Photobucket

Monday, March 12, 2012

Alumni UKM Mati Dibunuh

PUCHONG: Seorang wanita yang datang dari Segamat, Johor bagi mencari suaminya mendapat berita paling mengejutkan apabila mendapati suami dan anak perempuan tunggalnya mati dipercayai dibunuh di Taman Kinrara 1 di sini, malam tadi. Mayat dua beranak itu ditemui di dalam dua bilik berasingan selepas sepasukan polis memecah pintu rumah teres setingkat itu, kira-kira jam 10 malam.


Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias, berkata mangsa yang berketurunan Portugis itu dikatakan berkunjung ke rumah anak perempuan dan bekerja sebagai pensyarah kolej swasta kira-kira empat hari lalu untuk membawanya pulang ke Segamat.

Katanya, isteri mangsa yang berketurunan Melayu dan berusia dalam lingkungan 50-an itu tidak ikut ke Puchong. Bagaimanapun, dia ada cuba menghubungi lelaki itu dan anaknya sejak beberapa hari lalu tetapi gagal.

“Berikutan gagal menghubungi suami dan anak perempuannya, wanita terbabit membuat laporan kehilangan mereka di balai polis di Segamat sebelum datang ke Puchong.

“Apabila sampai ke rumah anaknya, dia cuba memanggil suami dan anaknya tetapi tiada yang menyahut manakala pintu berkunci menyebabkan dia pergi ke balai polis berdekatan kira-kira jam 9.45 malam tadi untuk meminta bantuan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis membawa isteri mangsa ke tempat kejadian sebelum memecah pintu rumah teres berkenaan.

“Sebaik masuk ke dalam rumah yang tidak ditutup lampu itu, anggota kami menemui mayat lelaki terbabit di atas katil di dalam sebuah bilik manakala mayat anak perempuannya ditemui di atas lantai di bilik lain,” katanya.


Menurutnya, mayat anak perempuan mangsa yang ditemui dalam keadaan terlentang itu masih lengkap bertudung.

Katanya, berdasarkan siasatan awal, tidak ditemui sebarang kesan kecederaan fizikal pada kedua-dua mangsa dan mayat dua beranak terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Abd Razak berkata, siasatan juga mendapati tiada kesan geledah di rumah berkenaan tetapi dua telefon bimbit milik mangsa dan anak perempuannya hilang.

“Kereta Perodua Kenari milik anak perempuan mangsa juga dipercayai hilang manakala kereta Toyota Camry milik mangsa ditemui diletakkan di luar pagar di depan rumah,” katanya.

Difahamkan, kereta mangsa berada di kawasan rumah itu manakala kereta Perodua Kenari milik anak perempuannya tiada di situ.

Abd Razak berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh yang mana sabit kesalahan, seseorang itu boleh dihukum mati mandatori.
sumber : Harian Metro


**Mangsa merupakan salah seorang warga UKM yang sangat dihormati,  malah merupakan presiden kelab orang kurang upaya UKM (Kelab Mahasiswa Istimewa UKM), iaitu saudari Zara Eleena Omar Peter. 


*kami dari barisan kepimpinan Aspirasi menitipkan belasungkawa buat keluarga dan saudara mara mangsa. Semoga Allah meletakkan mangsa dan ayahnya dalam kalangan orang beriman. InsyaAllah. Sekian, 

Teguh, Setia, Bersatu !

0 comments:

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.