Photobucket

Wednesday, November 2, 2011

AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF

Assalammualaikum dan salam sejahtera.

Pihak kami baru sahaja menerima sebuah kiriman emel dari seorang pengirim yang tidak dikenali. Walau bagaimanapun, setelah dibaca tulisannya ini, ada kebenaran yang harus warga kampus faham dan sedar akan kepentingan AUKU terhadap kita terutama mahasiswa.

Oleh itu, pihak Media Kampus UKM berhasrat untuk sama-sama berkongsi penulisan ini kepada umum supaya kita boleh baca bersama dan menyedari hakikat sebenar.

Jangan kita asyik bersemangat dengan emosional darah muda untuk memansuhkan AUKU semata-mata dan akhirnya nasib diri sendiri akan melayang di bawak permainan politik kepartian di luar kampus.

Ayuh sebagai mahasiswa yang mempunyai keintelektualan tinggi dan bermaruah, kita sama2 berfikir dan kaji adakah AUKU ini benar2 untuk mengongkong kita atau sebenarnya ia beri kita peluang untuk cemerlang?


AUKU : LIHAT DARI SUDUT POSITIF

Ada yang melihat dan bersuara bahawa Seksyen 15 AUKU adalah suatu seksyen yang begitu menekan dan mengongkong para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik di luar kampus. Ya, mungkin ada kebenarannya di situ. Tetapi adakah ramai yang cuba menyingkap kenapa AUKU menghalang para pelajar di IPT untuk terlibat dalam politik kepartian di luar kampus? Adakah ramai yang mengetahui bahawa para pelajar ini sebenarnya boleh menyertai ceramah-ceramah dan aktiviti-aktiviti ilmuan yang dianjurkan oleh mana-mana parti politik sebagai suatu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan keilmuan mereka? Mereka hanya tidak dibenarkan untuk menunjuk simpati dan memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Antara sebab mungkin kenapa Seksyen 15 dan keseluruhan AUKU itu dibentuk khusus kepada para pelajar IPT dan kakitangannya di kampus adalah bagi tujuan untuk membela dan menjaga nasib para warga kampus terutama para pelajar. Sebagai contoh mudah, sekiranya para pelajar diberi kebebasan untuk menyertai parti politik secara langsung, dan mereka terlibat dalam mana-mana tindakan disiplin parti yang memerlukan denda berupa wang ringgit, maka siapa yang harus membela mereka sedangkan para pelajar ini masih belum mempunyai pendapatan sendiri? Malah kebanyakan dari mereka pula hanya bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk belajar di IPT untuk tempoh masa 3 hingga 5 tahun.

AUKU juga berperanan sebagai suatu ‘punca kuasa’ untuk mengalakkan para pelajar bergiat aktif dalam kampus berbanding sibuk aktif dengan aktiviti-aktiviti parti politik di luar. Sekiranya para pelajar ini diberi peluang untuk menyertai politik kepartian, maka sudah pasti masa, wang dan tenaganya akan terpaksa dihabiskan untuk parti politik yang disertainya di luar kampus. Kesibukan menyertai dan memegang jawatan dalam parti politik ini akhirnya telah menyebabkan masa belajar mereka akan digunakan untuk kepentingan parti, duit kocek yang ada dalam simpanan juga terpaksa dibelanjakan untuk survival politiknya dalam parti dan pastinya tenaga serta keringat harus dibahagikan antara belajar, komitmen dalam kampus dan komitmen dengan parti politik.

Seksyen 15 AUKU juga berperanan secara halus untuk membantu dan memastikan para pelajar agar lebih peka dan memberi tumpuan terhadap pengajaran dan pembelajarannya di IPT. Sekiranya para pelajar ini asyik sibuk siang dan malam dengan aktiviti parti politik tidak kira dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, maka ruang waktu yang ada pada dirinya semakin terhad. Ini tidak mustahil akan menyebabkan para pelajar itu ponteng kelas dan tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Ditambah lagi dengan tekanan yang dihadapi dalam organisasi parti politik, maka para pelajar tersebut sudah pasti akan hilang kosenterasinya terhadap pengajian. Akhir sekali yang menjadi mangsa dalam perkara ini adalah pelajar itu sendiri, mana mungkin kepimpinan parti politik itu akan membantu pelajar tersebut untuk lulus dengan cemerlang dalam pelajarannya.

Kita tidak bercakap lagi soal perpecahan di dalam kampus sekiranya para pelajar dan kakitangan IPT diberi kebebasan untuk menyertai secara aktif mana-mana parti politik. Cuba bayangkan sekiranya setiap pentadbiran, dan ahli akademik dibolehkan untuk bergiat aktif dalam parti politik, sudah pasti mereka akan mengambil peluang yang ada untuk menguatkan parti dan pengaruhnya. Sekiranya seorang pensyarah itu seorang Ketua Bahagian sebuah parti, adakah beliau tidak mempunyai perasaan was-was dan dendam terhadap pelajarnya yang mempunyai jawatan yang sama tetapi dari parti lawan? Siapa yang boleh beri jaminan bahawa pensyarah itu tidak akan menggunakan kuasa dan kedudukan yang beliau ada untuk mengagalkan atau memberi tekanan terhadap pelajarnya yang ‘setaraf’ dengannya dalam dunia politik kepartian? Adakah seorang Naib Canselor mampu duduk selesa sekiranya Timbalan Naib Canselor dan pegawai di bawahnya adalah seorang ketua parti lawan? Itu tidak masuk lagi Pengetua Kolej-kolej Kediaman, Dekan-dekan Fakulti dan Pengarah-pengarah pusat, institut dan jabatan di dalam IPT.

