Photobucket

Tuesday, September 27, 2011

Rangkaian Hati Bersama PITRAH

            Assalammualaikum dan salam 1 ASPIRASI. Pada 25 September 2011 yang lalu, Kolej Dato Onn dengan kerjasama Persatuan Ibu Tunggal Rangkaian Hati (PITRAH) telah mengadakan Operasi Khidmat Masyarakat dan Sambutan Hari Raya bersama PITRAH yang di adakan di Pusat Kegiatan PITRAH (PKP) Seksyen 16 Bangi. Program ini bertema "Bergandingan Bersama" dan melibatkan semua pelajar tahun 1 Kolej Dato Onn dan barisan pemudah cara bersama keluarga-keluarga PITRAH, serta mendapat bantuan tenaga kerja daripada Kelab ASPIRASI Kolej Dato Onn.




                Program ini dianjurkan oleh Exco Kebajikan dan Kaunseling, JAKSA Kolej Dato Onn (KDO) dan diketuai oleh saudari Nur Rabeah binti Khamis selaku Ketua Pengarah. Objektif program ini adalah untuk menerapkan nilai-nilai sosial dan kemanusiaan serta kesedaran nilai tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa/i Kolej Dato Onn melalui aktiviti rewang, gotong-royong serta beramah mesra bersama ibu-ibu tunggal dan anak-anak mereka yang memiliki jiwa survival yang tinggi di sini.













                 Bermula seawal 7.30 pagi, 2 buah bas bertolak dari KDO dengan membawa 45 orang pelajar serta pemudah cara yang bertugas pada sesi pagi. Tugasan turut dibahagikan mengikut kumpulan, seperti rewang memasak, mengendalikan pertandingan melukis dan mewarna kanak-kanak, pertandingan menulis esei, mengemas pentas, serta membersihkan kawasan rumah kediaman PITRAH. Manakala sesi petang bermula pada jam 2.30 petang bersama pelajar dan pemudah cara dan bertugas mengendalikan pertandingan masakan kreatif, pakaian 1 Malaysia, solekan antara ibu dan anak dan banyak lagi. 










Kegembiraan jelas terpancar di wajah ibu-ibu PITRAH serta anak-anak mereka terutamannya kanak-kanak apabila mereka begitu rancak bergurau mesra bersama pelajar-pelajar KDO serta bekerjasama menyiapkan tugasan kumpulan dengan bersemangat. Adik-adik kecil pula tidak habis-habis mengajak abang-abang dan kakak-kakak dari KDO bermain sehingga tidak membenarkan mereka balik ke UKM.






















"Alhamdulillah, program ini berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Dari program ini kita dapat lihat pelajar-pelajar KDO sangat ringan tulang dan menjalankan kerja-kerja yang perlu dilakukan tanpa menunggu arahan. Mereka juga tidak kekok untuk beramah mesra bersama ibu-ibu PITRAH dan juga anak-anak PITRAH yang kelihatan seperti adik-beradik sendiri. Lebih terharu lagi buat saya apabila ada seorang pelajar Indonesia yang mengatakan program seperti ini membuatkan kerinduan mereka kepada kampung halaman serta ibu dan adik-adik sedikit terubat. Terima kasih kepada Bonda Pengetua, FELO, JAKSA, pemudah cara dan khususnya peserta-peserta tahun 1 kerana menjayakan program ini dengan jayanya; " Nur Rabeah binti Khamis, Ketua Program merangkap JAKSA Kebajikan Kolej Dato' Onn.


                   Sesungguhnya tiada yang lebih menggembirakan ketika program apabila melihat kemesraan anak-anak PITRAH bersama pelajar-pelajar KDO yang begitu ceria bergurau dan bermain bersama. Justeru, Kolej Dato' Onn akan mengadakan aktiviti susulan bersama PITRAH melalui kelas ulangkaji pelajar tingkatan 5, kelas komputer ibu dan anak serta kelas tuisyen untuk anak-anak PITRAH pada setiap minggu yang mana tenaga pengajarnya adalah dalam kalangan pelajar-pelajar KDO sendiri yang menjadi sukarelawan.


