu selepas urusan PTPTN selesai. Atas dasar itu, kami telah pergi ke canselori UKM untuk meminta penjelasan yang lebih jelas berkenaan isu ini. Perbincangan antara pihak counselori diadakan dan kami telah berjumpa dengan Encik Khairul Azlan Bin Ismail iaitu Penolong Akauntan Jabatan Bendahari dan juga Encik Zulfitri iaitu akauntan Jabatan Bendahari untuk mendapatkan penjelasan isu ini. 






Daripada perjumpaan ini, punca utama yang dikenalpasti adalah keputusan slip peperiksaan yang keluar lewat daripada tarikh yang sepatutnya. Ini sebenarnya melewatkan proses PTPTN kerana PTPTN memerlukan slip daripada pihak universiti untuk membenarkan kemasukkan duit pinjaman tersebut. Disebabkan kelewatan tersebut, maka pihak universiti terpaksa menunggu untuk pihak bank menguruskan bahagian kewangan. (Klik sini untuk jadual pembayaran PTPTN). Pihak Aspirasi melahirkan rasa kesal dengan kelewatan tersebut dan menyampaikan hasrat pelajar bagi mendesak pihak canselori untuk melakukan tindakan awal bagi mempercepatkan urusan pemindahan wang tersebut. 

Manakala untuk pelajar tajaan JPA pula, kami mendapat penjelasan bahawa pihak UKM tidak terlibat langsung dalam pembahagian wang kerana JPA berurusan terus kepada pelajar. Jadi, untuk mendapatkan penjelasan tersebut, kami PENTAS akan terus pergi ke headquarters JPA di Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak JPA sendiri. Segala maklumat berkenaan perbincangan seterusnya akan dimaklumkan  di dalam blog ini. Sekian, 

TEGUH,SETIA,BERSATU!
Read More

Wednesday, February 22, 2012

ZAA’BA CEKIK DARAH : KISAH SEBENAR DI HARI KEJADIAN

Assalamualaikum dan salam 1 Aspirasi. Pada 19 Februari 2012 (Ahad) yang lepas, pelajar-pelajar mula untuk memenuhi kolej-kolej masing-masing menandakan semester 2 akan bermula tidak lama lagi. Pihak Aspirasi telah mendapat khabar buruk pada hari permulaan semester 2 itu dengan aduan bahawa pihak pengurusan kolej pendeta Zaa’ba iaitu Kausar (syarikat Al-Falah Sejati Sdn. Bhd) telah mengenakan bayaran pada pendaftaran untuk masuk ke kolej dengan bayaran sebanyak RM25 (tunai) bagi caj elektrik.

Di sini kami pihak Aspirasi ingin menekankan bahawa pembayaran tunai caj elektrik bagi semester 2 TIDAK PERNAH wujud kerana semasa cuti semester lalu telah keluar surat atau memo di e-pelajar menyatakan bahawa bayaran caj elektrik sem 1 dan sem 2 akan dipotong melalui jabatan bendahari. Oleh itu isu pembayaran secara tunai TIDAK SEWAJARNYA berlaku. Bagaimanapun, pihak Kausar (Al-Falah Sejati Sdn Bhd) tetap mengambil keputusan untuk mengambil caj tersebut secara tunai akibat salah faham yang berlaku antara pihak Kausar dan Jabatan Bendahari UKM. Keadaan ini membebankan pelajar-pelajar yang baru sahaja mendaftar ke kolej. Tambahan pula, pinjaman PTPTN telah pun dikhabarkan akan dimasukkan lewat. (Klik sini). Satu memorandum dan hak bersuara yang disertai oleh barisan JAKSA KOLEJ PENDETA ZAA’BA telah dibentuk bagi mempertahankan dan mendapatkan hak pelajar semula disamping mendesak pihak Kausar untuk tidak sewenang-wenangnya mengenakan bayaran yang tinggi kepada para pelajar.




