Photobucket

Thursday, December 15, 2011

Kembara Gua Batu Maloi - Pengalaman Tidak Ternilai


Pada 11 Disember 2011 yang lalu, akhirnya program Kembara Gua Batu Maloi anjuran Kelab ASPIRASI UKM melabuhkan tirai dengan kebanggaan.  Penat lelah urusetia-urusetia dari pihak pengajur terasa berbaloi apabila para peserta rata-rata memberikan komen positif dan pulang dengan pengalaman manis dan bermakna. Selama 3 hari menjalani program ini, banyak pengetahuan serta teknik-teknik yang dapat dipelajari peserta kembara.

Pada hari pertama, rombongan dari UKM berkumpul di Pusanika untuk sesi pendaftaran dan penyerahan t-shirt Kembara, dan kemudiannya bertolak ke Johol, Negeri Sembilan pada jam 4.00 petang. Ketibaan peserta di tapak perkhemahan disambut urusetia-urusetia kelab Aspirasi serta ketua kem komander Gua Batu Maloi, En. Nazri bersama barisan jurupandu gua yang terlatih. 

 pendaftaran di meja urusetia

bergambar sebelum bertolak

kawasan sekitar Gua Batu Maloi yang sangat nyaman 

taklimat ringkas oleh ketua komander gua

Selepas solat dan taklimat ringkas, para peserta didemonstrasi dan diajar cara memasang khemah yang betul oleh urusetia. Setelah semua khemah dibangunkan dengan pantas atas semangat kerjasama, peserta minum petang dan bersiap untuk solat maghrib berjemaah serta bacaan yaasin sempena peperiksaan akhir.


Sesi malam bermula dengan ice-breaking serta pemilihan penghulu dan penghuluwati. Kemudian, peserta dibahagikan kepada 6 kumpulan kecil dan nama kumpulan mestilah bertemakan alam sekitar.



Pelbagai mini-games telah diadakan untuk mengeratkan hubungan antara peserta serta urusetia. Setiap kumpulan juga diminta mempersembahkan trademark untuk nama kumpulan mereka. 

Kemudian, aktiviti lasak pertama bermula. Aktiviti ini dinamakan 'blind thrill' di mana setiap seorang peserta ditutupkan mata dengan kain hitam dan dilepaskan untuk melalui pelbagai rintangan seperti hutan, semak dan sungai dengan hanya berpandukan seutas tali. Selepas aktiviti tamat, pihak jurupandu Gua Batu Maloi menerangkan motif dan tujuan aktiviti ini dan ternyata disebalik ragam dan aksi peserta yang mencuit hati, aktiviti 'blind thrill' sebenarnya mempunyai banyak input terselindung untuk direnungi peserta sebagai seorang mahasiswa.

Hari kedua, seawal jam 7.30 pagi aktiviti senaman dan morning walk bermula. Suasana kampung di perkarangan Gua Batu Maloi serta cuaca yang baik sangat menyenangkan peserta ketika bersiar-siar dan mengambil angin. Ketika ini peserta benar-benar dapat merasai suasana kampung ditambah pula dengan haiwan-haiwan yang dilepaskan bebas oleh penduduk kampung.


Selepas pulang ke tapak kem, peserta bersarapan dan bersiap untuk aktiviti seterusnya, water confident

Water confident merupakan aktiviti di mana peserta akan diajar teknik-teknik berenang yang pelbagai mengikut kesesuaian peserta. Mereka juga diajar cara menyelamatkan nyawa dengan menggunakan apa sahaja material yang ada ketika hampir lemas.

peserta di ajar terlebih dahulu...

kemudian ditenggelamkan...

teknik apungan badan turut di ajar

Selesai aktiviti water confident, peserta berehat dan mengumpulkan idea untuk aktiviti explorace. Explorace merupakan pertandingan antara kumpulan yang menguji pelbagai kebolehan peserta seperti tenaga, IQ, ingatan dan ketahanan minda. Aktiviti ini dimenangi oleh kumpulan Rafflessia dan dihadiahkan seekor ulat gonggok hidup spesis jarang ditemui oleh ketua kem, En.Nazri.

pertandingan memindahkan pasir menggunakan teknik 'water confident' yang telah diajar sebelum ini


Pada waktu petang, peserta serta urusetia Kelab Aspirasi dibawa pula ke aktiviti 'water game' iaitu perlawanan polo air bagi peserta perempuan serta bola tampar untuk peserta lelaki. 


urusetia turut mengambil tempat

Pada waktu malam, atas permintaan peserta, persembahan malam kebudayaan telah ditukarkan ke aktiviti yang lebih santai iaitu teka-teki, pemberita tiga kepala, china bom, goreng pisang, katak kembung, char que teow dan pizza hut. Ketika ini hubungan peserta, urusetia serta jurupandu-jurupandu gua amat jelas ditonjolkan. Sedikit sebanyak dapat mengurangkan stress peserta dengan peperiksaan akhir yang bakal menjelang. Ketua kem, En.Nazri serta jurupandu turut menberikan taklimat ringkas untuk acara yang ditunggu-tunggu pada hari ketiga nanti, iaitu ekspedisi ke dalam Gua Batu Maloi.


permainan katak kembung



Hari ketiga yang ditunggu-tunggu, sebelum peserta menaiki gua, mereka dibawa 'morning walk' sekali lagi sebagai aktiviti pemanas badan. Kemudia, mereka diberi penerangan oleh jurupanju kem tentang sejarah dan fizikal kini Gua Batu Maloi yang amat istimewa. 






Pelbagai flora dan fauna yang eksotik dijumpai sepanjang pengembaraan ke Gua Batu Maloi dan penerangannya telah diterangkan oleh jurupandu dan membuatkan peserta sedikit teruja.




"Pelbagai halangan dan rintangan dapat diatasi peserta sepanjang pengembaraan ke gua tanpa sebarang masalah. Peserta menunjukkan semangat serta kerjasama yang mantap serta tumpuan yang baik terhadap penerangan-penerangan jurupandu di dalam gua. Malah saya berbangga apabila ramai peserta perempuan lebih berani daripada peserta lelaki ketika perjalanan kembara", Nor Azzah Jelani, wakil urusetia peserta perempuan.

"Syukur alhamdulillah akhirnya program Kembara Gua Batu Maloi ini berjaya dilaksanakan dengan sempurna. Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta mahupun urusetia, serta barisan fasilitator dari pihak Gua Batu Maloi atas kerjasama dan semangat ingin menjayakan program ini. Pihak kami berharap kenangan serta pengalaman ini tidak akan dilupakan manakala tunjuk ajar dan tips oleh jurupandu dapat diaplikasikan oleh peserta dalam kehidupan seharian kelak", Muhammad Farhan bin Ahdon, Ketua Pengarah Program Kembara Gua Batu Maloi merangkap wakil Kelab Aspirasi UKM.

Kami selaku ahli-ahli Kelab Aspirasi UKM mengharapkan agar program ini memberikan impak positif kepada semua peserta yang menyertai Kembara Gua Batu Maloi ini. Semoga bertemu lagi pada program ASPIRASI yang akan datang. Sekian, 

Teguh, Setia, Bersatu !

0 comments:

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.