(klik gambar untuk lebih jelas)
sekian,


BULATKAN NIAT YANG SATU,
TEGUH, SETIA DAN BERSATU !
Read More

Monday, September 26, 2011

Selamat Bergraduasi Dari Kelab ASPIRASI UKM !

(klik gambar untuk lebih jelas)

TAHNIAH DAN SYABAS DARI KAMI !
Read More

Thursday, September 22, 2011

Mari Kenali Kelab Aspirasi !

               Assalamualaikum dan Salam 1 ASPIRASI kepada semua mahasiswa UKM khasnya, dan juga kepada semua sahabat perjuangan tidak kiralah samada berbeza ideologi mahupun matlamat dalam mencapai kejayaan. Sesi kali ini, sekali lagi seperti tahun sebelumnya, Minggu Pengenalan Persatuan diwujudkan untuk mahasiswa dan mahasiswi Tahun 1 khasnya mendaftar kelab, persatuan, ataupun sukan yang mereka minati.

               Sekretariat Aspirasi juga membuka kaunter pendaftaran di Aras A1 Pusanika, UKM meja bernombor 40, bermula hari Isnin yang lalu, 19 September sehingga esok, 23 September 2011. Kelab Aspirasi komited dalam usaha menjaga kebajikan mahasiswa dan membela nasib mereka dengan perancangan program yang menjanjikan “credit hour” untuk Learning Contract (LC) yang akan diadakan di peringkat kolej dan juga peringkat pusat.

               Pendaftaran amatlah memberangsangkan dan rata-rata berminat dengan Sekretariat ASPIRASI apabila melihat gambar-gambar yang dipaparkan di papan pameran. Bukanlah kami memaksa, namun mereka sendiri datang kerana ingin bersatu dan teguh bersama ASPIRASI.



                 Soalan lisan diajukan kepada beberapa mahasiswa Tahun 1 dari beberapa kolej yang berbeza, adakah mereka dipaksa oleh PC untuk mendaftar ASPIRASI? Jawapannya tidak. Makanya, tolak hujahan dan hamburan bodoh dari pihak yang berkepentingan peribadi untuk menjatuhkan Sekretariat Aspirasi dan mendaftarlah bersama kami di Sekretariat ASPIRASI. 












              Masih belum terlambat untuk mendaftar, dan usah risau ! Tiada yuran dikenakan dan layanan ramah mesra kami janjikan. JOM pakat ramai-ramai esok gegar kaunter kami ! Belajar Lebih Baik adik-adik. 


TEGUH, SETIA, BERSATU
Read More

Aspirasi Kelab Politik ?




          Kepada adik2 yang baru mengenali kelab2 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sudahpasti adik2 yg mendaftar tidak akan terlepas daripada sebuah ‘booth’ mini ASPIRASI yang berada berhampiran dengan Auditorium Siswa di Pusanika UKM. Sudah tentu ramai yang tertanya-tanya apakah itu ASPIRASI? Seperti yang diterangkan sebelum ini, kelab ASPIRASI bukanlah merupakan satu kelab politik di UKM, tetapi kelab ASPIRASI merupakan kelab yang menjaga kebajikan mahasiswa dan mahasiswi di UKM dan kelab ini sendiri menyokong penuh misi dan visi universiti serta hasrat kerajaan dalam menyokongu perpaduan kaum iaitu semangat 1 Malaysia. Dengan erti kata yang lain, selagi ianya tidak bercanggah dan mencapai tujuan akademik UKM, kelab ASPIRASI akan berdiri teguh menyokong 100% matlamat dan dasar university serta menolak sebarang sentiment berbaur perkauman.