Barisan mahasiswa/i yang bertanggungjawab mengadakan perbincangan dengan pihak Kausar (Syarikat Al-Falah Sejati Sdn. Bhd.) adalah Yang DiPertua Kolej Pendeta Za'ba; FAYKA BINTI MOHAMMAD YUSOFF, Naib Yang DiPertua Kolej Pendeta Za'ba; Abu Bakar Siddique bin Ahmad Fadzil dan Jaksa Keselamatan; Nurhidayah binti Darunai. Mereka juga merupakan ahli aktif kelab Aspirasi Kolej Pendeta Za'ba UKM.




Sehubungan dengan tindakan yang dilakukan oleh JAKSA itu, satu kata putus telah dicapai dimana pihak Bendahari akan memotong caj tersebut melalui sistem dan pihak Kausar berjanji akan cuba untuk memulangkan kembali wang pelajar selewat-lewatnya pada 27 Feb 2012 secara berperingkat. Pihak Aspirasi akan terus memantau situasi ini sekiranya pihak Kausar tidak memberikan kerjasama. 


Kepada pihak 'sebelah sana' yang menyatakan bahawa kejayaan barisan JAKSA  KPZ menyelesaikan isu ini adalah usaha mereka, berhentilah, kerana hanya orang yang bekerja tahu cara menyelesaikan masalah. Bukan duduk goyang kaki lalu mengambil usaha orang lain sebagai usaha sendiri dan berbangga dengannya. Sekian, 





TEGUH,SETIA,BERSATU! 
Read More

Monday, February 20, 2012

Gemuruh Jiwa, Semangat Membara !

Assalammualaikum dan salam 1 Aspirasi. Setelah bercuti selama sebulan, kini tibalah masa untuk mahasiswa/i UKM pulang ke kampus dan memulakan sesi pembelajaran semester 2 pada hari ini, isnin, 20 februari 2012. Bermula dengan sesi pendaftaran kursus pada hari ini, sebilangan kelas telah bermula serentak dengan tarikh pendaftaran kursus/subjek. 

Justeru, kami di pihak sekretariat Aspirasi UKM ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus dan memulakan semester baru dengan semangat yang membara. Tetapkan sasaran yang jelas serta fokuskan niat untuk mengatasi keputusan peperiksaan semester 1 yang baru dikeluarkan pada 15 februari lepas. Pada masa yang sama, berdoa dan memohonlah kepada Pencipta kita agar dipermudahkan segala urusan menuju kejayaan.


Dalam proses menggapai kejayaan yang mana dalam perspektif seorang mahasiswa, bergraduasi dengan cemerlang, sudah tentu kita akan berhadapan dengan pelbagai ujian serta cabaran. 'Assignment', kerja lapangan, ujian makmal, 'mid sem test', serta sistem Kontrak Pembelajaran yang diperkenalkan oleh UKM adalah antara ujian-ujian yang diterima mahasiwa/i UKM yang hakikatnya membantu kita menggilap potensi diri serta membentuk modal insan yang cemerlang, bukan graduan 'exam oriented' semata-mata. Ingatlah bahawa ketika di alam pekerjaan nanti, kita bukan bergelumang dengan buku semata-mata. Oleh itu, cabarlah diri anda untuk mengatasi cabaran-cabaran dalam proses menamatkan pembelajaran di UKM selain belajar bersungguh-sungguh demi mencapai gred terbaik ketika peperiksaan.

Semoga semangat ingin berjaya ini berkobar-kobar tatkala semester baru tiba, dan kita dapat mengekalkan momentum ini sehingga kejayaan mutlak dicapai ketika dapat bergraduasi dengan cemerlang nanti. InsyaAllah. Sekian, 

Teguh, Setia, Bersatu !

Read More

Friday, February 10, 2012

BAKSIS KUO 2012 - Together We Success !