Pendek kata yang boleh ditekankan disini ialah, AUKU itu sudah pasti ada cacat celanya kerana ia merupakan sebuah akta atau undang-undang yang diciptakan oleh manusia, tetapi tujuan dan keseluruhannya adalah untuk kebaikan warga di IPT juga. Janganlah kerana seekor nyamuk yang dimarahi tetapi seluruh kelambu dibakarnya. Para pelajar dan warga IPT akan mengalami pelbagai kesulitan sekiranya AUKU ini terus dibakulsampahkan begitu sahaja. Oleh itu, fikirlah wahai pihak pemerintah sebelum mengambil sebarang keputusan dan bermatanglah dalam memberi hujah wahai pihak pembangkang agar negara dan masa depan rakyatnya tidak akan dijual kepada pihak lain.




MAHASISWA PRIHATIN
Kuala Lumpur

2 comments:

Anonymous said...

Kerajaan Jangan Tak Buat Rayuan. Tunggu dulu, apa pula kata Mahkamah Persekutuan.

Apakah berpuak-puak dan berpecah belah dalam kampus kerana fahaman politik suatu yang dikehendaki dan baik di IPTA sebagai tempat pengajian? Apa relevannya parti politik dikampus dan apa hak mereka untuk mencampuri urusan dan dasar IPTA? Maka Mahkamah Rayuan perlu nampak dan jangan pura-pura tidak nampak bahawa kekangan pada auku adalah untuk menghilangkan benih yang akan menjejaskan kententeraman awam (pubic order) di sesebuah IPTA agar falsafahnya sebagai tempat pengajian dihormati. Pun begitu, politik (seperti sukan etc)sebagai sebuah kurikulum (matapelajaran) dengan buku dan artikel rujukan digalakkan.

Pendidikan haruslah bedasarkan pemikiran secara disiplin (seperti thesis) bukannya pemikiran yang tanpa disiplin dan haru biru. Mungkin pemikiran "haru biru dan kurang disiplin" adalah lumrah bagi orang politikus namun pendidikan dan dasar pengajian, pemikiran itu hendaklah berstruktur dan berdisiplin.

Kalau jaguh berfikiran, buatlah artikel dan thesis dengan metolodoginya dan sebagainya.

Tanggapan bahawa berpolitik boleh merangsangkan pemikiran berdisiplin itu suatu tanggapan yang terpesong. Pendidikan itu pemikiran berdisiplin harus difahami bukan pemikiran beremosi dan popular.

AUKU tidak sedikitpun menghalang sesiapa yang berkelayakan mengundi. Siapa yang tidak mahu kebebasan. Tetapi kebebasan tanpa peraturan akhirnya!!! perhimpunan seperti seksualiti Merdeka apakah itu kebebasan??

Anonymous said...

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_17.htm
Abdul Aziz perlu berhenti pensyarah jika mahu berpolitik - Khaled
05/11/2011 5:16pm

MOHAMAD FIKRI ROSLY
JOHOR BAHRU 5 Nov. - Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari dinasihat meletakkan jawatan sebagai pensyarah jika benar-benar mahu bercakap di atas pentas politik dan tidak perlu menunggu tindakan daripada universiti tersebut.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, universiti adalah institusi yang mengutamakan pencapaian akademik dan perlu berada dalam keadaan neutral demi mencapai matlamat menjayakan bidang pendidikan.

"Saya menasihatkan Abdul Aziz Bari berhenti menjadi pensyarah kalau mahu memilih pentas politik. Jika sudah menyertai ceramah politik yang mengandungi fitnah, tidak perlu menunggu tindakan daripada UIAM lagi.

"Sebaiknya dia terus berhenti dan menyertai parti yang disokong," katanya kepada pemberita selepas pertandingan bola keranjang Persatuan Persaudaraan Kristian Visi Johor Bahru di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, beliau sedar Abdul Aziz memasuki kawasannya dan menyampaikan ceramah di Taman Saujana dekat sini malam tadi tetapi yakin penduduk tidak akan termakan dengan perkara yang disampaikan.
Tambahnya, antara yang hadir adalah ahli UMNO Pasir Gudang sendiri yang mahu mendengar hujah profesor itu yang kini dalam siasatan UIAM berikutan kenyataannya mempertikaikan titah Sultan Selangor berhubung pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya, baru-baru ini. - Utusan

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.