Assalammualaikum dan salam 1 ASPIRASI. Pada 25 September 2011 yang lalu, Kolej Dato Onn dengan kerjasama Persatuan Ibu Tunggal Rangkaian Hati (PITRAH) telah mengadakan Operasi Khidmat Masyarakat dan Sambutan Hari Raya bersama PITRAH yang di adakan di Pusat Kegiatan PITRAH (PKP) Seksyen 16 Bangi. Program ini bertema "Bergandingan Bersama" dan melibatkan semua pelajar tahun 1 Kolej Dato Onn dan barisan pemudah cara bersama keluarga-keluarga PITRAH, serta mendapat bantuan tenaga kerja daripada Kelab ASPIRASI Kolej Dato Onn.
Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan dan Kaunseling, JAKSA Kolej Dato Onn (KDO) dan diketuai oleh saudari Nur Rabeah binti Khamis selaku Ketua Pengarah. Objektif program ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai sosial dan kemanusiaan serta kesedaran nilai tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa/i Kolej Dato Onn melalui aktiviti rewang, gotong-royong serta beramah mesra bersama ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka yang memiliki jiwa survival yang tinggi di sini.
Bermula seawal 7.30 pagi, 2 buah bas bertolak dari KDO dengan membawa 45 orang pelajar serta pemudah cara yang bertugas pada sesi pagi. Tugasan turut dibahagikan mengikut kumpulan, seperti rewang memasak, mengendalikan pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, pertandingan menulis esei, mengemas pentas, serta membersihkan kawasan rumah kediaman PITRAH. Manakala sesi petang bermula pada jam 2.30 petang bersama pelajar dan pemudah cara dan bertugas mengendalikan pertandingan masakan kreatif, pakaian 1 Malaysia, solekan antara ibu dan anak dan banyak lagi.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah ibu-ibu PITRAH serta anak-anak mereka terutamannya kanak-kanak apabila mereka begitu rancak bergurau mesra bersama pelajar-pelajar KDO serta bekerjasama menyiapkan tugasan kumpulan dengan bersemangat. Adik-adik kecil pula tidak habis-habis mengajak abang-abang dan kakak-kakak dari KDO bermain sehingga tidak membenarkan mereka balik ke UKM.
"Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dari program ini kita dapat lihat pelajar-pelajar KDO sangat ringan tulang dan menjalankan kerja-kerja yang perlu dilakukan tanpa menunggu arahan. Mereka juga tidak kekok untuk beramah mesra bersama ibu-ibu PITRAH dan juga anak-anak PITRAH yang kelihatan seperti adik-beradik sendiri. Lebih terharu lagi buat saya apabila ada seorang pelajar Indonesia yang mengatakan program seperti ini membuatkan kerinduan mereka kepada kampung halaman serta ibu dan adik-adik sedikit terubat. Terima kasih kepada Bonda Pengetua, FELO, JAKSA, pemudah cara dan khususnya peserta-peserta tahun 1 kerana menjayakan program ini dengan jayanya; " Nur Rabeah binti Khamis, Ketua Program merangkap JAKSA Kebajikan Kolej Dato' Onn.
Sesungguhnya tiada yang lebih menggembirakan ketika program apabila melihat kemesraan anak-anak PITRAH bersama pelajar-pelajar KDO yang begitu ceria bergurau dan bermain bersama. Justeru, Kolej Dato' Onn akan mengadakan aktiviti susulan bersama PITRAH melalui kelas ulangkaji pelajar tingkatan 5, kelas komputer ibu dan anak serta kelas tuisyen untuk anak-anak PITRAH pada setiap minggu yang mana tenaga pengajarnya adalah dalam kalangan pelajar-pelajar KDO sendiri yang menjadi sukarelawan.
(klik gambar untuk lebih jelas)
sekian,
BULATKAN NIAT YANG SATU,
TEGUH, SETIA DAN BERSATU !
1 comments:
kelas ko jah....
Post a Comment