                                         Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia. Pada 27 Januari 2012 yang lepas Sekretriat Hal Ehwal Luar dan Pengantarabangsaan (HELA) di bawah Kolej Ungku Omar telah mengadakan sebuah program iaitu BAKTI SISWA KOLEJ UNGKU OMAR 2012 (BAKSIS). Dengan bertemakan “Together to success” dan melibatkan ahli sekretariat HELA, serta beberapa barisan JAKSA KUO yang lain, program ini telah diketuai oleh saudari Ratmah Binti Rura yang juga merupakan JAKSA HELA Kolej Ungku Omar pada sesi ini. 



Sebelum tibanya 27 Februari lagi, barisan urusetia telah mengadakan perkampungan selama 4 hari di kolej untuk menyediakan kelengkapan bagi program tersebut. Antara usaha yang dilakukan adalah dengan membuat banner elektronik dengan tujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat tentang program ini. 





Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam dengan beberapa objektif iaitu :
  1. Mengasah serta membentuk sifat kepimpinan dalam diri mahasiswa seiring dengan peningkatan sahsiah dalam diri masing-masing. 
  2. Melatih mahasiswa dalam pengurusan berorganisasi agar lebih bersedia untuk menerajui pucuk pimpinan di masa hadapan. 
  3. Meningkatkan kemahiran berkomunikasi mahasiswa dalam menyampaikan idea secara lisan dan bertulis, berunding ke arah mencapai keputusan dan sebagainya. 
  4. Memupuk semangat berpasukan dalam kalangan mahasiswa yang berbilang kaum.

Pada jam 9 pagi pada 27 Februari 2012, bas bertolak ke Kampung Sawah Sempadan,Tanjung Karang, Selangor. Program ini bertujuan untuk merapatkan hubungan antara mahasiswa dengan masyarakat. Di sana, program penyerahan anak angkat telah diadakan. Di rumah masing-masing, mereka telah beramah mesra dengan ibu dan ayah angkat mereka. 



Pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk mencari formula bagi merapatkan hubungan sesama masyarakat antaranya pada malam yang pertama, telah diadakan ceramah agama di surau dengan tajuk “Anak Anugerah Allah”. Pada 28 Februari pula, peserta telah pergi ke SK Sawah Sempadan untuk mendekatkan diri dengan murid-murid di sana dan telah melakukan beberapa aktiviti yang menyeronokkan. 
















Sesi masak memasak dengan orang kampung juga telah diadakan dengan memasak makanan terkenal di kampung tersebut iaitu Nasi “Ambeng”. Makanan ini telah menjadi makanan yang wajib sekiranya terdapat orang luar yang bertandang ke kampung tersebut. 








Pada keesokan harinya mereka telah mengadakan beberapa aktiviti sukan bersama dengan orang kampung untuk beriadah di samping dapat mengenali dengan lebih dekat lagi masyarakat di sana. Antara pertandingan yang diadakan ialah tarik tali, musical chair dan “lukisan anak saya paling cantik”. Kegembiraan murid-murid di sana jelas terpancar kerana ayah dan ibu mereka dapat bersama sama untuk menjayakan aktiviti sukan tersebut. 


















Pada 29 Februari mereka telah pergi ke surau dan juga masjid untuk membersihkan surau-surau yang sudah lama tidak digunakan. Ini adalah salah satu aktiviti untuk memberi khidmat kepada masyarakat bagi menunjukkan perasaan sayang mahasiswa kepada masyarakat sekeliling. 











Alhamdullilah. Akhirnya program ini dapat dijalankan dengan jayanya dan saya berharap agar aktiviti-aktiviti seperti dapat dijalankan lagi pada masa akan datang” ujar Ketua Program merangkap JAKSA HELA, saudari Ratmah Binti Rura. 


Semoga UKM memperbanyakkan lagi aktiviti seperti ini supaya masyarakat lebih jelas tentang imej seorang mahasiswa UKM.




Sekian terima kasih. 

TEGUH,SETIA,BERSATU! 
Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.