Assalammualaikum, selamat sejahtera dan salam Ramadhan buat pembaca-pembaca Media Kampus UKM sekalian. Hari ini, genap 13 hari umat Islam di seluruh dunia menunaikan ibadah puasa. Kami, barisan jentera Aspirasi UKM ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan penuh keberkatan dan kesyukuran, khususnya kepada mahasiswa/i Universiti Kebangsaan Malaysia. Semoga Ramadhan kali ini lebih dimanfaatkan daripada yang sebelumnya, insyaAllah..
Kurang sebulan dari sekarang, Universiti Kebangsaan Malaysia bakal menerima kemasukan pelajar-pelajar baru yang datangnya dari seluruh pelosok negara. Malah terdapat juga pelajar-pelajar dari luar negara yang bakal mendaftar pada 7 September 2011 ini. Justeru, kami dari barisan kepimpinan Aspirasi UKM mengucapkan tahniah, syabas serta AHLAN WASAHLAN kepada bakal-bakal perintis Universiti Kebanggaan Malaysia. Sesungguhnya ini merupakan detik permulaan dalam pembentukan seorang khalifah berketrampilan dan disegani di luar sana, juga saat-saat pertama untuk anda merealisasikan impian dan cita-cita.
Bagi menyambut kedatangan sahabat-sahabat baru ini, kerja-kerja persediaan giat dijalankan di setiap kolej. Bahkan, menurut Jawatankuasa Kebajikan Siswa Siswi (JAKSA) Kolej Rahim Kajai, Muhammad Amirul Kamil bin Abd Ghani , setakat 4 bulan ini sudah 3 kali perkampungan diadakan dan sekarang mereka masih di kampus, membuat persiapan terakhir sebelum pulang bercuti untuk menyambut hari Raya Aidilfitri, kemudian bergegegas semula ke kampus pada hari raya ke-5.
"Setakat ini kami JAKSA-JAKSA KRK telah menyiapkan sebahagian besar persediaan BMP termasuk banner, peralatan LDK, dan sebagainya. Kami juga turut mengadakan rondaan pada setiap hari untuk memeriksa serta menyelenggara peralatan dan kemudahan kolej supaya tiada cela apabila pelajar baru mendaftar kelak. walaupun sekarang bulan puasa, rondaan tetap diteruskan malah ditingkatkan lagi, kami meronda ke setiap bilik dan memeriksa setiap peralatan supaya tiada kerosakan demi memberi keselesaan kepada pelajar-pelajar sesi akan datang," kata beliau yang merupakan JAKSA Kebajikan Kolej Rahim Kajai 2011/2012.
Fenomena yang sama berlaku di Kolej Dato' Onn (KDO). Menurut sumber, JAKSA-JAKSA KDO telah berkampung di kampus sejak bermulanya cuti semester lepas untuk menghadiri kursus pemudah cara, mengadakan perbincangan, membuat tempahan peralatan serta makanan, menyediakan bahan-bahan untuk BMP dan mereka cuma pulang ke rumah untuk bercuti selama beberapa hari. Kini mereka masih berada di kampus di bawah pantauan Felo bertugas.
JAKSA-JAKSA KDO bersama banner
"Buat masa ini, kami lebih menumpukan perhatian terhadap pengisian modul untuk Latihan Dalam Kumpulan (LDK). Modul haruslah menarik dan informatif serta bersesuaian dengan jiwa seorang mahasiswa. Selain itu banner sudah disiapkan, alatan-alatan yang akan digunakan sudah disediakan, borang-borang telah dicetak, informasi kolej sudah ditampal di sekitar kolej. Perancangan untuk persembahan penutup juga sedang dalam proses terakhir" kata saudara Mohammad Khairul Syazwan bin Arisarono, JAKSA Kebudayaan Kolej Dato' Onn.
Manakala menurut saudari Arniza binti Ahmad, JAKSA Hal Ehwal Luar dan Antarabangsa (HELA) Kolej Dato' Onn pula, pelajar-pejajar baru tidak perlu gusar dan bimbang untuk menjejakkan kaki ke UKM dan KDO khususnya, kerana barisan FELO, JAKSA serta Pemudah Cara akan cuba memberikan kerjasama yang terbaik dalam menjayakan BMP.
"Kebajikan anda keutamaan kami. Justeru kami akan cuba membantu pelajar-pelajar baru untuk menyesuaikan diri, menguruskan hal-hal kemasukan serta pendaftaran kolej dan fakulti, biasiswa, penggunaan portal-portal universiti seperti SPIN dan SMPWEB, zon-zon bas, dan banyak lagi. Mungkin ada yang risau kerana urusan PTPTN belum selesai. Tidak mengapa, nanti kami ajarkan."
Apabila bertanya, adakah apa-apa kesusahan yang menimpanya sepanjang perkampungan ini, jawapannya ringkas ;
"kesusahan itu lumrah" katanya sambil tersenyum.
Selain itu di kolej lain juga persediaan giat dijalankan berikutan kurang sebulan lagi BMP akan berlangsung. Walaupun dalam bulan Ramadhan, barisan Felo, JAKSA serta Pemudah cara bertungkus-lumus membuat persediaan bagi menjayakan Bulan Mesra Pelajar (BMP) sesi 2011/2012. Justeru, diharapkan bakal-bakal mahasiswa tahun 1 dapat memanfaatkan sebaiknya BMP agar dapat melangkah lebih yakin dan menjalani kehidupan dan pembelajaran yang terbaik di Universiti Kebangsaan Malaysia yang dicintai ini. Sekian, Mahasiswa Tunjang Aspirasi Universiti.
TEGUH, SETIA, BERSATU !
0 comments:
Post a Comment