           ASPIRASI itu sendiri merupakan sebuah kelab yang BERDAFTAR di bawah HEP.Jika ada yang mengatakan ASPIRASI itu kelab POLITIK seperti gambar di atas, ianya hanyalah bertujuan untuk menjatuhkan kelab ASPIRASI itu sendiri.Malah, ASPIRASI bukanlah semata-mata cerminan politik sahaja, ia juga harus dilihat sebagai kelab yang menyokong penuh hasrat mahasiswa dan mahasiswi sama ada di peringkat kolej mahupun universiti itu sendiri.

           Pelbagai program yang telah dan baru sahaja dilaksanakan seperti Pesta Sukan PMUKM 2010, D’Rewang Kolej Kajai, Hari Keluarga Kolej Ibrahim Yaakub dan Kolej Rahim Kajai serta kolej lain turut melibatkan kerjasama daripada kelab ASPIRASI, dari segi bantuan tenaga kerja sebagai AJK Pelaksana mahupun peserta. Tidak cukuplagi, program-program yang bakal dilaksanakan selepas ini menidakkan tanggapan bahawa ASPIRASI hanyalah kelab politik semata. Kami bukanlah kelab yang mencari nama dan mengejar “glamour” semata-mata, namun apa yang menjadi keutamaan adalah kebajikan mahasiswa/siswi sekalian.

           Oleh itu, mohon kepada mahasiswa dan mahasiswi di luar sana untuk bijak menilai, siapakah sebenarnya kelab politik di UKM. Mahasiswa cakna, Mahasiswa Berjaya.


Teguh, Setia, Bersatu !
Read More

Wednesday, September 7, 2011

Perutusan Khas Sempena Kemasukkan Pelajar Baharu Sesi Akademik 2011/2012


Bismillahirahmanirahim
Assalamuaikum W.B.T, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia 1 Aspirasi...

PEMBUKA BICARA
Pertama dan selamanya, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kehadratnya atas limpah keizinan dan takdir yang telah direncakankan oleh-Nya sehingga membolehkan kita dipertemukan dalam suasana kampus yang penuh barakah, nostalgik dan keramat ini. Sebagai pendahuluan bicara, saya mewakili seluruh tenaga kerja Sekretariat Aspirasi UKM mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat adik-adik pelajar baharu yang telah di pilih masuk untuk menyertai sekaligus menjadi warga varsiti tersohor negara yang bergelar Universiti Kebangsaan Malaysia ini. melihat kepada imbasan sejarah dan cerita lisan generasi terdahulu, sememangnya varsiti yang adik-adik sertai ini bukanlah calang-calang varsiti. Perjuangan rakyat seawal 1920-an yang menuntut sebuah pemerintah ketika itu menyediakan sebuah institusi yang menggunapakai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar utama di peringkat pengajian tertinggi merupakan pencetus kepada kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia yang sentiasa menjadi universiti kebanggaan negara. Lantas detik keramat tanggal 18 Mei 1970 menjadi saksi kepada saat penting dalam sejarah pendidikan tinggi negara dengan kelahiran satu-satunya universiti yang di beri taraf kebangsaan dan menggunakan sepenuhnya bahasa Melayu iaitu bahasa kebangsaan negara ini sebagai bahasa ilmu dan sekaligus mengangkat darjat setiap warganegara yang bertutur menggunakan bahasa tersebut tanpa mengira kaum keturunan, agama dan warna kulit. Biarpun lebih empat dekad telah berlalu namun citra dan jiwa varsiti ini tetap utuh dan teguh dalam memelihara kesinambungan perjuangan tersebut.

