Photobucket

Tuesday, September 17, 2013

Memartabatkan Universiti Kebangsaan Malaysia : MEP vs PMUKM


Respon PMUKM/GMUKM terhadap pencapaian mereka sepanjang sesi 2012/2013 telah membuatkan kami terpanggil untuk menyemak semula semua pengakuan kecemerlangan mereka sendiri. Semua pembaca boleh merujuk pautan ini (http://gm-ukm.blogspot.com/2012/11/kelesuan-jaksa-jaksa-perlu-kaji-semula.html) untuk melihat keangkuhan mereka mempersoalkan fungsi Jaksa atau Majlis Eksekutif Pelajar (MEP) seawal mereka memegang tampuk kepimpinan MPP selepas pilihanraya kampus tahun lalu.

GMUKM secara angkuh menyatakan bahawa MEP ini lesu dengan program yang hanya 'diadakan' untuk memenuhi takwim kolej kediaman tanpa membumi kepada keperluan mahasiswa secara menyeluruh. Bagi GMUKM, MEP hanya membuang masa seperti mana tulisan di blog mereka :

"Usah bermain dengan aktiviti pelajar yang bersifat program sahaja, sibuk bermesyuarat sahaja, padan ada sahaja perumpamaan diberikan oleh sebahagian orang UKM ini ‘Universiti Kuat Meeting' "

Di sini kita boleh lihat betapa GMUKM memandang rendah terhadap kepimpinan MEP malah cuba memperlekeh segala usaha mereka. Pihak kami berasa terpanggil untuk menilai semula penghinaan yang GMUKM letakkan kepada MEP dan membuka mata mereka yang sekian lama 'tidur'.


Sepanjang sesi 2012/2013, MEP telah mengorak langkah gemilang dengan aktiviti-aktiviti berimpak tinggi dan mengharumkan nama UKM dipersada nasional dan antarabangsa sekaligus memperluaskan lagi kebolehpasaran mahasiswa UKM. Antara aktiviti mega yang dilaksanakan MEP adalah KAPREZA (Karnival Premium Za'ba), dan tambahan pula sekretariat KAPREZA daripada Kolej Pendeta Za'ba ini telah berjaya ke Jepun selepas memenangi program sukarelawan terbaik anjuran IM4U apabila  menjalankan aktiviti kesukarelawanan "Mobile Breast Cancer Screening" mereka di UKM.



Selain daripada itu, pujian dan pengiktirafan harus diberikan kepada MEP Kolej Ibu Zain kerana telah berjaya melaksanakan Career Expo UKM anjuran Biro Pengantarabangsaan MEP Ibu Zain yang turut mendapat kerjasama daripada JPPEL (HEPA) dan juga Pejabat Hubungan Industri (HEJIM). Kerjasama ini sebagai satu sinergi bagi memberi peluang untuk pelajar UKM di tahun akhir bertemu dengan bakal-bakal majikan mereka selain menambah lagi kemahiran mereka dalam proses temuduga dan sebagainya. Berbagai acara telah disusun dan tentunya pameran syarikat menjadi program utamanya.



Tambahan lagi MEP Kolej Burhanuddin Helmi pula bersama Urusetia dan MPP Aspirasi telah berjaya menganjurkan program yang melibatkan belia seluruh Malaysia di Festival Belia Malaysia. Program yang melibatkan 3000 belia ini merangkumi program kesukarelawanan, isu-isu kemanusian, kreativiti, serta inovasi telah mendapat liputan meluas di media seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak selain mendapat perhatian YAB Perdana Menteri Malaysia. Program Ekspresi Mahasiswa telah membuka mata syarikat-syarikat korporat swasta mengenai kredibiliti kempimpinan pelajar-pelajar IPTA khususnya UKM.



Jelas dapat kita lihat betapa besar impak yang baik dan positif kepada pelajar terutamanya mahasiswa UKM melalui program-program yang diseneraikan seperti di atas. Harus diingat program-program yang disenaraikan di atas ini hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada banyak lagi program-program berimpak tinggi yang telah dianjurkan oleh MEP kolej-kolej kediaman yang lain. Tambahan pula program-program yang dijalankan oleh kebanyakan kolej-kolej kediaman ini bukan hanya di peringkat kolej dan universiti malah memberikan pendedahan yang lebih meluas kepada pelajar di peringkat nasional dan global. Jelas di sini bahawa MEP yang dikatakan lesu oleh pihak yang tak bertanggungjawab tersebut bukan hanya menjaga kebajikan pelajar di kolej malah mampu menganjurkan aktiviti dan program yang bertaraf antarabangsa. Syabas MEP-MEP kolej kediaman!

Seharusnya sebagai seorang manusia yang berfikiran normal dan kononnya berkepimpinan, PMUKM/GMUKM harus berasa malu dan terkesan atas segala penghinaan yang dilemparkan kepada pihak MEP kolej pada awal tampuk kepimpinan mereka dahulu. Mereka bukan sahaja menghina malah mereka yang mengakui mereka adalah wakil dan suara mahasiswa UKM, tidak mampu untuk menghasilkan program-program yang berkualiti seperti yang dilakukan oleh pihak MEP. Kami tidak mengharapkan kuantiti tapi kami inginkan kualiti daripada program tersebut untuk dirasai oleh setiap pelajar di UKM khasnya. Ternyata PMUKM/GMUKM gagal untuk membuktikan kredibiliti mereka sebagai perwakilan pelajar yang dipilih melalui undian kami dan GMUKM jelas tidak lagi relevan untuk memegang tampuk kepimpinan MPP UKM pada masa akan datang.

0 comments:

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.