Photobucket

Monday, September 5, 2011

MESEJ KHAS YB MENTERI PENGAJIAN TINGGI “SELANGKAH KE UNIVERSITI” SEMPENA KEMASUKAN PELAJAR BARU KE IPTA 2011




Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum wbt dan Salam 1 Malaysia,

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas atas kejayaan saudara dan saudari berpeluang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pertama di universiti masing-masing. Saya percaya kejayaan ini pasti bertitik tolak daripada usaha yang gigih dan kelayakan saudara dan saudari.

Setiap pelajar yang diterima masuk untuk melanjutkan pengajian di universiti hendaklah menyematkan tekad dan semangat untuk mencapai kecemerlangan sepanjang tempoh pengajian mereka di universiti. Maka atas sebab itulah saudara-saudari perlu melengkapkan diri dengan ketrampilan, sahsiah dan jati diri cemerlang agar aspirasi negara untuk melahirkan generasi pelapis kepimpinan masa depan akan terlaksana.

Saudara-saudari juga harus ingat, berada di universiti tidak bermakna hanya untuk menuntut ilmu semata-mata kerana apa yang lebih penting ialah saudara-saudari semua perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran lain agar dapat menghadapi persaingan dunia luar yang lebih mencabar.

Bagi sesi akademik 2011/2012, sejumlah 41,267 tempat pengajian telah ditawarkan di 20 IPTA seluruh negara. Oleh yang demikian, saudara-saudari merupakan golongan yang bertuah kerana menjadi salah seorang daripada kalangan mereka yang telah ditawarkan tempat mengikuti pengajian di IPTA bagi sesi kali ini.

Untuk makluman semua, ramai lagi calon yang memohon tetapi tidak mendapat tawaran. Oleh itu saya menyeru agar saudara-saudari tidak mempersia-siakan peluang yang telah diberikan ini. Belajarlah bersungguh-sungguh agar tercapai segala cita-cita dan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan di atas bahu saudara-saudari sekalian terlaksana. Hanya mahasiswa yang memiliki jiwa besar, berfikiran matang dan berpandangan jauh mampu menyempurnakan tanggungjawab mereka dengan baik.


Sebagai golonga terpelajar, saudara-saudari diharap dapat mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti. Hindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang melanggar undang-undang negara dan peraturan yang ditetapkan. Ini kerana saudara-saudari semua merupakan role model kepada masyarakat. Saudara-saudari semua mempunyai tanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, masyarakat, persekitaran, ilmu yang dipelajari, negara bahkan dunia secara amnya. Tanggungjawab dan kewajipan ini adalah amanah yang mesti ditunaikan.

Akhir sekali, kepada semua pelajar IPT sesi kemasukan 2011/2012 yang ada pada hari ini, saya mendoakan semoga anda semua mencapai kejayaan cemerlang demi kemajuan agama, keluarga, bangsa dan negara.


Sekian,  wabillahitaufikwalhidayah Wassalamualaikumwarahmatullahiwabarokatuh.


Ikhlas daripada saya,

MOHAMED KHALED BIN HAJI NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia

0 comments:

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.