ASPIRASI UKM
Sekretariat Aspirasi UKM merupakan badan pelajar yang ditubuhkan melalui Perlembagaan UKM dan didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan Pelajar UKM sejak sesi 2004/2005 lagi. Badan pelajar ini digagaskan atas kesedaran dan perlunya sebuah pertubuhan pelajar yang dapat menggerakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa yang ditunjangi dengan idealogi kesederhanaan (wasatiah) dalam segenap aspek dan menolak sekerasnya budaya ekstrim yang melampau dalam semua perkara. Sejak bertahun lamanya Aspirasi UKM terus menjadi wahana dalam menyuburkan aspirasi universiti yang menggangkat dan menyemarakkan nilai-nilai aspirasi mahasiswa untuk terus terkehadapan seiring dengan kemajuan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.

Aspirasi UKM merupakan jambatan terunggul untuk melonjakkan potensi diri melalui pelbagai usaha pembangunan generik dan skill mahasiswa untuk memastikan kebolehpasaran (marketability) graduan UKM terus ke mercu kejayaan. Semua ini direalisasikan oleh Aspirasi UKM melalui kem-kem jati diri perdana, program pembangunan spiritual, kerohanian dan moral, aktiviti sukan lasak, wacana kepimpinan, seminar, konvensyen dan lain- lain yang dilaksanakan semata-mata agar dapat menjadi nilai tambah kepada mahasiswa untuk berhadapan dengan cabaran hari muka.

Aspirasi UKM tanpa prejudis mengangkat semua bangsa menjadi ikatan yang terpadu dan saling melengkapi dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang penuh liku-likunya. Seiring dengan gagasan 1 Malaysia, Aspirasi UKM akan terus dan senantiasa komited dalam mewujudkan suasana kampus yang muhibbah, bersatu padu ke arah merealisasikan perpaduan dalam setiap warganegara. Malah, Aspirasi UKM juga merupakan satu-satunya pertubuhan pelajar di UKM yang mendapat pengiktirafan kerajaan persekutuan dalam menjadi pemangkin semangat 1 Malaysia di dalam kampus.

AGENDA ASPIRASI MAHASISWA & KONSEP TEGUH SETIA BERSATU
Agenda Aspirasi Mahasiswa merupakan rangka pemikiran yang dicetuskan oleh Aspirasi UKM untuk setiap mahasiswa tanpa mengira latar belakang yang direncanakan untuk mewujudkan persekitaran kampus yang aman dan harmonis sekaligus menolak anasir-anasir pelampau dengan tingkah laku persis ekstrimis demi survival mereka. Untuk itu, Agenda Aspirasi Mahasiswa ini merupakan satu set rangka pemikiran terbaik dalam menangkis segala budaya songsang yang cuba diterapkan oleh individu atau perkumpulan yang tidak bertanggungjawab tersebut.

Konsep Teguh Setia Bersatu merupakan tunjang pegangan Aspirasi UKM yang di adun dari semangat dan semua nilai yang ada dalam pertubuhan ini. untuk melahirkan masyarakat mahasiswa yang berprinsip dan mempunyai pegangan dalam menjayakan agenda diri sendiri, keluarga dan negara. Sehubungan itu, konsep Teguh Setia Bersatu ini wajar menjadi identiti setiap warga UKM yang ingin mengecapi kegemilangan dan kejayaan dalam segenap aspek.

AKHIR BICARA
Sebagai akhir bicara, saya sekali lagi mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar-pelajar baharu sesi akademik 2011/2012 yang telah pun menjadi warga UKM pada hari ini. Nikmati kehidupan di alam kampus ini dengan jiwa yang tenang dan hati yang girang agar kemanisannya dapat dikongsi buat tatapan generasi akan datang. Salam takzim dari saya dan seluruh warga Aspirasi UKM yang tidak akan jemu memberi tunjuk ajar buat anda sepanjang berada di pembukitan ilmu ini.

Sekian, Wassalam..

MOHD KAMAL BIN ALI
Presiden
Sekretariat Aspirasi
Universiti Kebangsaan Malaysia


TEGUH | SETIA | BERSATU !
Read More

Entri Hit Tertinggi

ASPIRASI UKM. Powered by Blogger.